Julai 03, 2025 -Khamis

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 38 (18 SEPTEMBER - 24 SEPTEMBER 2022)

Thursday 29/09/2022



KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-38 tahun 2022, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah 1,533 berbanding 1,363 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 170 kes (12.5%). Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-38 tahun 2022. 
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 42,084 kes berbanding 19,423 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 22,661 kes (116.7%), Manakala sebanyak 24 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021. (Lampiran A & C). 
 
Jumlah lokaliti hotspot meningkat sebanyak enam (6) lokaliti pada minggu ini dengan sejumlah 48 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 42 lokaliti pada minggu sebelumnya. Daripada 48 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 28 (58.3%) lokaliti dilaporkan di Selangor, 15 (31.3%) lokaliti di Sabah dan lima (5)  (10.4%) lokaliti di WPKL & Putrajaya. (Lampiran B & D).
 
Survelan chikungunya merekodkan sebanyak lapan (8) kes pada minggu ke-38 dengan tiga (3) kes dari dari WPKL & Putrajaya, masing-masing dua (2) kes dari Selangor dan Pulau Pinang serta satu (1) kes dari Kelantan. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 646 kes (Lampiran E). Bagi survelan zika, sebanyak 1,452 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Nyamuk Aedes hanya memerlukan air yang sedikit untuk bertelur dan telur nyamuk Aedes dapat bertahan selama lapan (8) bulan dalam keadaan kering. Musim hujan yang berselang-seli dengan cuaca panas merupakan keadaan yang ideal bagi nyamuk Aedes berkembang biak. Oleh itu, pastikan tiada bekas-bekas yang menakung air di lorong belakang rumah serta di perkarangan rumah yang boleh menjadi tempat nyamuk Aedes membiak. Masyarakat juga perlu pastikan kawasan yang berhampiran rumah seperti taman rekreasi dan tanah lot kosong tidak mempunyai longgokan bekas-bekas berpotensi pembiakan dengan menjalankan gotong-royong melupuskan barang tidak terpakai di kawasan kejiranan. Bersama-sama kita basmi Aedes di persekitaran kita agar demam denggi dapat dicegah.  Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.   
 
 
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
29 September 2022


Sila klik di sini untuk Lampiran.


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : MOHD AZMI ABD MAJID

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 4536
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.