PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Bentang Garis Panduan Pengusaha
Food Truck” yang disiarkan melalui akhbar Sinar Harian bertarikh 20 April 2017. Laporan tersebut menyatakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal membentangkan cadangan mewujudkan garis panduan khusus bagi pengusaha
food truck bertujuan membuat penyelarasan dan penyeragaman berikutan terdapat peningkatan tinggi dalam perusahaan tersebut.
KKM menyambut baik hasrat KPKT untuk mewujudkan garis panduan berkaitan dengan pengusaha food truck. Dalam hal ini, KKM akan bekerjasama dengan KPKT untuk mewujudkan garis panduan tersebut.
Sebelum ini KKM telah mewujudkan Garis Panduan Penyediaan dan Penjualan Makanan di Premis Outlet Makanan Bergerak sebagai panduan kepada pengusaha outlet makanan bergerak seperti
food truck pada tahun 2016 untuk memenuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan sebagaimana yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di bawah Akta Makanan 1983. Selain itu, KKM turut memperkenalkan Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) kepada pengusaha premis outlet makanan bagi menggalakkan pengusaha mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan yang selamat dan pilihan makanan yang lebih sihat kepada pelanggan.
Pengiktirafan BeSS mula diperkenalkan kepada konsep perniagaan makanan bergerak atau lebih dikenali sebagai
food truck mulai Mac 2016. Ia merupakan kerjasama di antara KKM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Program
1 Malaysia Mobile Hawkers (1MMH).
Memandangkan
food truck semakin berkembang pesat pada masa kini, pelaksanaan pengiktirafan BeSS diteruskan kepada pengusaha food truck di
seluruh Malaysia. Sehingga Mac 2017, KKM telah memberi pengiktirafan kepada 18 pengusaha
food truck manakala 68 lagi sedang dibimbing ke arah pengiktirafan BeSS.
Sila klik di sini untuk
FoSIM DomestikSementara itu, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan pengusaha premis outlet makanan bergerak berdaftar dengan KKM. Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang
http://fosimdomestic.moh.gov.my. Kegagalan mendaftarkan premis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau
facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIASUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman bin Abdul Rahman
Tel : 013-399 7025Emel : n.suzaman@moh.gov.my
--BERNAMA