ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  PELABUR TEMPATAN DIGESA MENINGKATKAN PEMBANGUNAN TEKNOLOGI UNTUK KEKAL BERDAYA SAING

Thursday 30/03/2017



MELAKA, 30 Mac (Bernama) --  “Tidak dinafikan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti adalah kritikal dari pelbagai aspek termasuk mewujudkan pekerjaan, pemindahan teknologi termaju, membangunkan tenaga kerja yang mahir dan menggalakan pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan. Walaubagaimanapun, untuk memastikan Malaysia terus menikmati pertumbuhan ekonomi yang mampan di masa hadapan, syarikat tempatan mestilah terus memainkan peranan yang lebih agresif dalam memacu agenda pelaburan Malaysia,” kata YB Datuk Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam ucapan beliau semasa Seminar Pelaburan Tempatan bagi Wilayah Selatan 2017 hari ini di Hatten Hotel, Melaka. Seminar ini telah dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta disokong oleh MITI.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam meningkatkan kecekapan dan keupayaan mereka melalui pelbagai program dan kemudahan yang disediakan. Kita mahu melihat syarikat-syarikat tempatan, terutamanya PKS mencontohi syarikat-syarikat Mittelstand di Jerman mahupun syarikat-syarikat bersaiz pertengahan di Jepun dan Korea yang telah berjaya menerajui pembangunan ekonomi negara masing-masing,” tambah beliau.

Pada tahun 2016, MIDA telah meluluskan sebanyak 733 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan RM58.5 bilion. Johor merupakan penerima terbesar pelaburan bagi sektor perkilangan yang diluluskan pada tahun lepas, dengan 165 projek perkilangan bernilai RM26.4 bilion. Pelaburan tertumpu kepada industri petroleum (termasuk petrokimia), gas asli dan elektrik dan elektronik (E&E). Projek-projek ini bakal mengwujudkan lebih 8,500 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Sebagai sebuah negeri dengan kegiatan pembangunan dan ekonomi yang semakin rancak, Johor telah berjaya menarik pelaburan dari pelbagai sumber asing terutamanya dari United Kingdom dengan pelaburan sebanyak RM2.40 billon diikuti dengan Belanda (RM2.36 billon) dan Republik Korea (RM2.08 billion).

Bagi negeri Melaka, sebanyak 23 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM1.35 bilion telah diluluskan pada tahun 2016. Lebih 2,000 pekerjaan baharu bakal dijana dengan perlaksanaan projek-projek ini. Industri tumpuan utama termasuklah pembuatan barangan elektrik dan elektronik (E&E), kelengkapan pengangkutan dan mesin dan jentera (M&E). Negara Jerman adalah merupakan pelabur asing terbesar di Melaka pada tahun lalu dengan pelaburan sebanyak RM 563.44 juta. Ini diikuti dengan Jepun (RM 62.01 juta) dan Australia (RM 32.83 juta).

Dalam ucapan beliau, YB Timbalan Menteri MITI turut menggesa pemain industri tempatan untuk beralih kepada penggunaan teknologi perkilangan pintar (smart manufacturing). Gesaan ini selaras dengan gelombang Revolusi Perindustrian Ke-empat atau Industri 4.0 yang bakal mengubah kaedah pengeluaran kepada automasi dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh kurang mahir.

Untuk tujuan ini, syarikat-syarikat tempatan diseru untuk memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan seperti Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF). Sehingga bulan Disember 2016, MIDA telah meluluskan sebanyak RM1.01 bilion geran DISF untuk 242 projek bernilai RM11.6 bilion, terutama dalam industri E&E, pengangkutan, perkhidmatan minyak & gas, mesin & kejuruteraan termaju serta sains hayat. Geran-geran yang diluluskan ini adalah bagi membiayai latihan, menggalakkan aktiviti R&D, pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan serta membolehkan syarikat-syarikat tersebut mendapatkan piawaian antarabangsa/pensijilan dalam industri strategik.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8 projek di Johor telah diluluskan geran DISF berjumlah RM23.4 juta. Ini merangkumi projek-projek berkaitan penyelidikan dan pembangunan fiber optik termaju dan teknologi, pemesinan komposit, bahagian struktur dan komponen bagi industri aeroangkasa, dan kemudahan luar persisir minyak  & gas, serta projek pembaikan dan pemuliharaan marin. Manakala bagi negeri Melaka, terdapat 17 projek yang telah diluluskan geran DISF berjumlah RM63.6 juta. Projek-projek ini melibatkan pengilangan bahagian mesin kejituan tinggi untuk industri aeroangkasa, peralatan mesin dan minyak & gas, serta pengilangan alat kelengkapan automasi kilang, jig dan lekapan.

“Kerjasama erat serta kewujudan ekosistem industri yang kukuh di wilayah selatan telah membolehkan Melaka dan Johor menjadi antara penerima sepuluh teratas pelaburan yang diluluskan pada tahun 2016. Kerajaan Pusat akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri kerana ianya adalah penting bagi membina persekitaran yang mesra perniagaan untuk membolehkan aktiviti sektor swasta berkembang maju,” tambah YB Datuk Ahmad Maslan.

Seminar sehari tersebut telah dihadiri oleh lebih daripada 200 pemain industri yang majoritinya beroperasi di wilayah selatan iaitu Melaka dan Johor. Turut hadir adalah YB Datuk Haji Sulaiman Md. Ali, Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian, Melaka dan YBhg. Datuk Phang Ah Tong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA.

Seminar ini telah mengetengahkan dua sesi pleno dengan pembentangan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corporation, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), SME Bank, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dan Export-Import Bank of Malaysia ( Exim Bank). Moderator bagi kedua-dua sesi pleno tersebut adalah terdiri daripada Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

SUMBER : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama : Encik Ahmad Tajudin Omar
Pengarah, Bahagian Pelaburan Tempatan, MIDA
Tel: 03-2267 3627
Faks: 03 2273 4207
Emel: tajudin@mida.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.