ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA: MESYUARAT MAJLIS PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI (PT&K) YANG JULUNG KALI

Tuesday 17/01/2017



PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 [Akta 775] telah diwartakan pada 10 Mac 2016 dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016 oleh YB Menteri Kesihatan. Malaysia adalah merupakan antara beberapa negara terawal di dunia yang telah menggubal Akta sedemikian untuk mengawal selia amalan dan pengamal PT&K. Antara lain, Akta ini memperuntukkan penubuhan Majlis PT&K untuk mengawal selia perkhidmatan PT&K di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Anggota dan Setiausaha Majlis PT&K telah dilantik oleh YB Menteri Kesihatan bagi tujuan tersebut. 
 
Mesyuarat Majlis PT&K yang pertama telah buat julung kalinya diadakan pada 16 Januari 2017. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia selaku Pengerusi Majlis PT&K. Majlis ini turut dianggotai oleh tiga (3) wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua (2) wakil universiti tempatan dengan kepakaran PT&K dan lima (5) wakil industri dengan pengalaman dan kelayakan PT&K. 
 
Mesyuarat ini telah menyerlahkan kepentingan untuk mengawalselia amalan serta pengamal PT&K berlandaskan kriteria-kriteria tertentu yang memberi fokus utama kepada aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti rawatan serta amalan. Di antara perkara yang telah dipertimbangkan semasa mesyuarat tersebut termasuklah tatacara mesyuarat majlis, terma rujukan Setiausaha Majlis, penetapan bidang amalan PT&K yang diiktiraf serta penetapan badan pengamal berdasarkan bidang amalan PT&K yang diikitraf. 
 
KKM sentiasa menilai dan melakukan penambahbaikan dalam mencorak sistem kesihatan yang lebih berkualiti di Malaysia. Penubuhan Majlis PT&K ini adalah di antara usaha KKM untuk memartabatkan amalan dan pengamal PT&K di Malaysia supaya ianya dapat menuju ke arah profesionalisme, berkualiti dan selamat. 
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
SELAKU PENGERUSI 
MAJLIS PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI
 
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman bin Abdul Rahman 
Tel : 013-399 7025

Emel : n.suzaman@moh.gov.my 
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.