ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 02, 2024 -Khamis

 
  PROGRAM LALUAN KHAS UNTUK MENJADI PELADANG BERTAULIAH KEPADA AGEN PELAWAT DAN PENASIHAT LADANG, EKSKLUSIF OLEH IIPM

Thursday 24/11/2016



SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Permintaan keseluruhan ke atas tanaman untuk semua kegunaan dijangka akan meningkat sebanyak 84% dari tahun 2000 ke tahun 2050, didorong oleh pertumbuhan pendapatan dan bahanapi bio yang akan menyebabkan peningkatan pengeluaran tanaman sebanyak 86%. Menjelang 2050, untuk memenuhi permintaan populasi dan peningkatan penggunaan sebanyak 265%, pengeluaran minyak sawit perlu ditingkatkan sebanyak 265%, dan stok minyak sawit dinaikkan sebanyak 76% (John Kruse, FAO, 2010).
 
Minyak sawit akan terus ada permintaan seiring dengan pertambahan penduduk, yang dijangka akan mencapai jumlah 9 bilion pada tahun 2050 berbanding dengan jumlah 7 bilion sekarang. Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai hasil dan kelestariannya, menjelang tahun 2030 keperluan kepada minyak sayuran dijangka akan mencapai 161 juta tan setahun (Yusof Basiron, 2012). Sementara itu, permintaan kepada getah asli mungkin akan meningkat kepada 16 juta tan di dalam tahun 2020, satu peningkatan sebanyak 39% berbanding dari 12 juta tan pada tahun 2013 (IRSG 2012). Perangkaan ini menandakan keperluan segera untuk perancangan teliti, penggubalan dasar-dasar yang bijak, dan pelaksanaannya. 
 
Walaupun perancang dan penggubal dasarlah yang banyak menentukan arah halatuju industri perladangan, keberadaan peladang-peladang profesional yang terampil untuk menterjemah dan melaksanakan dasar-dasar berkenaan juga sangat diperlukan. Pakar-pakar yang profesional ini mampu membawa perubahan, dan boleh mempengaruhi proses pembuatan keputusan oleh majikan mereka secara signifikan.
 
Satu perkara yang menambahkan lagi masalah ialah kekurangan peladang-peladang mahir yang berkebolehan untuk menguruskan operasi perladangan dengan jayanya, dan keadaan ini dijangka akan bertambah teruk (Yusof Basiron, 2012). Seterusnya, Ramesh Veloo (2012) menambah bahawa modal insan, khususnya keperluan peladang professional dan staf pengurusan, adalah merupakan pemacu utama kepada penambahbaikan operasi perladangan dan juga adalah faktor utama yang menentukan masa depan perniagaan perladangan. Bilangan yang mencukupi adalah diperlukan untuk menampung pengembangan kawasan dan untuk menggantikan bakal pesara. Antara peladang-peladang profesional ini ialah Agen-Agen Pelawat (Visiting Agents), atau Penasihat Ladang (Planting Advisors), yang diambil bekerja  secara sepenuh masa atau sambilan oleh entiti-entiti perladangan  bagi memberikan penasihatan pakar mengenai perladangan,  dan di dalam banyak hal, penasihatan mengenai operasi dan pengurusan ladang secara menyeluruh. 
 
Secara tradisi, Agen-Agen Ladang ini mencapai kedudukan atau pangkat mereka berdasarkan pengalaman ladang mereka. Pendedahan bertahun-tahun di dalam semua peringkat operasi perladangan – dari penyediaan tanah, menanam, penyelenggaraan, pengeluaran dan pemindahan hasil – dan juga kenaikan pangkat dari jawatan rendah, telah menjadikan mereka sangat berpengetahuan mengenai pelbagai aspek pengurusan perniagaan perladangan. Mereka memiliki daya pertimbangan, kemahiran mencerap dan menganalisis yang baik. Secara am, mereka boleh menghasilkan laporan-laporan yang amat baik, yang dapat membantu pihak-pihak berkepentingan membuat keputusan yang lebih  baik. Ramai daripada mereka yang ditawarkan dengan pekerjaan bergaji lumayan di luar negara asal mereka.  Mereka kerap ditugaskan untuk memberi penasihatan mengenai cara mendapatkan tanah untuk pembangunan ladang, dan juga memantau dan menyelaras pembangunan keseluruhan  dan kelestarian perniagaan-perniagaan ladang tersebut.
 
Malangnya, walaupun jawatan tersebut berprestij dan diiktiraf oleh industri perladangan, selama ini pentauliahan profesional yang wajar kepada Agen-Agen Pelawat telah terlepas pandang. Atas kesedaran tersebut, IIPM kini menawarkan satu program pentauliahan Kelayakan Profesional Pakar (Specialist Professional Qualification) khas untuk Agen-Agen Pelawat dan Penasihat-Penasihat Ladang Kelapa sawit dan/atau getah. Program pentauliahan ini terbuka kepada  Agen-Agen Pelawat dan Penasihat-Penasihat Ladang, Pengurus-Pengurus Besar Ladang, Pengurus-Pengurus Kanan Ladang, dan Pengurus-Pengurus Ladang yang memenuhi syarat dari segi pengalaman kerja ladang dan juga kelayakan akademik yang berkaitan. 
 
Program yang unik ini akan memastikan bahawa Agen-Agen Pelawat dan Penasihat-Penasihat Ladang yang telah ditauliahkan akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk memberikan khidmat penasihatan mengenai, antaranya:  
  1. Pengurusan operasi perladangan dan SOP
  2. Pemaksimuman penggunaan sumber
  3. Budaya niaga, khususnya untuk pengembangan ladang di negara luar
  4. Mengatasi kekurangan bahan tanaman yang baik
  5. Penyelesaian praktis kepada jurang hasil dan daya pengeluaran
  6. Penggunaan mekanisasi yang optimum
  7. Memotivasikan pekerja
  8. Implementasi of Amalan Pertanian Baik (GAP) kearah pensijilan (contohnya RSPO, MSPO, and ISO)
  9. Risiko pelaburan dan pengurusannya
 
Program ini direkabentuk untuk menghasilkan yang terbaik dari setiap pelajarnya – seperti mengasah pemikiran analitis, kemahiran mencerap dan melapor, dan menggilap kemahiran komunikasi. Komponen-komponen kursus termasuklah syarahan, tutorial, bengkel, lawatan ke lapangan, kajian kes, penyediaan laporan, dan pembentangan. Setiap satu daripadanya disesuaikan kepada keperluan sebenar, dan menggunakan peralatan sebenar yang digunakan oleh Agen-Agen Pelawat dan Penasihat-Penasihat Ladang yang betul-betul profesional. Fasilitator dan koc yang pakar akan dilantik dari badan-badan berkanun dan agensi kerajaan yang berwibawa (seperti MPOB and LGM), agensi-agensi perundingan, ahli-ahli akademik bereputasi baik, dan profesional dari industri berkaitan. Apabila tamat, lulusan program ini layak menggunakan gelaran Peladang Bertauliah (“Certified Planter (CP)”, yang akan menonjolkan lagi status ikhtisas dan  kebolehpercayaan keatas mereka, dan keterampilan mereka yang setara dengan Tahap 7 pada skala Kerangka Kelayakan Kemahiran Pekerjaan Malaysia (Malaysian Occupational Skills Qualification Framework, MOSQF). Tahap 7 ini adalah sama taraf dengan Sijil atau Diploma Pasca Siswazah, atau Ijazah Sarjana.
 
IIPM telah wujud selama 10 tahun. IIPM adalah merupakan badan profesional yang mewakili semua sektor indusri perladangan, dan telah diasaskan dalam tahun 2005 sebagai satu cabang kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM). Semenjak itu, IIPM sudah terlibat secara rapat dengan industri perladangan khususnya di dalam bidang pembangunan sumber manusia, latihan dan perundingan. IIPM telah menyediakan perkhidmatan professional ini kepada lebih daripada 4,000 pelajar dari pelbagai pertubuhan yang antara lainnya termasuklah FELDA, FELCRA, PPPNP, MARDI, MRB, FTC, AIM, Sabah Softwoods, Kolej Yayasan Sabah (KYS), dan pelbagai ladang swasta. Selain daripada itu, IIPM telah melaksanakan projek-projek penyelidikan melalui kerjasama dengan MPOB, dan juga telah menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
 
Melangkaui International Plantation Industry Conference and Exhibition (IPiCEx2016) Ke-5 di Thistle Hotel, Johor Bahru, IIPM mempelawa anda semua untuk menghadiri persidangan seterusnya iaitu   National Plantation Conference and Exhibition (NAPiCEx 2017) Ke-2, yang tarikh dan tempatnya akan diumumkan kemudian. Seperti IPICEx 2016, NAPiCEx 2017 menjanjikan satu lagi peluang keemasan kepada anda semua dari industri perladangan untuk mengikuti perkembangan semasa di industri,  membina dan mengukuhkan jaringan, mengambil bahagian di dalam pameran dan Cabaran NAPiCEx, dan lawatan pasca persidangan. IIPM akan menemui anda di sana!
 
HALID HASBULLAH BOESTAMAM
Pengarah Eksekutif
International Institute of Plantation Management (IIPM)

Sumber : International Institute of Plantation Management (IIPM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Najid bin Abd. Rashid
Manager, Business Development and Marketing
Tel : 03-55225534/ 03-55225531
Emel : najid@iipm.com.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.