ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN MEDIA : YBHG DATUK PROFESOR DR ASMA ISMAIL DILANTIK SEBAGAI NAIB CANSELOR UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Friday 30/09/2016



PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini telah mengumumkan pelantikan YBhg Datuk Asma Ismail sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkuatkuasa mulai 4 Oktober 2016 sehingga 3 Oktober 2019. Dengan pelantikan ini, beliau merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut di USM.

Datuk Profesor Dr Asma merupakan graduan daripada University of Nevada, Reno, USA dengan kepujian dalam bidang Biologi. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Biologi Mikro dari Indiana University, Bloomington, USA serta Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Biologi Molekular dan Selular dari University of Nevada, Reno, USA pada tahun 1986.

Datuk Profesor Dr Asma merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah pada tahun 1986 dan telah memegang pelbagai jawatan yang penting sehingga kini termasuk sebagai Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan & Inovasi) dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada tahun 2013, yang juga merupakan Ketua Pengarah wanita pertama. Beliau juga adalah satu-satunya Naib Canselor yang telah berkhidmat di dua buah Universiti Awam Negara.

Datuk Profesor Dr Asma merupakan seorang saintis dan pentadbir yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Banyak pencapaian yang telah beliau lakarkan di persada antarabangsa antaranya adalah memfailkan 30 paten yang mana 13 daripadanya telah diiktiraf dan dianugerahkan lebih daripada 162 pencapaian. Ini termasuk Anugerah National Young Scientist Award pada tahun 1991, Malaysian Toray Science and Technology Award pada tahun 2002, National Inventor Award pada tahun 2003, National Innovation Award, 2006 dan National Academic Award for Product and Commercialization pada tahun 2007. Beliau juga dianugerahkan Top Research Scientist Malaysia pada 2012 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Sebagai pengiktirafan atas sumbangan dalam bidang Sains, beliau telah dilantik sebagai Fellow di Akademi Sains Malaysia pada 2003 dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis ASM dari 2007 – 2011. Pada tahun 2012, beliau merupakan wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Presiden di ASM bagi tempoh empat tahun.

Datuk Profesor Dr Asma juga memainkan peranan penting sebagai peneraju dalam membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 atau PPPM (PT).

Kementerian amat yakin dengan keupayaan Datuk Prof Dr Asma untuk membawa USM ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat terus menyumbang kepada pendidikan dan pembangunan negara.

Kementerian juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada YBhg Dato’ Prof. Dr Omar Osman di atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Naib Canselor USM selama lima tahun bermula dari 27 September 2011 hingga 27 September 2016.

Kementerian Pendidikan Tinggi
Putrajaya

SUMBER : Kementerian Pendidikan Tinggi
  
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Fauzan Bin Abu Hassan
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat

Tel : 03-88706278
Faks : 03-88706885
 
--BERNAMA

 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.