ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  INISIATIF KERAJAAN UNTUK MENINGKATKAN PENYERTAAN WANITA DALAM TENAGA KERJA CATAT KEMAJUAN

Monday 27/06/2016



Penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan peranan pembuat keputusan hampiri sasaran

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara sepanjang tempoh enam tahun yang lalu untuk meningkatkan bilangan kaum wanita dalam tenaga kerja dan yang berperanan membuat keputusan di sektor korporat hasil daripada beberapa inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan untuk meningkatkan sumbangan wanita kepada ekonomi Malaysia dan menggalakkan keterangkuman dalam tenaga kerja, kata YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika Dialog Wanita Dalam Tenaga Kerja yang dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) bersama sekumpulan wanita yang mewakili mereka yang telah kembali bekerja di bawah Program Kembali Bekerjaya (Career Comeback programme) TalentCorp. Turut hadir ialah wakil-wakil kanan beberapa syarikat yang telah melaksanakan langkah-langkah untuk mengekalkan dan memudahcarakan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja. Syarikat yang diwakili ialah BASF Asia-Pacific Service Centre, Kumpulan CIMB, IBM Malaysia, IHS Global (Malaysia), Intel Malaysia, PwC Malaysia, Sunway Group dan UEM Group.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita Malaysia(1)(FLPR) telah meningkat kepada 54.1 peratus pada 2015 daripada 46.8 peratus pada 2010. Walaupun angka ini kurang daripada sasaran 55 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2015, peningkatan 7.3 peratus dalam FLPR telah menghasilkan tambahan sebanyak 750,000 wanita yang menyertai tenaga kerja. Ini dianggarkan telah menyumbang tambahan 0.3 peratusan mata kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) setiap tahun(2). Sebelum 2010, FLPR kekal sekitar 46 peratus bagi sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun.

[1]FLPR menunjukkan peratusan kaum wanita dalam tenaga kerja/jumlah wanita dalam lingkungan umur bekerja 
[2]Anggaran oleh Analisis Penyelidikan TalentCorp berpandukan  Malaysia Economic Monitor 2012 Bank Dunia 

Klik Sini untuk Jadual Tenaga Buruh Wanita

Sementara itu, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 30 peratus bagi kaum wanita yang berperanan membuat keputusan di sektor korporat menjelang 2016. Berdasarkan penyata pulangan tahunan yang dikumpul oleh Bursa Malaysia bagi semua syarikat awam tersenarai (PLC) pada 2015, wanita memegang 6.3 peratus jawatan pengurusan tertinggi di seluruh syarikat tersenarai awam (PLC). Walau bagaimanapun, peratusan ini meningkat kepada 28.4 peratus bagi wanita dalam pengurusan tertinggi dalam 100 PLC teratas (yang mewakili permodalan pasaran sebanyak 82 peratus). Ini menunjukkan satu peningkatan yang besar daripada satu tinjauan kepelbagaian syarikat tersenarai yang dijalankan oleh TalentCorp dan PwC pada 2013 yang mendapati bahawa wanita memegang 24 peratus daripada jawatan pengurusan atasan. 

Klik Sini untuk Jadual Penyata Tahunan

Selaras dengan objektif keterangkuman dalam Model Ekonomi Baharu, yang menekankan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk menggalakkan sektor korporat untuk mencapai keterangkuman yang lebih besar, terutamanya di peringkat kepimpinan dan pengurusan tertinggi. Bermula 2014, semua PLC dikehendaki mewujudkan dan mendedahkan dalam laporan tahunan, dasar kepelbagaian mereka yang meliputi jantina, etnik dan umur bagi lembaga pengarah dan pengurusan. Baru-baru ini, pada bulan April 2016, Perdana Menteri mengumumkan bahawa dasar dan pendedahan mengenai pengurusan dan komposisi tenaga kerja diwajibkan bagi semua syarikat tersenarai.

Dalam Bajet 2015, Perdana Menteri mengumumkan Program Kembali Bekerjaya (Career Comeback programme) untuk memberi insentif kepada pihak majikan untuk mengambil dan mengekalkan kaum wanita yang telah berhenti sementara waktu daripada kerjaya mereka. Bersama-sama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), TalentCorp memperkenalkan dua geran – Geran Pengambilan (Resourcing Grant) dan Geran Pengekalan (Retention Grant) – untuk menggalakkan majikan untuk menarik dan mengekalkan kaum wanita yang telah berhenti sementara daripada kerjaya selama lebih daripada enam bulan. Di bawah program ini, lebih daripada 200 profesional wanita telah kembali kepada tenaga kerja tahun lepas.

Selain itu, Kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah bagi mewujudkan tempat kerja yang lebih mesra keluarga serta penyepaduan kerja dan kehidupan. Inisiatif flexWorkLife.my telah dilancarkan pada 2013 oleh KPWKM dan TalentCorp untuk menggalakkan kesedaran mengenai penyepaduan kerja dan kehidupan dan perkongsian amalan terbaik majikan mengenai aturan kerja fleksibel.

"Walaupun Korporat Malaysia telah menerima dan melaksanakan aturan kerja fleksibel sebagai strategi untuk menarik dan mengekalkan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja, namun masih banyak lagi yang boleh dilakukan kerana kurang daripada 30 peratus daripada syarikat-syarikat di Malaysia menawarkan aturan kerja fleksibel," ujar Shareen Shariza Dato' Abdul Ghani, ketua pegawai eksekutif TalentCorp, ketika berucap di dialog tersebut.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Kerajaan juga telah memperkenalkan sebilangan inisiatif penting untuk memperkembang potensi ekonomi kaum wanita. Ini termasuk:

Peruntukan RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia untuk menyediakan pembiayaan mikro kredit, yang memberi manfaat terutamanya kepada usahawan wanita yang berada dalam kelompok 40 peratus terbawah daripada mereka yang makan gaji;

Inisiatif eRezeki oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah menjadi pekerja digital dalam talian;
Skim Peningkatan Suri Rumah dan Bakat Reaktif (HEARTS) yang dimulakan oleh HRDF menyediakan suri rumah dengan set kemahiran untuk kembali bekerja; dan Program 1AZAM yang dimulakan di Iskandar Malaysia pada 2011 dan telah berkembang ke negeri-negeri lain kerana berjaya dalam meningkatkan tahap pendapatan para peserta melalui pelbagai inisiatif seperti Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Tani dan Azam Kerja. 

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp):

TalentCorp ditubuhkan pada 1 Januari 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merumus dan memudahcarakan inisiatif untuk menyambung majikan utama dengan modal insan yang diperlukan oleh Malaysia. Melalui kerjasama erat bersama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dan para majikan dalam sektor utama ekonomi, TalentCorp membangunkan inisiatif yang dipacu oleh permintaan bagi meningkatkan kebolehgajian graduan, mengoptimumkan para profesional Malaysia, mengadakan pembabitan dengan warga Malaysia di luar negara dan memudahcarakan tenaga kerja asing.

SUMBER : Talent Corporation Malaysia Berhad 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Mariena Abdul Malek
Tel: 019-3470 228
Emel: mariena@talentcorp.com.my
Nama: Emma Delima Ali
Tel: 019-279 3945
Emel: emma.ali@talentcorp.com.my 

--BERNAMA 
 
 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.