ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  SAMBUTAN HARI TIBI SEDUNIA 2016

Thursday 24/03/2016



KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun oleh segenap lapisan masyarakat diseluruh dunia bersempena memperingati tarikh penemuan kuman Mycobacterium Tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada tahun 1882. Penyakit Tuberkulosis (Tibi) adalah masalah dan isu kesihatan di peringkat global dan bukanlah di Malaysia sahaja. Bagi tahun 2014, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 9.6 juta kes Tibi di seluruh dunia berbanding hanya 6 juta kes yang dilaporkan. Di Malaysia, jumlah kes Tibi yang dilaporkan sepanjang tahun 2015 adalah 24,220 kes iaitu penurunan sebanyak 2% berbanding 24,711 kes pada tahun 2014. Jumlah kematian Tibi pula didapati telah meningkat sebanyak 5.8% iaitu daripada 1,603 kematian pada tahun 2014 kepada 1,696 kematian bagi tahun 2015. 

Tema bagi Sambutan Hari Tibi Sedunia pada tahun ini adalah Pengesanan dan Rawatan Awal: Bersama Membanteras Tibi”. Tema ini membawa maksud penyakit Tibi perlu dikesan dan dirawat di peringkat awal bagi mengurangkan penularan penyakit Tibi. Kementerian telah mengambil inisiatif melakukan saringan awal penyakit Tibi terhadap golongan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, perokok, pesakit diabetes, pesakit Renal Failure dalam rawatan dialisis, pesakit Chronic Obstructive Pulmonary Diseases (COPD), warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penghuni pusat koreksional seperti penjara dan CCRC. Pada tahun 2015, sejumlah 253,955 golongan berisiko tinggi telah disaring menggunakan xray dada.

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit Tibi khususnya dan masyarakat amnya. Pada tahun 2015, sejumlah sepuluh (10) buah mesin gen eX-pert yang berupaya mengesan kes-kes “Drug-Resistant Tibi ”dalam tempoh lebih cepat telah dibekalkan ke hospital-hospital  terpilih diseluruh negara. Disamping itu, dua (2) buah bas mobile x-ray yang pertama di Malaysia telah berjaya disediakan dan telah ditempatkan masing-masing satu (1) buah di Sabah dan Sarawak. Dengan adanya perkhidmatan x-ray saringan tibi bergera kini, lebih banyak golongan berisiko tinggi tibi dapat disaring.

Bagi mengawal penularan penyakit Tibi adalah penting bagi pesakit mengambil ubatan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Secara umum, pesakit tibi paru-paru perlu mengambil ubat setiap hari selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan. Pada tahun 2015 didapati kadar sukses Tibi adalah 78% iaitu sejumlah 16,493 pesakit telah berjaya sembuh dan menyempurnakan rawatan Tibi. Namun begitu, masih terdapat 1,256 pesakit yang telah terhenti rawatan. Pesakit yang tidak menamatkan rawatan ini berpotensi menyebarkan kumanTibi kepada masyarakat. Oleh itu, ahli keluarga pesakit dan komuniti setempat berperanan sangat penting dalam memberi sokongan moral dan semangat supaya pesakit berjaya menamatkan rawatan sehingga sembuh.

Tanggungjawab mengesan dan merawat penyakit Tibi bukanlah terletak dibahu Kementerian Kesihatan sahaja. Agensi kerajaan yang lain termasuklah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi dan Pendidikan, Pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), kerajaan tempatan dan masyarakat setempat adalah berperanan penting dalam memberikan kesedaran dan kefahaman masyarakat akan bahaya penyakit Tibi jika tidak dirawat. Semua individu yang mempunyai tanda-tanda penyakit Tibi seperti batuk-batuk yang berpanjangan melebihi dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah perlu tampil ke klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran bagi pemeriksaan kesihatan dan seterusnya melakukan ujian saringan bagi penyakit Tibi.

Malaysia komited dengan sarananPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui ‘End TB Strategy’ iaitu menamatkan epidemik Tibi menjelang tahun 2035. Kadar insiden Tibi dijangka akan diturunkan sebanyak 90% dan jumlah kematian Tibi juga akan diturunkan sebanyak 95% menjelang tahun 2035. Kementerian sedang dalam proses menyediakan dan melaksanakan Pelan Strategik Kawalan Tibi Kebangsaan (2016-2020). Fokus utama pelan strategi kini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit Tibi, memperkukuhkan polisi sedia ada dan meningkatkan kajian dan inovasi bagi pencegahan penyakit Tibi. Dengan kerjasama segenap lapisan masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan, Malaysia akan mampu mengawal Tibi menjelang tahun 2035 tersebut. Bersamalah kita bersatu tenaga membanteras Tibi di negara kita.
 
DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA 

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 013-3997025 / 03-8883 3470
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.