PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

September 19, 2014 -Jumaat

 
 
  PERSEDIAAN UNTUK MENCEGAH KEJADIAN JEREBU SEMASA MUSIM PANAS DAN KERING OLEH KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Friday 23/03/2012

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Setiap Tahun Di Antara Bulan Jun Sehingga Bulan September Berlaku Musim Panas Dan Kering Di Negara Kita. Pada Musim Ini Lazimnya Berlaku Peningkatan Aktiviti Pembakaran Terbuka. Kejadian-kejadian Kebakaran Ini Jika Tidak Dibendung Akan Mudah Merebak Dan Menyebabkan Kejadian Jerebu.

Sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan berlaku jerebu semasa musim panas dan kering ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil inisiatif untuk membuat persiapan awal. Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,Dato Sri Douglas Uggah Embas telah bermesyuarat untuk kali pertama tahun ini pada 22 Mac 2012.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan ini dianggotai oleh pelbagai agensi Kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu, antaranya seperti Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Sabah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Unit Udara Polis Di Raja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pelancongan, Agensi Remote Sensing Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, dan Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak.

Semasa mesyuarat tersebut Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan bahawa pengaruh La Nina/El Nino akan kembali kepada keadaan neutral mulai hujung April 2012. Ini akan menyebabkan keadaan cuaca negara akan kembali kepada normal atau lebih kering di sesetengah tempat. Seperti lazimnya, pengaruh Monsun Barat Daya akan berlaku dan menyebabkan cuaca panas dan kering bermula dari Mei hingga September tahun ini. Dijangkakan juga pada bulan Julai tahun ini cuaca akan lebih kering dari normal di Negeri Sarawak dan Sabah manakala pada bulan Ogos, negeri Selangor dan Negeri Sembilan serta sebahagian dari Negeri Sarawak dan Sabah dijangka akan mengalami cuaca yang lebih kering dari normal. Keadaan cuaca yang panas dan kering ini dijangka boleh menyebabkan peningkatan aktiviti pembakaran terbuka yang mana jika tidak dikawal boleh menyebabkan jerebu.

Oleh itu, adalah amat penting usaha-usaha pencegahan jerebu terus dipertingkatkan iaitu mencegah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan-kawasan mudah terbakar terutamanya kebakaran di tanah dan hutan gambut yang amat sukar untuk dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

Sebagai langkah pencegahan dan persiapan awal menghadapi musim panas dan kering, Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Perhutanan Semenanjung, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Negeri Sabah telah dan sedang melaksanakan Progam Pencegahan Kebakaran Di Tanah Gambut. Aktiviti ini dilaksanakan di beberapa kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di enam buah negeri iaitu di Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Program ini merangkumi aktiviti pembinaan sekatan saliran (check dams) dan telaga air tanah bagi tujuan mengawal paras air di kawasan tanah gambut serta pembinaan menara tinjau bagi pemantauan secara berterusan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.



Penguatkuasaan ke atas aktiviti pembakaran terbuka akan terus dipertingkatan oleh Jabatan Alam Sekitar. Sehingga 19 Mac 2012 sebanyak 320 kes pembakaran terbuka telah dikesan, daripada jumlah itu sebanyak 56 kompaun dan 23 notis arahan telah dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sebagai langkah-langkah menghadapi musim panas dan kering ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebab pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-8888 0036 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

SUMBER: KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
NAMA : MOHD HAIZUL BIN HOD
Unit Komunikasi Korporat
TEL : 03-88861585

-- BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2014 MREM . All rights reserved.