PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

November 28, 2014 -Jumaat

 
 
  FESTIVAL LAYANG-LAYANG ANTARABANGSA PASIR GUDANG

Friday 14/02/2003

KUALA LUMPUR, 14 Feb 2003 -- Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang Kali Ke-8 akan diadakan bermula pada 17 Februari 2003 hingga 23 Februari 2003.

Festival ini adalah anjuran bersama Johor Corporation melalui Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Majlis Pelayang Malaysia.

Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang ini merupakan salah satu acara rasmi di dalam kalendar pelancongan Negeri Johor dan merupakan acara tahunan terbesar di dunia yang disertai oleh pelayang-pelayang tempatan dan juga pelayang antarabangsa. Pada tahun ini layang-layang "Malay Kite" dijadikan tema festival bertaraf antarabangsa ini.

Bukit Layang-layang yang terletak di Taman Bandar, Pasir Gudang merupakan satu-satunya tapak permainan layang-layang yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi tumpuan lebih 10,000 pengunjung tempatan dan luar negara yang datang untuk menyaksikan festival layang-layang setiap tahun.

Acara Perasmian Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang Ke-8 ini akan diadakan pada hari Jumaat 21 Februari, 2003 jam 8.00 malam sempena dengan Jamuan Perdana 25 Tahun PBT Pasir Gudang dan akan disempurnakan oleh DYMM Baginda Sultan Johor. Selain persembahan keroncong dengan artis jemputan Yusni Hamid pada pengunjung akan berpeluang menyaksikan persembahan bunga api yang merupakan acara kemuncak sambutan pada tahun ini.

PENYERTAAN

Pada setiap tahun, Festival kali ini berjaya menarik lebih 300 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuklah penyertaan dari sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi dan badan-badan korporat.

Sehingga kini 17 buah negara dengan 110 peserta antarabangsa akan menyertai festival ini iaitu:

1) Australia
2) Austria
3) Brunei
4) England
5) Filipina
6) Indonesia
7) India
8) Jepun
9) Jerman
10) Korea
11) Kanada
12) New Zealand
13) Singapura
14) Switzerland
15) Thailand
16) Taiwan
17) USA

Peserta tempatan pula dianggarkan lebih 500 pelayang yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, badan-badan korporat dan kelab-kelab pelayang dari seluruh negeri di Malaysia.

OBJEKTIF

Festival ini bertujuan untuk memperkenalkan Pasir Gudang bukan sahaja sebagai sebuah bandar perindustrian tetapi juga sebagai tumpuan pusat rekreasi dan sukan bertaraf antarabangsa.

Di samping itu melalui permainan layang-layang ini PBT Pasir Gudang akan dapat mempelbagaikan aktiviti-aktiviti sukan di peringkat antarabangsa khususnya di Pasir Gudang dan Malaysia amnya.

Melalui festival ini juga, permainan layang-layang yang merupakan permainan tradisi masyarakat tempatan dan juga masyarakat di seluruh pelusuk dunia dapat dimajukan sebagai aktiviti sukan yang bertaraf antarabangsa.

Selain itu, penganjuran festival ini secara tidak langsung dapat menarik kehadiran para pelancong dan pelabur ke Negeri Johor, khususnya ke Pasir Gudang dan seterusnya mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

ACARA-ACARA MENARIK SEPANJANG FESTIVAL

17 Februari 2003 (Isnin), 10.30 malam di Stadium Perbadanan Pasir Gudang

* Pertandingan Wau Cantik Di Bumi Bagi Kategori Wau Tradisi

Pertandingan Wau Cantik Di Bumi akan disertai oleh pelajar-pelajar sekolah dari seluruh negeri di Malaysia. Para peserta akan mempamerkan Wau Tradisi yang dibuat sendiri untuk diadili dan diberi markah tercantik berdasarkan keaslian, kreativiti dan hiasannya.


18 Februari Hingga 23 Februari 2003 (Selasa - Ahad), 9.00 pagi hingga 6.00 petang di Bukit Layang-layang, Taman Bandar, Pasir Gudang

* Pertandingan Wau Tradisional

Pertandingan ini akan disertai oleh peserta-peserta tempatan terdiri daripada pelajar-pelajar, ahli persatuan/kelab pelayang dari seluruh negeri di Malaysia. Wau yang dipertandingkan adalah Wau Tradisi iaitu Wau Daun, Wau Bulan, Wau Jala Budi, Wau Merak.

Antara kriteria pemarkahan bagi pertandingan ini adalah ketinggian dan ketahanan wau tradisi ini di udara.

* Pertandingan 'Malay Kite'

"Malay Kite" dijadikan tema bagi festival layang-layang pada tahun ini kerana masyarakat antarabangsa mengenali layang-layang ini sebagai permainan anak-anak Melayu sejak dahulu kala lagi. Kosnya yang murah serta rekabentuknya yang mudah dan ringkas membolehkan layang-layang ini dibuat oleh semua peringkat umur.

Pertandingan 'Malay Kite' menjadi salah satu acara utama pada tahun ini di mana layang-layang para peserta akan dilagakan di udara dan pemenang adalah layang-layang terakhir dijatuhkan dan diputuskan talinya.

* Pertandingan melukis dan mewarna

Acara ini dibuka kepada kanak-kanak dan para pelajar 4 tahun hingga 17 tahun yang akan diadakan di Bukit Layang-layang pada 18 Februari, 19 Februari dan 20 Februari.

* Bengkel Membuat Wau Tradisi

Bengkel akan berlangsung selama 4 hari berturut-turut mulai 18 Februari dan akan disertai oleh pembuat-pembuat wau tradisi. Para pengunjung boleh menyaksikan bagaimana wau tradisi dibuat dari peringkat meraut buluh, membuat rangka, menyobek dan bagaimana wau ini dinaikkan.

* Bengkel Layang-Layang Awam

Bengkel awam ini membolehkan anak-anak membuat sendiri layang-layang yang mudah dan ringkas dengan bimbingan pembuat wau dan peserta antarabangsa dan menerbangkannya ke udara.

* Pertandingan Rokkaku Korporat

Pertandingan ini merupakan antara acara menarik yang pasti menjadi perhatian pengunjung. Semua peserta yang terdiri dari institusi korporat akan menerbangkan layang-layang Rokakku masing-masing dan cuba menjatuhkan layang-layang lawan di udara untuk muncul sebagai pemenang.

* Pertandingan Wau Ciptaan

Kategori wau ciptaan kreatif dan moden ini membolehkan para peserta mempamerkan wau ciptaan masing-masing dan pemarkahan akan diberikan kepada kecantikan, kreatif dan ketahanan di udara.

* Persembahan Layang-Layang Kreatif Peserta Tempatan Dan Antarabangsa

Para peserta tempatan dan antarabangsa akan menerbangkan layang-layang besar ciptaan negara masing-masing sepanjang festival berlangsung. Antara layang-layang yang akan diterbangkan di udara Bukit Layang-Layang pada festival kali ini adalah layang-layang Durian (Persatuan Pelayang Johor), Cuttle Fish, Pharo, Cobra dari Jerman, Dragon Kite (China) dan Edo Kite daripada Jepun.

Para pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan layang-layag tradisional negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan Thailand.

* Pertunjukan Layang-Layang Tradisional Jepun (Takko)

Pada tahun ini seramai 35 orang peserta Jepun dari 4 wilayah di Jepun iaitu Shirone, Showmanchi, Yokaichi dan Tokyo akan mempersembahkan keunikan permainan layang-layang masyarakat Jepun yang dikenali dengan "Takko" yang kebiasaannya dimainkan semasa musim menuai setiap tahun.

Layang-layang yang akan diterbangkan ini berbentuk empat segi tepat dengan saiz 30 kaki x 20 kaki dan bentuknya berbeza mengikut daerah masing-masing. Peserta akan melagakan layang-layang mereka dan menjatuhkan lawan untuk menjadi pemenang.

* Acara Belon Udara Panas

Acara menarik untuk disertai oleh para pengunjung yang ingin menaiki belon panas dengan bayaran RM 10 seorang bagi dewasa dan RM 5 seorang bagi kanak-kanak. Sebuah belon panas boleh membawa 8 hingga 10 orang dalam satu masa dan naik setinggi 40 meter.

Acara belon panas akan bermula pada 21 Februari hingga 23 Februari di Bukit Layang-layang, Taman Bandar mulai jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi. Para pengunjung juga berpeluang menaiki belon panas ini pada sebelah malam iaitu pada 21 Februari.

* Pameran Pasu Seramik Johorcraft Pasir Gudang

Para pengunjung juga boleh menyaksikan pameran pasu seramik keluaran Johorcraft Pasir Gudang yang menonjolkan rekabentuk tulisan khat dan corak sobek wau yang menarik. Turut dipamerkan adalah koleksi Johorcraft sejak awal penubuhannya hingga kini di samping demonstrasi membuat pasu Johorcraft Pasir Gudang.

* Bazaar Jualan Cenderamata

Pelbagai barangan cenderamata festival layang-layang seperti t-shirt, topi dan pelbagai jenis layang-layang tradisional, layang-layang kreatif dan moden dijual sepanjang festival ini berlangsung mulai 18 hingga 23 Februari.

21 Februari dan 22 Februari, 9.00 malam hingga 11.00 malam di Bukit Layang-layang, Taman Bandar

* Acara Persembahan Kebudayaan

Pelbagai acara kebudayaan turut diadakan untuk para pengunjung. Pada tahun ini sempena dengan Melawat Johor Tahun 2003, para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan tradisi rakyat negeri Johor antaranya zapin, kuda kepang dan barongan.

Dikeluarkan oleh :
YBhg Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim
Ketua Eksekutif Johor Corporation Merangkap Yang
DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang Selaku
Presiden Majlis Pelayang Malaysia

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

Noorhayati Sarmoen
Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang
L3-06 Kompleks Pusat Bandar
81700 Pasir Gudang, Johor

Tel: 07-251 3720, 251 3721, 255 3722, Faks: 07-251 5260
E-mel: pbtpg@po.jaring.my

DIKELUARKAN OLEH MAJLIS TINDAKAN PELANCONGAN JOHOR
HUBUNGI : RASHIDI ABDUL JALIL
TEL : 07-224 9960 / 224 1432 / 223 4935
FAKS : 07-223 7554
TARIKH SIARAN : 14 FEBRUARI 2003
DISIARKAN OLEH BERNAMA PRWIRE MALAYSIA*GLOBAL

 
 
 

Copyright @ 2014 MREM . All rights reserved.