|
|
|
|
 |
| |
|
|
6 AHLI KWSP BERSALAH MENIPU PENGELUARAN
Thursday 05/11/2009
KUALA LUMPUR, 5 November 2009 -
KWSP Amal Toleransi Sifar Cegah Aktiviti Penipuan
Berikutan usaha berterusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencegah kegiatan penipuan, seramai enam ahli telah disabitkan kesalahan kerana terlibat menipu pengeluaran perumahan pada suku tahun ketiga 2009.
Semua enam ahli terbabit telah disabitkan kesalahan dan didenda oleh mahkamah dengan lima daripada mereka berkemungkinan dipenjarakan sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
“Kegiatan penipuan adalah bertentangan dengan objektif utama KWSP untuk melindungi simpanan ahli bagi kegunaan persaraan mereka. Sehubungan itu, KWSP mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang percubaan menipu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur,” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP.
Setakat 30 September 2009, sejumlah 107 ahli telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.
Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.
KWSP turut memberi amaran kepada ahli agar lebih berhati-hati dengan sindiket yang mungkin mendekati mereka dengan tawaran yang lumayan dan sukar ditolak.
Kata Nik Affendi, “Ahli dinasihati melaporkan kepada KWSP atau pihak polis dengan serta merta sekiranya didekati mana-mana pihak yang menawarkan untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi pihak ahli walaupun mereka mendakwa ianya dibuat menerusi saluran yang sah.
“Ahli yang ingin memohon pengeluaran KWSP digesa untuk berurusan secara terus dengan KWSP. Pegawai KWSP sentiasa bersedia membantu ahli dan perkhidmatan yang diberikan adalah percuma.”
Usaha KWSP untuk mengesan dan mencegah kegiatan penipuan juga telah dipertingkatkan lagi dengan pengenalan Polisi Anti-Fraud dan Pendedahan Maklumat pada awal tahun ini.
“Tindakan KWSP untuk memerangi kegiatan penipuan adalah satu usaha berterusan dan KWSP kekal komited dalam memastikan simpanan ahli terus dilindungi dan selamat pada setiap masa,” kata Nik Affendi.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
SUMBER: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
NAMA: Siti Ezrina Alias
Penolong Pengurus
Jabatan Komunikasi Korporat
TEL: 03 - 2616 1893
TARIKH SIARAN: 5 NOVEMBER 2009
DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA BERNAMA
|
|
|
|
|
|