|
|
|
|
 |
| |
|
|
TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH Y.BHG. DATUK NIK MUSTAPHA B. HJ. NIK HASSAN, KETUA PENGARAH INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA DI SEMINAR “MEMPERKASA PERANAN TEKNO-DAEI : CABARAN DALAM PEMBANGUNAN DAN PENGGUNAAN ICT” 27- 28 OKTOBER 2009
Tuesday 27/10/2009
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Selamat Pagi
1. Segala pujian bagi Tuhan Semesta Alam, Selawat dan Salam kepada junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, juga kepada kaum keluarganya, para sahabatnya dan semua pengikut pengikutnya.
2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada para pembentang, pengerusi sesi dan para peserta sekaliannya kerana sudi hadir ke Seminar Memperkasa Peranan Teknodaei: Cabaran Dalam Pembangunan Dan Penggunaan ICT.
3. IKIM telah menganjurkan pelbagai seminar di bawah pelbagai tema dan tajuk untuk memberikan kefahaman mengenai Islam. Seminar yang kita hadiri pada hari ini menumpukan kepada isu-isu semasa yang berkaitan dengan dakwah dalam era globalisasi semasa serta cabarannya kepada kita sebagai umat Islam khususnya dalam mendepani ledakan teknologi maklumat.
4. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mencetus satu fenomena baru yang mewujudkan dunia tanpa sempadan. Dua elemen teknologi yang diserapkan dalam ICT ialah teknologi maklumat dan teknologi komunikasi. Teknologi maklumat ialah satu cara untuk menyimpan, memproses dan menganalisis data menjadi maklumat berguna dengan menggunakan peralatan dan perkakasan. Manakala teknologi komunikasi ialah kaedah untuk menyampaikan maklumat daripada penyampai kepada penerima. Oleh itu, ICT boleh dimanfaatkan oleh teknodaei untuk mencari maklumat bagi memperkaya ilmu pengetahuan dan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai. Disinilah pentingnya kebijaksanaan para teknodaei dalam menjadikan ICT sebagai satu platform atau wadah berkesan untuk memilih aplikasi ICT yang terbaik dalam menyampaikan dakwah.
5. Pembangunan dunia yang semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan adakalanya alam maya mula terasa sempit. Namun, tidak mungkin akan menyempitkan golongan masyarakat kita yang sentiasa inginkan perubahan tetapi perlulah sentiasa disuntik dengan asas pendidikan yang berlandaskan agama. Justeru, disinilah peranan yang dimainkan oleh para teknodaei agar memandang setiap penjuru kebangkitan teknologi untuk dimanfaatkan dan tidak terus ketinggalan.
6. Apabila membicarakan tentang penggunaan ICT, maka kita tidak boleh lari daripada memperkenalkan dengan dunia internet. Sistem inilah yang membuatkan perhubungan menjadi semakin pantas, canggih dan mencabar. Perkembangan ini telah memberi kesan yang besar kepada cara manusia berinteraksi dan berkomunikasi. Penggunaan alat ICT pada hari ini bukan sekadar internet dan komputer, malah lebih daripada itu yang dapat dimanfaatkan oleh setiap orang, antaranya perisian multimedia, animasi, power point, telefon mudah alih, gerbang sesawang, jaringan sosial internet, perpustakaan digital, perkongsian fail, permainan atas talian dan banyak lagi.
7. Masyarakat Islam perlu memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dan mengambil pakai kecanggihan teknologi tersebut untuk menonjolkan ciri-ciri masyarakat yang mengamalkan sistem budaya dan nilai yang baik dan tidak melupakan sikap saling hormat menghormati sesama manusia. Ciri- ciri inilah yang akan menjadikan kita gulungan manusia yang dapat memakmurkan bumi. Pembinaan individu Muslim harus diusahakan dengan menggunakan alat- alat era teknologi maklumat serta perisian yang dibangunkan demi memastikan bahawa orang Islam juga mampu memahami keupayaan dan kaedah penggunaan ICT dan mampu menyumbangkan pandangan serta membangunkan teknologi, bukan sekadar menggunakan teknologi.
8. Laporan Khas daripada Internet World Statistics mendapati pengguna internet di Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 356.8% dari tahun 2000 hingga 2009 dengan kadar penembusan 65.7% daripada jumlah penduduk. Ini bermakna, rata- rata masyarakat kita sudah mengenali dan menggunakan internet di mana- mana tempat. Walaubagaimanapun pada tahun 2008, statistik menunjukkan pengguna internet yang tertinggi sekali adalah di Lembah Kelang iaitu sebanyak 39.1% berbanding negeri- negeri lain di Malaysia di mana nisbah pengguna kawasan bandar berbanding pengguna kawasan luar bandar adalah dengan kadar 6:1. Ini mungkin dapat kita lihat, kadar kemudahcapaian internet di kawasan luar bandar masih lagi rendah. Namun, dalam menghadapi ledakan penggunaan ICT ini, seharusnya semua lapisan masyarakat berpeluang untuk mendapatkan kemudahan internet tidak kira di bandar atau di desa. Kajian Jalur Lebar Tanpa Wayar SKMM 2009 juga mendapati sebanyak 39.4% daripada semua langganan jalur lebar mudah alih adalah untuk kegunaan pengguna di rumah. Ini bermakna, rakyat Malaysia telah mempunyai kesedaran keperluan internet dan melanggan jalur lebar untuk kemudahan capaian di rumah. Baru- baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyatakan bahawa caj yang dikenakan oleh syarikat pembekal jalur lebar di negara kita adalah lebih tinggi dan tidak sepadan berbanding dengan negara jiran dan negara membangun lain. Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta membuat kajian dengan segera dan mencari penyelesaian yang sesuai untuk mengatasi masalah ini. Secara logiknya, jika kos jalur lebar yang dikenakan kepada pengguna adalah tinggi, bermakna kadar untuk masyarakat sederhana dan miskin menikmati kemudahan teknologi internet akan berkurang. Dan ini, tidak dapat merealisasikan hasrat untuk mengurangkan jurang digital yang wujud antara masyarakat bandar dan luar bandar.
9. Namun begitu, dalam keghairahan kita menggunakan teknologi yang semakin canggih, seharusnya perlu dilihat kesan yang memudaratkan jika pembangunan tidak mengikut acuan Islam yang betul. Berdasarkan kajian oleh Norton Online Living Report 2009 di Malaysia tentang tabiat penggunaan internet, pasti antara kita terkejut kerana sebenarnya remaja di negara kita menghabiskan masa 16 jam seminggu untuk melayari internet. Jumlah itu sebenarnya adalah 6 jam lebih banyak daripada masa purata Norton Online Report di peringkat global yang menjalankan kajian ke atas 12 negara utama di dunia. Tempoh masa itu juga adalah 4 jam lebih banyak berbanding ibu bapa mereka yang melayari internet. Menerusi kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pada tahun 2008, pengguna internet majoritinya adalah daripada lingkungan umur 15 hingga 19 tahun iaitu 17.9% dan diikuti dengan lingkungan umur 20 hingga 24 tahun sebanyak 15.7%. Jika dilihat daripada perangkaan ini, jelas bahawa kelompok remaja dan belia lebih ramai menggunakan internet, berkemungkinan ia menunjukkan bahawa golongan tersebut menggunakan internet untuk proses pembelajaran sama ada di sekolah atau di Institut Pengajian Tinggi. Namun kita harus sedar, situasi ini menyebabkan golongan tersebut lebih terdedah kepada penggunaan internet yang lama. Dan yang menjadi persoalannya, apakah yang dilakukan oleh remaja di dalam talian tersebut, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya menyumbang kepada permasalahan sosial negara kita. Dan disini bermulanya peranan teknodaei yang mengetahui selok belok tentang teknologi dan juga bagaimana menyampaikan ajaran dakwah agar ia sampai ke akar umbi.
10. Persoalan eksploitasi teknologi ke arah membawa kemudaratan jarang sekali mendapat perhatian oleh banyak pihak. Namun, dalam mewujudkan generasi cyber ummah seharusnya aspek ini tidak diketepikan dan perlu dipandang serius oleh para teknodaei dan seluruh masyarakat yang wajar digelar sebagai teknodaei. Ini kerana, laporan daripada Norton Online Living Report menyatakan bahawa 60% daripada remaja kita menghabiskan masa menggunakan internet hanya untuk melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu yang tidak dikenali. Kajian juga menunjukkan empat daripada lima remaja mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Persoalannya, bagaimana kemanfaatan daripada teknologi terkini terus dapat dikecapi sekiranya generasi muda kita sewenang- wenangnya menyalahgunakan teknologi, bukan setakat untuk mencari hiburan tetapi aktiviti melalaikan yang akan merencat pembinaan akhlak generasi Islam pada masa akan datang.
11. Sebarang usaha berkaitan dengan dakwah perlu berlandaskan panduan yang digariskan dalam Islam. Tidak hairanlah jika dikatakan perlunya golongan pendakwah yang menguasai ICT, memandangkan generasi kita sekarang seolah- olah tidak boleh dipisahkan dengan teknologi tersebut dan agak sinonim dengan sebarang pengetahuan teknologi yang terkehadapan. Jadi, perlunya kepada pendakwah teknologi ini untuk menghampiri dan mendekati golongan techno-savvy atau masyarakat celik ICT yang telah begitu selesa dengan perkembangan teknologi. Sepertimana yang telah dikatakan oleh Saidina Umar Al Khattab: “Ajarlah anak- anakmu dengan ilmu semasa. Sesungguhnya mereka dicipta di suatu zaman yang bukan lagi zamanmu”. Jadi, bertepatan dengan itulah, sesuai dengan perkembangan zaman teknologi siber, teknodaei juga harus dididik mengikut acuan dan rentak zaman ini agar tidak ketinggalan dalam menjalankan dakwah islamiah.
12. Islam menitikberatkan dan sangat cermat dalam sebarang usaha dakwah. Firman Allah SWT dalam surah an Nahl ayat 125 yang membawa maksud, “Serulah (manusia) kepada Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang- orang yang mendapat petunjuk”. Ayat ini menekankan peri pentingnya perkara hikmah itu didahului oleh para teknodaei. Dakwah wajib membawa roh bimbingan dengan memberikan pelajaran dan pengajaran yang baik. Jika perlu berbantah-bantah sekalipun kerana ada perselisihan pendapat, maka hendaklah ia dipilih dalam kaedah terbaik. Demikianlah betapa telitinya Islam dalam memelihara adab dan akhlak sewaktu berkomunikasi ketika berdakwah.
13. Perkembangan teknologi masa kini membantu usaha dakwah oleh para teknodaei untuk menyampai dan mengembangkan ajaran Islam tetapi teknologi tersebut tidak akan menjamin ajaran Islam dapat disampaikan sempurna kerana ia bergantung kepada tahap pemahaman setiap individu. Maka, pengetahuan tentang penggunaan ICT dapat memperkasakan lagi peranan teknodaei supaya boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam dan perkembangan Islam. Kalau umat Islam tidak menggunakannya, ia akan digunakan oleh pihak lain untuk merugikan malahan memusnahkan kita. Justeru, dalam kerangka pemahaman yang sedemikian, maka kita digesa oleh Allah dalam al Quran agar menyediakan diri dengan pelbagai jenis kekuatan untuk mempertahankan diri dan yakin dengan ajaran agama kita. Kita juga perlu berwaspada, kerana andai kita terlalai maka musuh Islam akan bertindak ke atas kita dan tidak mustahil dengan menggunakan teknologi juga.
14. Oleh itu disarankan agar kita sama- sama memartabatkan diri dengan ilmu dan memperkasakan peranan teknodaei dengan teknologi. Capaian yang mudah mengenai ilmu dan maklumat memberi kelebihan kepada umat Islam pada hari ini dalam proses mencari ilmu. Contoh yang paling dekat ialah laman web yang disediakan oleh pihak IKIM yang memuatkan banyak capaian ilmu. Laman web IKIM juga pernah mencapai hits hampir 7000 capaian dalam sehari. Begitu juga dengan laman web JAKIM yang mana banyak memaparkan aplikasi e- rujukan yang menjadi permintaan masyarakat dan menjawab permasalahan Islam kini. Banyak juga portal- portal Islam yang begitu sarat dengan informasi dilaksanakan oleh badan- badan professional mahupun orang perseorangan. Kita juga dapat melihat perkembangan elemen animasi dan kartun yang disuntik dalam pembikinan filem dalam negara kita yang menjadi saluran kepada dakwah. Ia merupakan satu perkembangan positif apabila unsur- unsur dakwah dapat disampaikan secara menarik kepada golongan yang lebih muda. Aplikasi yang amat popular di kalangan pengguna internet pada hari ini ialah blog yang dikatakan seperti sebuah diari atau buku catatan. Tidak hairan jika blog juga boleh diaplikasikan sebagai satu uslub dakwah. Dan ternyata dakwah itu tidak terhad kepada penyampaian ceramah semata- mata. Pendek kata, laman web atau internet boleh dijadikan medan cybertaklim bagi golongan yang tahu untuk memanfaatkan teknologi dan mahu mencari ilmu menggunakan teknologi.
15. Dalam mendepani cabaran teknologi ICT ini seharusnya suatu cara yang komprehensif dan berkesan mestilah dibentuk bagi memastikan kegiatan dakwah menerusi multimedia (ICT) dapat dilaksanakan dengan teratur dan rapi serta menepati pada kumpulan sasarannya. Satu jalinan dan usahasama yang kuat antara pakar-pakar Muslim dalam pelbagai bidang dan antara institusi dan organisasi yang berwibawa adalah diharapkan agar lahir satu kesan yang besar dalam pembentukan generasi Islam dan mampu mendaulatkan Islam itu sendiri kerana Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Maka, sebagai penganut Islam, kita yang seharusnya memartabatkan Islam dengan menguasai teknologi agar tidak terus ketinggalan, bukannya teknologi yang menakluki kita. Ia amat bersesuaian dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah, “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan”. (Surah al-Saf ayat 2-3)
16. Atas semangat itu, maka seminar yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia ini diharapkan dapat membantu dalam usaha pemerkasaan pendakwah teknologi yang diistilahkan sebagai teknodaei dalam mendepani cabaran semasa. Semoga hasil perbincangan seminar dua hari ini dapat memberikan hasil yang baik kepada semua dan memberi nilai tambah kepada golongan pendakwah untuk membuka mata dalam menghadapi zaman yang penuh informatif dan berteknologi ini. Diharapkan juga ia memberi kesedaran kepada kita sebagai orang Islam agar tidak terus ketinggalan dalam arus pemodenan yang semakin laju, malah seharusnya perlu diisi dengan ilmu dan iman dan menongkah zaman ledakan ini secara bijaksana dan tuntas.
17. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan pembukaan Seminar “Memperkasakan Peranan Teknodaei: Cabaran Dalam Pembangunan Dan Penggunaan ICT” ini.
Terima kasih, Assalammualaikum Warahmatulullahi Wabarakatuh
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysian (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI :
NAMA : Sapuah Nawawi
MOBIL: 012 309 4427
TARIKH SIARAN : 27 OKTOBER 2009
DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA BERNAMA
|
|
|
|
|
|