PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

September 02, 2014 -Selasa

 
 
  TINDAKAN-TINDAKAN PENCEGAHAN DAN KAWALAN KE ATAS PUNCA-PUNCA KEJADIAN JEREBU SEMASA MUSIM PANAS DAN KERING

Tuesday 09/06/2009

KUALA LUMPUR, 9 JUN 2009 - Mengikut Laporan Cuaca Semasa Dari Jabatan Meteorologi Malaysia Sehingga Bulan September 2009, Negara Akan Mengalami Keadaan Cuaca Panas Dan Kering Semasa Musim Monsun Barat Daya. Jabatan Meteorologi Malaysia Juga Memaklumkan Bahawa Fenomena El Nino Sedang Berbentuk, Walau Bagaimanapun Kekuatan El Nino Hanya Dapat Dikenalpasti Pada Bulan Ogos 2009. Dalam Keadaan Ini, Aktiviti Pembakaran Terbuka Yang Boleh Menyumbang Kepada Kejadian Jerebu Dijangka Akan Meningkat.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan kejadian jerebu semasa musim panas dan kering telah mengambil beberapa langkah proaktif dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan telah diadakan pada 23 Februari 2009 dan 8 Jun 2009 di mana agensi-agensi yang terlibat dalam pengendalian bencana jerebu telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar secara berterusan meningkatkan aktiviti pemantauan melalui udara (aerial surveillance ) dengan kerjasama Unit Udara Polis dan syarikat penerbangan swasta yang kini dijalankan setiap hari bagi mengesan kes-kes pembakaran terbuka, dengan memberi tumpuan ke kawasan-kawasan yang mudah terbakar di Negeri Selangor, Pahang dan Johor terutamanya di kawasan paya gambut dan tapak-tapak pelupusan sampah.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui agensi–agensi di bawahnya seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sedang mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mencegah aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pelepasan habuk atau bendasing ke udara. Dalam hal ini, agensi-agensi berkenaan akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pertanian, RELA dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Selain kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat, pihak Kementerian juga telah mendapatkan kerjasama syarikat-syarikat penerbangan komersial iaitu “Malaysia Airlines System (MAS)” dan “Air Asia” bagi melaporkan kes-kes pembakaran terbuka yang dikesan semasa penerbangan dan pendaratan.

Laporan satelit yang diperolehi dari “ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semenjak 25 Mei 2009 sehingga 7 Jun 2009 menunjukkan 125 titik panas (hotspot) dikesan di Malaysia. Laporan dari ASMC ini juga menunjukkan peningkatan titik panas (hotspot) di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia iaitu masing-masingnya sebanyak 996 dan 108 titik panas (hotspot).

Bagi menangani masalah pencemaran jerebu merentas sempadan, Malaysia dan Indonesia telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) ke arah usaha-usaha pencegahan kebakaran tanah dan hutan serta jerebu di Wilayah Riau, Sumatra, Indonesia pada 3 Jun 2008 lalu.

Sejajar dengan MoU ini, tiga (3) program kerjasama telah dilaksanakan iaitu (i) Bengkel Latihan Bina Upaya Amalan Tanpa Pembakaran (Zero Burning ) Kepada Ketua-Ketua Masyarakat dan Para Petani dari Daerah Rokan Hilir, Wilayah Riau (ii) Latihan Pemadaman Api Kepada Sukarelawan Pemadam Kebakaran dari Daerah Rokan Hilir, Wilayah Riau dan (iii) Pemasangan alat pengawasan kualiti udara sebagai sistem amaran awal mengesan jerebu di Kota Bagan Siapi-api di Daerah Rokan Hilir, Wilayah Riau.

Sebuah program kerjasama yang sedang dilaksanakan adalah menjalankan “projek perintis” pembinaan sekatan di terusan gambut (canal blocking ) di Daerah Rokan Hilir, Wilayah Riau bagi memulihkan kawasan-kawasan gambut yang telah terbakar dengan bantuan teknologi dan kepakaran dari Global Environment Centre (GEC) . Projek-projek perintis ini melibatkan penyertaan masyarakat tempatan dari lima (5) buah desa iaitu Desa Bantaian Baru, Desa Bantaian Hilir, Desa Bantaian Induk, Desa Rantau Bais dan Desa Mumugo.

Status kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara pada masa kini didapati sedikit merosot dengan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan adalah di antara 51 hingga 100, menjadikan keadaan sedikit berjerebu. Keadaan berjerebu yang dialami ini disebabkan atmosfera yang stabil dengan paras kelembapan yang tinggi, melebihi 85 peratus. Ini menyebabkan pencemar-pencemar udara seperti habuk dan ozon di permukaan bumi (O3 ) yang dilepaskan oleh kenderaan bermotor, industri dan aktiviti pembakaran terbuka berkumpul dan semakin bertambah di ruang udara menyebabkan jarak penglihatan berkurangan.

Berdasarkan laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), pada 8 Jun 2009 jarak penglihatan di beberapa kawasan tertentu seperti di sekitar Prai, Bayan Lepas, Subang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuantan merosot iaitu di antara 6 km hingga 9 km.

Jabatan Alam Sekitar akan terus mengawasi secara rapi bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di seluruh negara bagi mengesan sebarang kemerosotan kualiti udara dan kejadian jerebu.

Sehubungan dengan ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebab pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-8888 0036 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 .

SUMBER : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI :
NAMA:MOHD HAIZUL BIN HOD
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
TEL : 03-88861585

TARIKH SIARAN : 9 JUN 2009
DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA BERNAMA


 
 
 

Copyright @ 2014 MREM . All rights reserved.