Februari 09, 2025 -Ahad

 
  KKM TEGAS PANTAU LIMAU MANDARIN DAN JAMIN KESELAMATAN PENGGUNA SEMPENA TAHUN BARU CINA

Monday 27/01/2025



KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam memastikan keselamatan makanan adalah terjamin terutamanya semasa musim perayaan utama negara seperti Tahun Baru Cina.

Dalam hal ini, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah melaksanakan pemantauan khas bagi limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan di semua 70 buah pintu masuk negara yang telah dilakukan bermula November 2024 bagi memastikan semua limau mandarin yang memasuki negara ini mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985), Akta Makanan 1983. Selain itu, KKM turut menjalankan operasi khas di seluruh negara yang dinamakan Ops Tahun Baru Cina bermula 19 Januari sehingga 1 Februari 2025 untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.

Berdasarkan data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) negara China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir merupakan pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia sepanjang tahun 2024.

Hasil pemantauan tersebut, sebanyak 243 sampel limau mandarin telah dianalisa dan didapati 9 sampel (3.7%) tidak mematuhi kadar maksima residu racun perosak di bawah PPM 1985. Semua sampel yang melanggar telah dilupuskan. Setiap pengimport yang terlibat dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) pada kemasukan seterusnya di mana konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi standard yang ditetapkan. PKKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985. KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin, demi melindungi pengguna dan memastikan produk yang berada di pasaran adalah selamat untuk dimakan.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku, pengguna juga boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:

http://moh.spab.gov.my
https://www.facebook.com/bkkmhq

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 JANUARI 2025


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187


--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.