ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN ISU BOIKOT

Tuesday 07/05/2024



KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Akhir-akhir ini timbul isu berkaitan status boikot ekoran dari tindakan sebahagian masyarakat memboikot syarikat kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) ekoran isu penjualan stoking yang tertulis kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka tersebut.

Sebelum itu, isu boikot juga hangat diperkatakan apabila berlaku gerakan memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel disebabkan kezaliman yang berlaku di Palestin.

Sahibus Samahah Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh memberikan pandangan bahawa boikot yang dijalankan khususnya terhadap syarikat KK Mart harus dihentikan dengan hujah bahawa ia berlawanan dengan keadilan Islam. Beliau juga berpandangan bahawa boikot yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak menepati Sunnah Baginda SAW dan boleh menjerumuskan dalam kezaliman.

IKIM berpandangan bahawa isu boikot harus dilihat berdasarkan kepada neraca keadilan dan juga melihat kepada aspek maslahah dan mafsadah secara mendalam. Adakah tindakan yang kita lakukan itu adil dan benar, dan adakah tindakan kita itu mendatangkan kebaikan atau sebenarnya mengundang lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Sememangnya tindakan memboikot menunjukkan kuasa pengguna yang sebenar terutama dalam menyampaikan mesej kepada syarikat-syarikat yang telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan umum. Ia juga memberi isyarat penting kepada pengusaha di Malaysia bahawa mereka perlu jujur dalam perniagaan serta sentiasa mengekalkan kualiti produk serta perkhidmatan.

Namun persoalan penting yang harus ditanyakan sejauh mana keberkesanan boikot ini terutama melihat dalam konteks yang lebih luas termasuk kesan ke atas kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan? Kedua, adakah boikot yang dijalankan memberi keadilan sebenar kepada pelbagai pihak yang terlibat dan terkesan dengan tindakan tersebut?

Sebahagian pakar ekonomi berpandangan bahawa pendekatan boikot yang dijalankan lebih bersifat reaktif, sementara dan berasaskan emosi. Ia mungkin menghasilkan natijah yang sementara akan tetapi tidak efektif dalam jangka masa panjang dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.  Impak boikot adalah minimum kepada ekonomi domestik kerana ia lebih bersasar kepada perniagaan tertentu. Yang pasti, impak boikot yang lebih ketara akan menyebabkan perniagaan yang disasarkan itu bukan sahaja mengalami penurunan jualan dan keuntungan malah berdepan dengan risiko rugi. Pada masa sama, kedudukan negara sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan terjejas teruk.

Langkah memboikot beberapa jenama yang berlaku boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Ini kerana syarikat-syarikat besar ini merupakan antara pembayar cukai yang terbesar di Malaysia. Buat masa ini, pemegang saham terbesar bagi rangkaian McD, KFC dan Pizza Hut dimiliki oleh orang Islam. Dikhuatiri, boikot yang bersifat emosi dan tanpa perancangan rapi akan meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri. Tindakan ini juga menjejaskan sektor pekerjaan terutama membabitkan tenaga kerja tempatan terutama pekerja yang bekerja dengan entiti perniagaan yang diboikot, akan turut menerima kesan seperti pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan.

IKIM merasakan bahawa isu boikot ini harus diteliti secara mendalam. Di samping menjalankan penyelidikan berkaitan isu boikot ini, IKIM akan menganjurkan dalam masa terdekat perbincangan meja bulat yang menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang agar penyelesaian terbaik dapat dicari berkaitan dengan isu ini.

Sekian, terima kasih.
 
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia
 
7 Mei 2024
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Ketua Perhubungan Korporat 
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tel: 03-6204 6329
Faks: 03-6201 4189
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.