ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 21, 2024 -Selasa

 
  ISU TAKFIRI, PEMIKIRAN KHAWARIJ BAHARU DAN PENGGUNAAN PERKATAAN KAFIR

Monday 01/04/2024



KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar menyatakan gelombang pemikiran khawarij baharu dan takfiri di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Pemikiran khawarij baharu iaitu menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim manakala takfiri pula merujuk kepada tuduhan mengkafirkan orang lain dengan mudah.

Golongan keterlaluan atau melampau (ghuluw) ini menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami dan mengambil sesuatu tindakan. Ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama.

Begitu juga, isu terkait insiden melempar bola api ke kedai serbaneka KK Super Mart cawangan Sungai Isap, Kuantan dan Bidor, Perak susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dianggap keterlaluan.

IKIM senada dengan usaha kerajaan yang akan senantiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform supaya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ini juga selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Berhubung isu panggilan kafir, terdapat sekurang-kurangnya 310 tempat menyebut perkataan kafir dalam al-Quran dan al-Hadis. Meskipun begitu, menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi, hanya terdapat dua ayat sahaja dalam al-Quran yang memanggil mereka secara langsung dengan panggilan “Wahai orang-orang kafir” iaitu dalam surah at-Tahrim ayat 7 dan surah al-Kafirun ayat 1. Ketetapan ini menunjukkan perbezaan antara keimanan dan kekufuran seseorang individu yang penggunaannya tidak berubah.

Melihat kepada keadaan dan konteks yang berbeza seperti dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Datuk Prof. Madya Dr Luqman Hj Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, boleh memanggil orang-orang yang berbeza agama dengan Islam dengan panggilan bukan Muslim (non-Muslim/ghayru Muslim). Istilah ini lebih harmoni dalam konteks di Malaysia yang menyaksikan kepelbagaian agama.

Dalam Kajian Piagam Harmoni Malaysia (PHM) yang sedang dijalankan oleh pihak IKIM juga, terdapat perkara-perkara ditekankan ke arah usaha mewujudkan masyarakat harmoni yang memerlukan kerjasama setiap masyarakat Malaysia.

Oleh yang demikian, pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta'ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. 

YBHG. PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH
INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
 
1 APRIL 2024
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT 

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail  
Tel: 016-2195345 
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: Cik Nor Zuliana binti Mohd Zaman 
Tel: 019-5622221 
Emel: zuliana@ikim.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.