ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 27, 2024 -Sabtu

 
  KELONGGARAN KRITERIA PENGAMBILAN JURURAWAT TERLATIH WARGA ASING (JTWA) DI FASILITI KESIHATAN SWASTA

Monday 18/09/2023



KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kekurangan tenaga kerja jururawat di kedua-dua sektor awam dan swasta memberi kesan yang besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini. Perkara ini telah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ianya harus segera diatasi.
 
Kriteria yang sedikit mengekang berkenaan pengambilan Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) oleh pihak swasta, seperti termaktub dalam Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018, telah dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara, demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing.
 
Kini, fasilti kesihatan swasta dibenarkan mengambil JTWA tanpa kelayakan pos basik, tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
 
1. JTWA perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.
 
2. Pengambilan JTWA sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA. Perkara ini akan dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

3. Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut.
 
4. Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak.
 
Keputusan ini telah disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ianya dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka. Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong KKM dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta. KKM menjangkakan langkah ini akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara.
 
Namun demikian, KKM prihatin dan tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.
 
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025. Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara.
 
Kerajaan sentiasa cakna dan sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam menyelesaikan isu berhubung perkhidmatan kesihatan di negara ini. Melalui kelonggaran kriteria pengambilan JTWA, diharapkan semua fasilti kesihatan swasta akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia.
 
 
DR ZALIHA MUSTAFA 
MENTERI KESIHATAN 
18 SEPTEMBER 2023 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187 

--BERNAMA
 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.