April 28, 2025 -Isnin

 
  PERNAS LABUR RM5 JUTA BANTU BUBBLES O2 TEMBUSI PASARAN LUAR

Wednesday 13/09/2023



Table
Pemberian cek replika oleh Dato’ Abu Bakar As-Sidek, Pengerusi EXCO Pernas kepada Encik Arifin Marzuki, Pengerusi Bubbles O2 Sdn. Bhd.


KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat membantu jenama Bubbles O2 mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara melalui suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta.

Melalui pelaburan ini, Bubble O2 menyasarkan pasaran domestik dan eksport termasuk di Brunei, Thailand, Indonesia, Dubai, Puerto Rico, Amerika Syarikat dan Kanada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Selain itu, pelaburan ini merangkumi perluasan kawasan kilang serta perbelanjaan operasi dan modal kerja. Bubbles O2 kini juga mengeluarkan pembungkusan baharu yang menggunakan botol kaca premium selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan air mineral berperisa dengan vitamin.

Pada tahun 2022, Bubbles O2 telah mencatatkan jualan sebanyak RM3.7 juta menerusi penjualan air mineral tersebut di seluruh Malaysia. Manakala, pada tahun 2023 Bubbles O2 telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.7 juta. Melalui bantuan pelaburan yang ditawarkan Pernas, jualan Bubbles O2 dijangka meningkat 50% bagi tahun 2024/2025.

Dato’ Hazimah binti Zainuddin, Pengerusi Pernas berkata, sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan mulai tahun 1998 sehingga kini, Pernas telah melabur dalam 85 syarikat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM934 juta. Bagi tempoh lima tahun (2024-2028) Pernas menyasarkan peruntukan RM300 juta untuk tempoh lima (5) tahun iaitu RM60 juta setahun bagi pelaburan ekuiti.

“Jenis pelaburan tidak terhad kepada syarikat francais, malah Pernas mengenal pasti syarikat berpotensi untuk dikembangkan melalui pelaburan seperti Bubbles O2. Melalui aktiviti pelaburan strategik, Pernas dapat membantu syarikat-syarikat ini agar mampu berdaya saing ke peringkat lebih membanggakan.” tambah beliau.

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.

Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
  1. Skim pembiayaan francais untuk perniagaan dan usahawan francais yang merangkumi semua keperluan perniagaan francais termasuk perbelanjaan modal and keperluan modal kerja;
  2. Pembiayaan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
  3. Khidmat nasihat merangkumi sokongan kepada pembangunan usahawan bumiputera dan perniagaan francais untuk meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan.

Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai lima pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.

Sumber: PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nurzahirah Md Zamri
Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: 019-959 8811
E-mel: Nurzahirah.zamri@pernas.my  

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.