ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 27, 2024 -Isnin

 
  PENERIMA STR BOLEH DAPATKAN RAWATAN SKIM PERUBATAN MADANI BERMULA 15 JUN 2023

Thursday 15/06/2023



KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa program perintis Skim Perubatan MADANI, akan bermula di 10 buah daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) bermula 15 Jun sehingga 31 Disember 2023.

Skim Perubatan MADANI merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutamanya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di pengamal perubatan swasta umum (GP). Bermula 15 Jun, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mendapatkan manfaat rawatan Skim Perubatan MADANI di GP yang berdaftar di sekitar 10 daerah yang terlibat.

Skim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes-kes akut. Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.

Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah telah habis. Peruntukan bagi setiap isi rumah adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan Skim Perubatan MADANI merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi. Pakej rawatan Skim Perubatan MADANI tidak merangkumi rawatan bukan akut seperti di bawah:

1. Imunisasi Rutin
2. Saringan Kesihatan;
3. Rawatan Susulan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Rutin;
4. Rawatan Susulan Ibu dan Anak Rutin;
5. Perancangan Keluarga Rutin;
6. Perkhidmatan Rehabilitasi; dan
7. Permohonan Ubat-ubatan dan Suplemen tanpa konsultasi doktor 

Perkhidmatan kesihatan bagi keadaan bukan akut yang tidak ditawarkan Skim Perubatan MADANI seperti di atas boleh didapati di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Fasa rintis Skim Perubatan MADANI yang akan dilaksanakan di 10 buah daerah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan MADANI bagi penerima STR dan tanggungannya. Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar dibawah Skim Perubatan MADANI. 

KKM melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan MADANI menjelang September 2023. Ketika ini sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan dan dijangka sebanyak 10 sesi lagi akan dijalankan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim ini.
 
Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth, selaku pelaksana skim berkenaan iaitu di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi talian 03-8687 2525. 

DR ZALIHA BINTI MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
15 JUN 2023 

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.