ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  1,041 PEMBAYAR ZAKAT TERPILIH SEBAGAI PEMENANG KEMPEN RAMADAN PPZ-MAIWP

Wednesday 07/06/2023



Table
Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman bersama pemenang-pemenang Kempen Ramadan Anugerah Terindah. 


KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Ramadan Anugerah Terindah di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa. 
 
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan. 
 
Seramai 1,041 pembayar zakat dan wakaf dipilih sebagai pemenang Kempen Ramadan Anugerah Terindah yang diadakan pada 23 Mac hingga 21 April 2023 dengan membawa pulang pelbagai hadiah menarik seperti baucar KFC, Rehal, Telekung dan Sejadah Eksklusif, Naskhah Al-Quran Tagging, Jam Buruj, Set Solat Eksklusif serta Pakej Menunaikan Umrah. 
 
Sepanjang Ramadan, PPZ-MAIWP berjaya mengutip zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM176,205,257.15 manakala wakaf tunai pula sebanyak RM674,416.30 dengan jumlah pembayar seramai 1,759.684 orang.
 
Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang kempen dan mengajak orang ramai agar bersama-sama PPZ-MAIWP menyebarluaskan dakwah zakat. 
 
“Tugas dakwah dan mengajak ke arah kebaikan ini tidak hanya terhad kepada institusi agama, selagi yang disampaikan itu tepat dan membawa kepada kebaikan, maka ianya boleh dipikul oleh sesiapa sahaja termasuklah kita semua,” kata beliau. 
 
Tambahnya lagi, hadiah yang ditawarkan ini adalah sebagai galakan untuk menunaikan zakat selain tanda penghargaan atas sokongan kepada PPZ-MAIWP. 
 
Pemenang hadiah utama Pakej Umrah, Encik Zulkifli Jafar berasa bersyukur diumumkan sebagai pemenang hadiah utama bagi kempen ini. 
 
“Saya tidak sangka dipilih sebagai salah seorang pemenang untuk kempen dan ini adalah inisiatif yang baik dari PPZ-MAIWP untuk mempromosikan zakat kepada masyarakat dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran. Untuk itu marilah kita bersama-sama menunaikan zakat di PPZ-MAIWP,” katanya. 
 
Latar Belakang PPZ-MAIWP
Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. PPZ-MAIWP telah merevolusikan institusi zakat dengan memperkenalkan sistem kutipan zakat melalui institusi yang berciri korporat di negara Malaysia. Sejak penubuhan, PPZ-MAIWP telah berusaha menambah baik operasi dan perkhidmatan untuk meningkatkan kemudahan umat Islam dalam melaksanakan kefardhuan berzakat. PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran bayaran zakat bagi memberi pilihan dan kemudahan kepada umat Islam.  Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my
 
Sumber: Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Norazlina Mohd Nordin
Pengurus Unit Komunikasi Korporat
Tel: 019 728 3839 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.