ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  PERNAS SANTUNI ANAK-ANAK YATIM MELALUI PROGRAM CSR SINAR RAMADAN

Thursday 13/04/2023



SUBANG JAYA, 13 April (Bernama) -- Bagi meraikan dan membantu persiapan kelangkapan menyambut bulan Syawal, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyantuni anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur.

Seramai 80 orang anak-anak yatim dibantu melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kedua pada tahun ini. Pernas telah memperuntukkan belanjawan sebanyak RM45,600 untuk disumbangkan kepada mereka melalui sumbangan kewangan bagi pembelian keperluan perayaan seperti baju raya, songkok, tudung, kasut serta duit raya berjumlah RM100 seorang.

Inisiatif CSR Program Sinar Ramadan ini  juga adalah sebagai tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan anak-anak yatim tentang persediaan dan keperluan masyarakat yang memerlukan khususnya anak-anak yatim untuk persiapan menyambut bulan Syawal.

YBhg. Dato’ Hazimah binti Zainuddin, Pengerusi Pernas, menyatakan Pernas komited menjuarai program-program CSR melalui tiga (3) terasnya iaitu keusahawanan, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

“Pada Mac yang lalu, Pernas telah melaksanakan CSR bersama SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat Pernas bagi membantu murid-murid asnaf menyediakan persiapan persekolahan. Manakala, hari ini merupakan inisiatif CSR kedua Pernas menyantuni anak-anak yatim dengan program berbuka puasa dan menyumbang kelengkapan perayaan serta duit raya.” tambah beliau.

Selain Program CSR Sinar Ramadan, Pernas juga mempunyai beberapa inisiatif CSR yang akan dilaksanakan pada tahun ini bagi membantu golongan yang memerlukan.

Turut hadir dalam program adalah YBhg. Dato’ Abu Bakar As-Sidek bin Dato’ Hj Mohd Sidek, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Encik Muhamad Syafiq bin Suhaimi, Pengurus, Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang Selangor dan Puan Suzana binti Jaafar, Pengasas Bersama, Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur.

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.

Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
  1. Skim Pembiayaan Francais untuk perniagaan dan usahawan francais yang merangkumi semua keperluan perniagaan francais termasuk perbelanjaan modal and keperluan modal kerja;
  2. Pembiayaan ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan
  3. Khidmat nasihat merangkumi sokongan kepada pembangunan usahawan bumiputera dan perniagaan francais untuk meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan.
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia. Selain itu, Pernas juga menawarkan perkhidmatan lain seperti latihan, penyewaan ruang runcit, pelaburan & pembiayaan hartanah (berkaitan dengan francais) dan pelaburan ekuiti.

Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai lima pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.
 
SUMBER : Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Hamidah Ibrahim
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: 03-2082 7788 samb. 7941
E-mel: hamidah.ibrahim@pernas.my  

--BERNAMA
 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.