ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA LARANGAN PENJUALAN ROKOK ELEKTRONIK/VAPE BERNIKOTIN YANG MENYERUPAI PERMAINAN KANAK-KANAK

Wednesday 25/01/2023



 
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik/vape di hadapan sebuah sekolah yang viral baru-baru ini. KKM juga mendapat maklumat, aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik/vape yang menyerupai permainan kanak-kanak atau “Tiger Pod” yang kini semakin berleluasa. Perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk tersebut direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.
 
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila rokok elektronik/vape ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.
 
Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik/vape, maka peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang lebih bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut. Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini.
 
Penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ ini perlu kepada kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan yang lain.

Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilan produk mereka. Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka.
 
KKM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat.
 
DR. ZALIHA MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
25 JANUARI 2023

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.