ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  JPDC DAN OPITO BEKERJASAMA PERSIAPKAN INSTITUSI TVET UNTUK PENTAULIAHAN INDUSTRI HILIRAN MINYAK DAN GAS GLOBAL

Friday 11/11/2022



Table
Izhar Hifnei Ismail, Pemangku Ketua Eksekutif JPDC (kiri) dan John McDonald, Ketua Pegawai Eksekutif OPITO (kanan) bertukar dokumen perjanjian kerjasama JPDC-OPITO pada persidangan OPITO Global 2022 di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) dan OPITO bekerjasama melaksanakan program mempersiapkan sehingga sepuluh institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (technical and vocational education and training, TVET) Malaysia untuk menerima pentauliahan (accreditation) global sebagai institusi latihan industri hiliran minyak dan gas. Program pentauliahan tersebut akan berjalan sehingga akhir tahun 2023 dengan sokongan dana pembangunan daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
 
Program pentauliahan tersebut dilancarkan dengan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara JPDC dan OPITO semasa persidangan OPITO Global 2022 di Kuala Lumpur pada 9 dan 10 November 2022.
 
JPDC (jpdc.gov.my) adalah anak syarikat Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), kedua-duanya agensi Kerajaan Persekutuan melapor kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Mandat JPDC termasuk berperanan sebagai agensi utama dalam perancangan dan penyelarasan pembangunan industri hiliran minyak dan gas serta petrokimia di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (Pengerang Integrated Petroleum Complex, PIPC), menggalakkan dan memudahcara pelaburan masuk ke PIPC, penyediaan tenaga kerja berkemahiran untuk industri, serta memudahcara penglibatan tenaga kerja dan perniagaan tempatan dalam pertumbuhan ekonomi di PIPC.
 
OPITO (opito.com) yang berpangkalan di Aberdeen, United Kingdom, adalah organisasi nirlaba (not-for-profit organization) utama dalam pembangunan kemahiran dan kelayakan pekerja sektor tenaga antarabangsa. Khidmat yang disediakan oleh OPITO termasuk pembangunan pekerja sektor tenaga berpandukan piawaian dan kelayakan global, menyediakan program pembangunan pekerja serta mengendalikan rundingan antara pemerintah dan industri dalam hal-ehwal pembangunan pekerja sektor tenaga.
 
Program pentauliahan institusi TVET tersebut adalah fasa ketiga dalam inisiatif Kluster Kecemerlangan yang dijalankan oleh JPDC bagi pembangunan tenaga kerja berkemahiran industri hiliran minyak dan gas Malaysia. Inisiatif Kluster Kecemerlangan tersebut bermula pada tahun 2019 dengan matlamat membantu institusi TVET awam terpilih mendapat pentauliahan di bawah Kelayakan Global OPITO (OPITO Global Qualifications) yang diiktiraf oleh industri tenaga sedunia.
 
Sesebuah institusi TVET yang ditauliahkan di bawah Kelayakan Global OPITO akan diiktiraf sebagai pusat latihan yang menawarkan program kemahiran, tenaga pengajar, serta kemudahan dan peralatan latihan yang telah memenuhi piawaian dan syarat industri tenaga antarabangsa. Ini termasuk kerja-kerja industri hiliran minyak dan gas serta petrokimia.
 
Izhar Hifnei Ismail, Pemangku Ketua Eksekutif JPDC berkata bahawa program pentauliahan tersebut adalah yang pertama kali dilaksanakan untuk institusi-institusi TVET awam di Malaysia. Kumpulan pertama melibatkan lima institusi TVET awam seperti berikut:
• Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor
• Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Johor
• Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kemaman, Terengganu
• Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Johor
• Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kemaman, Terengganu
 
JPDC dan OPITO akan membantu dan memberi rundingcara kepada lima institusi TVET tersebut dalam proses mereka mendapatkan pentauliahan yang dijangka selesai pada suku tahun kedua 2023.
 
Lima institusi TVET awam lain sedang menjalani proses penilaian untuk dimasukkan dalam program pentauliahan kumpulan kedua yang dijangka bermula pada suku tahun pertama 2023.
 
Izhar berkata: “Apabila lebih banyak institusi TVET Malaysia menerima pentauliahan OPITO Global Qualifications, maka lebih banyak peluang bagi tenaga kerja Malaysia mendapatkan sijil kecekapan antarabangsa dalam bidang-bidang kerja industri hiliran minyak dan gas dan petrokimia, seterusnya melayakkan mereka menerima gaji lebih tinggi.”
 
“Ini akan banyak membantu pelaksanaan rancangan jangka panjang JPDC menyediakan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran untuk fasa operasi PIPC dan juga industri tenaga Malaysia, khususnya melalui program-program latihan JPDC seperti Skills in Oil and Gas (SOGA) dan Bridging Gaps,” tambah Izhar.
 
Sepanjang tempoh sepuluh tahun sejak 2013 hingga 2022, JPDC telah menjalankan program-program latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan kemahiran semula (re-skilling) melibatkan lebih daripada 7,000 orang tenaga kerja Malaysia dalam bidang-bidang berkaitan industri hiliran minyak dan gas dan petrokimia di PIPC dan Malaysia. Sebanyak 95 peratus daripada pelatih berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat latihan.
 
John McDonald, Ketua Pegawai Eksekutif OPITO berkata OPITO mengalu-alukan usahasama dengan JPDC dalam mempersiapkan institusi-institusi TVET awam Malaysia mendapatkan pentauliahan berdasarkan piawaian OPITO. “OPITO dan JPDC mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan program pentauliahan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada tenaga kerja sedia ada dari segi menerima pengiktirafan tahap kemahiran masing-masing, tetapi juga untuk generasi golongan profesional dan tenaga kerja industri tenaga akan datang.”
 
“Salah satu teras dalam strategi kerja OPITO ialah melibatkan generasi muda dalam pembangunan kemahiran industri tenaga. Ini penting kerana kita mahu industri tenaga dapat terus membekalkan tenaga kepada penduduk dunia secara selamat, terjamin dan berterusan pada masa akan datang.”
 
“OPITO mengalu-alukan usahasama dengan JPDC dan institusi-institusi TVET awam Malaysia di bawah inisiatif Kluster Kecemerlangan ini, dan kami yakin, pengalaman OPITO selama 50 tahun dalam membangunkan piawaian industri tenaga global, memantau tahap kelayakan dan memberi panduan dalam melatih tenaga kerja industri tenaga akan dapat menyumbang kepada kejayaan program pentauliahan ini.”


Kenyataan media bersama oleh: 
Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC)
OPITO

 
Sumber: Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Rofidah Azman
Pengurus, Komunikasi Strategik JPDC
E-mel: wanrofidah@jpdc.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.