ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  CAKNA INTERNET OF THINGS (IOT) PEMANGKIN PEMBANGUNAN BAKAT

Friday 07/10/2022



KOTA KINABALU, 7 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah hari ini telah mengadakan Hari Produktiviti Peringkat Negeri Sabah yang bertemakan “Creating Future-proof Talent Through Technology and Digitalisation”. Program yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom Webinar ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan disertai oleh hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada pemain industri, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), jabatan kerajaan dan juga orang awam.

Penganjuran Hari Produktiviti pada kali ini telah dimuatkan dengan sesi forum bertajuk “Creating Future-Proof Talent Through Technology and Digitalisation” selaras dengan Sabah ICT Blueprint ke arah Digitalisasi 2025 yang akan dijayakan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Tiga panel telah dijemput untuk berkongsi topik-topik berkaitan dengan tema program termasuk Yang Berusaha Ts. Aminuddin Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Aerospace yang berkongsi berkenaan “Towards High-tech & Innovation-driven Industry”, Encik Chin Kah Yi, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Net yang berkongsi berkenaan “Melahirkan Masyarakat Berbudaya Teknologi Tinggi” dan Yang Berbahagia Datuk Haji Ag. Buhtamam bin Ag. Mahmun, Ketua Pegawai Eksekutif, Sedafiat Sdn. Bhd. yang berkongsi berkenaan “Budaya Inovasi, Teknologi dan Kreativiti Memacu Tenaga Kerja Berdaya Saing”.

Bersempena dengan penganjuran program hari ini juga, pihak MPC Wilayah Sabah juga menyampaikan Anugerah Productivity Champion kategori Leader kepada dua belas (12) individu yang aktif melaksanakan inisiatif peningkatan produktiviti di organisasi masing-masing seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi ekonomi negara. Melalui program Productivity Champion ia juga menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman transformasi dan inovasi dalam mengukuhkan prestasi organisasi dan menangani cabaran untuk mencapai kecemerlangan.

Antara program lain yang dijalankan adalah pertandingan Video Kreatif MyReskill Internet of Thing (IoT). Pertandingan ini diadakan sebagai galakan kepada 250 syarikat yang telah berjaya melengkapkan program MyReskill IoT anjuran MPC Wilayah Sabah untuk berkongsi amalan terbaik inisiatif penggunaan digitalisasi dan teknologi Internet of Things (IoT) di dalam aktiviti perniagaan dan merupakan sebahagian daripada usaha MPC ke arah memaksimakan penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam meningkatkan produktiviti perniagaan.

Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman berkata,” pertumbuhan produktiviti Malaysia pula dijangka akan terus berkembang pada tahun ini selepas mencatatkan lantunan semula pada 2021 sekalipun menunjukkan penurunan akibat krisis Covid-19 pada tahun 2020. Ini dibuktikan dengan peningkatan produktiviti Malaysia yang tinggi sebanyak 1.8 peratus pada 2021, dengan RM90,697 per pekerja berbanding pertumbuhan yang perlahan sebanyak -5.3 peratus pada RM89,106 per pekerja pada tahun sebelumnya”.

Menurut beliau lagi, “Penekanan supaya tenaga kerja negara ini meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula atau upskilling and reskilling selari dengan Revolusi Industri ke-4 yang dijangka akan meningkatkan produktiviti sebanyak 30% di dalam semua sektor menjelang 2030. Ini bagi meningkatkan sektor-sektor utama yang digariskan oleh kerajaan negeri seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan yang disokong oleh pembangunan modal insan dan kelestarian hijau di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengenai  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.
 
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Huda Atiqah Samsir
Tel: 0137261950 
E-mel: atiqah@mpc.gov.my

Nama: Muhammad Fazre Zulhelmi
Tel: 017-6249121 
E-mel: fazre@mpc.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.