ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 28, 2024 -Khamis

 
  PROGRAM INISIATIF SARINGAN KESIHATAN KEBANGSAAN (NHSI) DAN SARINGAN KESIHATAN PEKA B40 DI PULAU TIOMAN

Friday 30/09/2022



KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 November 2021 lalu bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat. Kaedah pendekatan ANMS adalah secara ‘Whole of Nation’, iaitu ‘Keseluruhan Negara’, di mana kesihatan dijadikan keutamaan dalam semua perancangan pembangunan kerajaan atau agensi sama ada kerajaan dan bukan kerajaan.

Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan atau National Health Screening Initiative (NHSI) merupakan salah satu inisiatif ANMS di bawah Teras 3, iaitu Kawalan Kesihatan Kendiri. NHSI bertujuan memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dalam memastikan individu, keluarga dan komuniti mempunyai keupayaan, kemampuan serta kemahiran dalam menangani ancaman penyakit tidak berjangkit.

Sehubungan itu, program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Saringan Kesihatan PeKa B40 telah diadakan di Pulau Tioman bermula 28 hingga 30 September 2022. Program ini diterajui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin. Manakala ProtectHealth Corporation Sdn Bhd mengetuai koordinasi saringan PeKa B40 dan dibantu oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan pelbagai agensi lain.

Saringan bersepadu NHSI dan PeKaB40 ini berlangsung selama tiga hari melibatkan 19 orang pegawai JKNP, 21 orang pegawai PKD Rompin dan 20 orang petugas dari ProtectHealth Corporation Sdn Bhd termasuk pengamal perubatan swasta, perkhidmatan makmal swasta dan sukarelawan. Program saringan ini dilaksanakan di beberapa lokaliti antaranya Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang, Kampung Genting, Kampung Mukut dan Kampung Paya. Ia
dilaksanakan melalui pasukan kesihatan statik dan jangkau luar. 

Program ini mensasarkan sejumlah 559 penduduk Pulau Tioman yang berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan kesihatan sama ada melalui NHSI atau Skim PeKa B40 untuk mereka yang layak. Sehingga jam 11 malam pada 29 September 2022, seramai 370 orang telah berjaya disaring iaitu 66.2 peratus daripada sasaran program. Saringan juga telah dijalankan ke atas mana-mana individu berumur kurang daripada 40 tahun yang tampil secara sukarela di pusat-pusat saringan iaitu seramai 219 orang. Berdasarkan keputusan lengkap saringan yang dilakukan, pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh serta rujukan lanjut kepada pakar bidang perubatan yang berkaitan akan dilakukan.

Selepas 30 September 2022, program NHSI di bawah ANMS akan diteruskan di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman. Selain itu, aktiviti  jangkau luar turut akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi pesakit yang terlantar di rumah dan warga emas atau OKU yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke pusat saringan.

Pelaksanaan program ini diharapkan dapat membantu penduduk Pulau Tioman untuk mengetahui status kesihatan kendiri dan selanjutnya membolehkan mereka mendapatkan rawatan awal sekiranya perlu. Di samping itu, ia memberi peluang kepada penduduk setempat yang layak untuk Skim PeKa B40 mendapat manfaat daripada skim tersebut sekaligus mencegah komplikasi penyakit tidak berjangkit.

JOM SARING!

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 September 2022


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.