April 25, 2025 -Jumaat

 
  AGROBANK LANCAR PROGRAM KAFE & KOPERASI TANPA TUNAI PERTAMA DI JOHOR

Wednesday 28/09/2022



Table
Ketua Jabatan Saluran Dan Pengedaran Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil menandatangani plak perasmian di majlis pelancaran Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai, Kolej Tingkatan Enam Pontian di Johor, sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah PPD (Perancangan) Pontian, Zulkurnain Abdul Rahim (dua dari kiri), YDP PIBG Kolej Tingkatan Enam Pontian, Abdul Rahim Pidek (kanan sekali), Pengetua Cemerlang Kolej Tingkatan Enam Pontian, Abd Rahman Mohd Nor (kiri sekali) dan Pengarah Wilayah Melaka & Johor Agrobank, Md Yassin A. Hamid (dua dari kanan).

PONTIAN, Johor, 28 Sept (Bernama) -- Agrobank melancarkan Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai pertama seumpamanya di Johor, di Kolej Tingkatan Enam Pontian, dalam usaha mempromosi ilmu pengurusan kewangan dan menggalakkan pendigitalan kewangan dalam urus niaga tunai harian terutamanya di kalangan pelajar dan di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program ini dibangunkan khusus untuk pelajar di peringkat kolej sekolah itu dengan objektif untuk menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan bijak mengurus kewangan mereka dan sekali gus menjalankan transaksi secara digital.

Tambah beliau, Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai yang melibatkan golongan pelajar dan para pendidik di Kolej Tingkatan Enam Pontian yang dibangunkan dengan kerjasama Koperasi Kolej Tingkatan 6 Pontian serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, merupakan pengenalan kepada medium baharu yang dibentuk khusus untuk pelajar kolej tersebut mengenai pengurusan mudah pendigitalan kewangan.

“Para pelajar dan warga kerja kolej kini hanya perlu mengimbas kod QR di kafe atau koperasi dengan menggunakan telefon bimbit pintar mereka ketika membuat pembayaran di kantin atau di koperasi. Konsep ini bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, tetapi juga cepat di mana pelajar dan pengusaha kantin tidak perlu menyediakan wang kecil atau wang baki bagi mana-mana bayaran tunai bagi semua transaksi tanpa tunai dengan nilai di antara RM1 dan RM1,000.

“Bagi peniaga atau pengusaha kafe pula, wang hasil perniagaan harian akan terdeposit terus ke dalam akaun dan usahawan boleh menyemak akaun mereka secara atas talian. Kemudahan ini juga membantu mereka memantau rekod kewangan serta mempunyai pengurusan akaun yang lebih teratur,” katanya.

Majlis Pelancaran Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai Kolej Tingkatan Enam Pontian disempurnakan oleh Ketua Jabatan Saluran Dan Pengedaran Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil di sini, hari ini. Pada majlis itu, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM8,000.00 kepada Surau Kolej Tingkatan Enam bagi tujuan penambahbaikan kemudahan asas di surau kolej berkenaan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Koperasi Kolej Tingkatan Enam Pontian juga telah dilantik sebagai Agen kepada Agrobank atau AgroAgent yang berfungsi seperti bank kecil di dalam kolej di mana pelajar serta warga kerja boleh terus ke koperasi untuk menjalankan urusan perbankan seperti mendeposit dan mengeluarkan wang secara terus di koperasi kolej.

“Para pelajar dan warga kerja kolej kini tidak lagi perlu ke cawangan Bank untuk menjalankan urusan akaun mereka. Warga kolej juga boleh membuat pembayaran bil-bil utiliti dan menambah nilai prabayar (prepaid) telefon mereka menerusi AgroAgent Agrobank ini.” tambahnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 370 pelajar termasuk 34 warga kerja kolej telah membuka akaun simpanan Akaun Simpanan Asas-i (Agro BSA-i) dengan jumlah deposit serendah RM30 (RM20 minimum baki deposit dan RM10 sebagai fi pendaftaran kad debit Agro Visa Debit-i). Ini bertujuan untuk membolehkan mereka mengikuti Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai ini.

“Ibu bapa juga boleh mengawal dan memantau akaun dan perbelanjaan anak-anak mereka sama ada menambah wang perbelanjaan mingguan atau bulanan anak-anak mereka menerusi transaksi dalam talian atau deposit tunai di koperasi yang berfungsi sebagai AgroAgent,” kata beliau.

Kolej Tingkatan Enam Pontian merupakan perintis kepada perlaksanaan program ini. Kolej ini merupakan institusi pendidikan pertama yang dilantik Agrobank untuk perlaksanaan program ini di Daerah Pontian khasnya dan Negeri Melaka serta Johor secara amnya. Kolej ini juga merupakan Ejen Agrobank pertama yang dilantik di kalangan institusi pendidikan, di mana sebelum ini hanya melibatkan premis perniagaan dan organisasi Kerajaan sahaja.

Mengenai Agrobank 

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.

Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.

Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 207 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my 

*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Agrobank 

Sumber: Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Shahreen Rahim
Ketua Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217
Emel: shahreen.rahim@agrobank.com.my

Nama: Rasheffa Abdul Rashid
Eksekutif, Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1650 / +6019-272 9907
Emel: rasheffa@agrobank.com.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.