ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  LEBIH 12,000 PELUANG PEKERJAAN DI NCER TERHASIL DARI RM17.25 BILION PELABURAN YANG DILULUSKAN

Thursday 18/08/2022



Table
Kapsyen: YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah mempengerusi Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kali ke-29. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan wakil-wakil dari pihak swasta. 
 
PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) setakat 31 Julai telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion yang menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik), M&E (mekanikal dan elektrikal) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
 
“Perkembangan positif ini termasuk pelaburan terkini oleh FGV, Baladna Food Industries dan Touch Group Holdings untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara sekaligus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem bakat di wilayah ini,” kata YAB Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA kedua bagi tahun 2022 di Putrajaya.
 
“Anggota Majlis NCIA telah dimaklumkan tentang kemajuan projek dan program strategik yang dilaksanakan oleh NCIA. Saya dan Anggota Majlis NCIA yang lain berpuas hati dengan pencapaian terutamanya dalam penciptaan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Kami yakin wilayah ini berada pada trajektori yang betul untuk mencapai sasaran dan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan,” tambah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri.
 
“NCIA memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik,” kata Encik Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Eksekutif NCIA.

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka Dana Pembangunan Modal Insan NCER (DPMI NCER) dengan objektif untuk merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan.
 
Kasih Ibu@NCER, JomNiaga@NCER, JomKerja@NCER, empower@NCER, entrepreneurNCER, dan Dana Usahawan NCER adalah contoh program modal insan berpaksikan rakyat NCER yang telah memanfaatkan 92,493 penerima dan komuniti perniagaan di NCER sejak 2019.
 
Melalui DPMI NCER, sumber kewangan yang mampan boleh diagihkan melalui kerjasama kerajaan dan swasta. Program Modal Insan NCER boleh dilaksanakan secara holistik serta bersepadu dan akan diselaraskan dengan inisiatif Kerajaan yang lain seperti program Jamin Kerja dan Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) untuk mempercepatkan peralihan mobiliti sosial di kalangan kumpulan rentan demi mempercepatkan pemulihan sosioekonomi.
 
Mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM). Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
 
“Melalui pelbagai inisiatif NCIA yang bertujuan menyokong rakyat, komuniti perniagaan dan pelabur, ditambah pula dengan asas ekonomi yang kukuh serta ekosistem yang teguh, Wilayah ini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya dari segi aliran masuk pelaburan dan penciptaan pekerjaan pada akhir 2022,” akhiri Encik Mohamad Haris. 

UNTUK MAKLUMAN EDITOR:
Berkenaan NCIA
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah ditubuhkan di bawah Akta Pihak Berkuasa Koridor Utara Pelaksanaan 2008 (Akta 687) sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan hala tuju dan untuk merangka dasar dan strategi menggalakkan dan mempercepatkan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau Northern Corridor Economic Region (NCER). NCER merangkumi negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis; dan diketuai oleh Encik Mohamad Haris Kader Sultan selaku Ketua Eksekutif.

NCIA akan terus memacu evolusi NCER ke arah menjadi rantau sosioekonomi kelas dunia dengan memangkinkan dan melaksanakan program pembangunan nilai tambah dalam inisiatif-inisiatif strategik berimpak tinggi, terutamanya melalui Sektor Pembuatan, Sektor Perniagaan Tani, Sektor Petrokimia, Sektor Perlombongan, Sektor Ekonomi Hijau, dan Sektor Perkhidmatan (termasuk Pelancongan, Logistik dan Perhubungan; serta Ekonomi Digital).

Sumber: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Encik Ariff bin Ahmad
Tel: + 016 328 8944 | 
Emel:ariffahmad@ncer.com.my

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.ncer.com.my
 
--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.