ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  JALIN KERJASAMA BERSAMA UPM, AGROBANK LANCAR PROGRAM INKUBATOR KEUSAHAWANAN AKUAKULTUR

Thursday 18/08/2022



Table
Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank (dua dari kiri) dan Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) (tengah) melancarkan Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur


SERDANG, 18 Ogos (Bernama) -- Agrobank hari ini melancarkan Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur, satu jalinan kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam usaha kedua-dua entiti itu untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda terutama dikalangan pelajar lepasan institusi pengajian tinggi tempatan, sekali gus dapat mendukung agenda dan aspirasi Kerajaan dalam mentransformasi industri pertanian dan agromakanan negara.

Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur ini telah dirasmikan oleh Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank dan Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia.

Menurut Aminuddin Amenon, Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur ini merupakan sebuah program berstruktur yang dirangka khas oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) dengan kerjasama Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian UPM dengan tujuan untuk memberi pendedahan secara praktikal kepada para siswazah berkenaan ilmu keusahawanan dalam bidang akuakultur.

“Selain ilmu teknikal yang diajar oleh pihak UPM, peserta program ini juga turut didedahkan dengan ilmu perniagaan, pengurusan kewangan dan ilmu pemasaran sepanjang program ini berlangsung. Para peserta juga akan dipantau dan dibimbing selama enam bulan oleh Jurulatih Perniagaan yang bertauliah dari ACE bagi memastikan mereka mampu menguruskan perniagaan dan bersaing di pasaran sebenar,” kata Aminuddin.

Para peserta program ini juga turut didedahkan dengan pengetahuan pengurusan risiko dan kaedah menanganinya beserta mendapat bimbingan secara terus menerusi perkongsian pengalaman dari usahawan yang telah berjaya.

“Keunikan program ini bukan sahaja terletak pada struktur dan pengisiannya, malah ia juga sedikit berbeza dari program inkubator keusahawanan yang lain. Untuk makluman semua, sumber dana yang digunakan untuk menjalankan program ini turut diperuntukkan dari dana kewangan sosial atau social finance yang diuruskan oleh pihak Agrobank. Inisiatif ini adalah selaras dengan usaha Agrobank dalam memanfaatkan instrumen kewangan sosial dalam memberi impak dan membangunkan komuniti terutamanya dalam sektor pertanian,” tambah Aminuddin.

Dalam ucapan perasmian beliau, Aminuddin turut menambah, “Alhamdulillah, setakat ini saya telah dimaklumkan oleh pegawai kami yang turut terlibat dalam program ini, seramai tiga peserta daripada 10 peserta yang mengikuti program ini telah pun memulakan perniagaan mereka dalam pembenihan ikan air tawar meskipun program ini masih lagi sedang berjalan.”

Berkongsi tentang peranan Institusi Kewangan Pembangunan itu untuk menggalakkan lebih ramai penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian, Aminuddin berkata, “Kami di Agrobank menyediakan pelbagai infrastruktur pembiayaan dan dana khusus kepada para usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih komersial atau untuk memenuhi pasaran eksport.”

“Kami juga turut menyediakan dana pembiayaan khas untuk golongan belia yang dikenali sebagai Y.E.S (Youth Entrepreneur Scheme) atau Skim Pembiayaan Agropreneur Muda yang menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah 2% setahun bagi tempoh pembiayaan selama tujuh tahun.”

Majlis pelancaran Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur ini turut dihadiri Prof. Madya Dr. Nur Azura Adam, Dekan Fakulti Pertanian UPM, warga kerja Agrobank dan UPM, serta rakan-rakan media.

Untuk maklumat lanjut berkaitan produk dan pembiayaan Agrobank, usahawan boleh melayari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1300 88 2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my.

Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.  Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 207 rangkaiannya sehingga tahun 2022 yang merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my
 
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank


Sumber: Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Shahreen Rahim
Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217 
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
 
Nama: Syarifah Syameen Syed Johari
Eksekutif Kanan, Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1652 / +6012-310 1766 
E-mel: syameen@agrobank.com.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.