TUMPAT, KELANTAN, 27 Jun (Bernama) -- Sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar, UMW Holdings Berhad (“Kumpulan UMW”), dengan kerjasama UMW Toyota Motor (“UMWT”) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, berhasrat untuk menanam sebanyak 300,000 pokok bakau merentasi Malaysia menjelang 2023 melalui Inisiatif Pucuk Hijau UMW (“UGS”).
Inisiatif UGS telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Pantai Sri Tujoh, Tumpat. Mewakili Menteri Besar Kelantan pada majlis itu ialah YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan. Turut hadir Tan Sri Dato' Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad dan Dato' Ahmad Fuaad Kenali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UMW Holdings Berhad.
Pelancaran Inisiatif UGS diteruskan dengan penanaman pokok bakau simbolik oleh YB Dato’ Sri Mustapa bersama jemputan di Pantai Sri Tujoh yang disertai oleh sukarelawan pelajar Universiti Malaysia Kelantan. Sebanyak 1,200 pokok bakau telah ditanam di tapak terpilih pada hari Sabtu, yang merupakan sebahagian daripada sasaran Inisiatif UGS untuk menanam 10,000 pokok di seluruh pantai Tumpat.
Untuk memastikan kejayaan dan kemampanan Inisiatif UGS, Kumpulan bekerjasama dengan Yayasan Hijau dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Antara pihak lain yang menyokong inisiatif ini termasuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Perhutanan Negara dan jabatan negerinya, yang akan membantu dalam mengenal pasti lokasi utama untuk penanaman pokok dan menyelaraskan aktiviti yang terlibat. Astro telah menjadi rakan pendidikan untuk inisiatif UGS untuk menyokong Kumpulan dalam menyebarkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar, khususnya mengenai kepentingan pokok kepada alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok di seluruh negara serta pelbagai program televisyen dan platform media sosial oleh Astro.
Inisiatif UGS ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam Kempen Penanaman Pokok 100 juta Kebangsaan 2021 – 2025, yang telah dirasmikan pada bulan January 2021.
“Kumpulan UMW ingin mewujudkan keseimbangan yang baik di antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. Kami komited dalam usaha mencapai karbon sifar menjelang 2050, dan dengan itu, kami memilih untuk menerapkan kelestarian ke dalam keseluruhan strategi dan pendekatan perniagaan kami. Mempergiatkan aktiviti penanaman pokok merupakan antara salah satu inisiatif Kumpulan UMW untuk menangani isu pelepasan gas rumah hijau (“GHG”) serta menerapkan prinsip ekonomi sirkular dalam operasi perniagaan kami secara beransur-ansur. Adalah penting untuk semua orang memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim dan dengan itu, melalui inisiatif UGS, kami mengambil langkah ke arah pelaburan berasaskan alam semula jadi dari segi penyerapan karbon”, kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali.
Dalam tempoh dua tahun yang akan datang, lokasi yang dikenal pasti akan melibatkan penanaman anak pokok bakau. Dengan pokok bakau yang semakin berkurangan di negara ini, adalah penting usaha pemulihan ekosistem hutan paya bakau ini disegerakan kerana ia memberikan nilai yang tidak terhingga kepada perlindungan pantai dan biodiversiti negara serta sumber makanan. Bakau memberi banyak manfaat kepada komuniti manusia pantai kerana ia bertindak sebagai penghalang ribut dengan melindungi kawasan pedalaman daripada banjir dan hakisan, membantu menapis air sungai daripada bahan pencemar dan memerangkap lebihan sedimen sebelum ia sampai ke lautan serta membantu melindungi pelbagai jenis hidupan liar, terutamanya hidupan laut. Lebih penting lagi, bakau juga memberi impak besar kepada iklim. Kajian telah menunjukkan bahawa, bakau boleh menyerap dua hingga empat kali lebih banyak karbon berbanding hutan hujan matang.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Ravindran Kurusamy, Presiden UMWT berkata, “Toyota sangat mementingkan alam sekitar. Di Malaysia, UMWT sentiasa menuju ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan mampan. Kami berharap UGS akan bersama memain peranan dalam mendidik dan memperkasakan rakyat Malaysia untuk memastikan generasi akan datang akan hidup makmur dalam persekitaran yang lebih bersih dan hijau.”
Sementara itu, Datuk Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, "Antara inisiatif hijau UGS kami adalah seperti memasang panel solar di ibu pejabat kami serta memperkenalkan dasar neutral karbon untuk memastikan operasi dan amalan kami memelihara dan melindungi alam sekitar."
Selain daripada penglibatan kakitangan UMW, pelanggan, serta masyarakat setempat, Kumpulan juga turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa, universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan sekolah untuk mewujudkan penglibatan belia dalam inisiatif tersebut. Inisiatif UGS juga akan melibatkan pelanggan Toyota dan Perodua serta keluarga mereka untuk menyertai aktiviti penanaman pokok di seluruh negara.
Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro berkata, “Sebagai suara untuk kebaikan, Astro berbangga dengan UMW Holdings Berhad di atas Inisiatif UGS ini kerana mengambil langkah penting untuk menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar. Kami turut menyokong usaha ini sebagai rakan kongsi pendidikan yang meliputi kandungan di TV, radio dan digital untuk mewujudkan kesedaran untuk kepentingan kelestarian.”
Dato’ Fuaad turut menambah bahawa selain daripada usaha penanaman pokok, Kumpulan berhasrat untuk menyemai kesedaran tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di kalangan masyarakat, terutamanya golongan belia, melalui aktiviti di lapangan serta perkongsian pengetahuan.
“Mendidik dan mewujudkan kesedaran tentang alam sekitar akan menyemai pembelajaran sepanjang hayat dan membawa kepada perubahan tingkah laku ke arah penambahbaikan alam sekitar. Kami berharap inisiatif ini akan mencetuskan titik permulaan ke arah pemuliharaan alam sekitar di kalangan masyarakat, dimana "1 Malaysia menanam 1 pokok setahun" sebagai sumbangan ringkas ke arah masa hadapan yang mampan terutamanya dikalangan generasi muda," katanya.
Mengenai UMWKumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat serantau yang memajukan dan menyokong pertumbuhan industri serta melibatkan diri dalam pelbagai usaha sama. Kumpulan UMW memberi tumpuan kepada empat segmen perniagaan teras - Automotif, Jentera, Pembuatan & Kejuruteraan dan Aeroangkasa. Ia kini beroperasi di 8 buah negara dengan jumlah kakitangan melebihi 18,000 orang, termasuk Perodua.
UMW bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk masa hadapan industri - dengan menginspirasikan idea, meningkatkan potensi, memupuk usaha sama dan membentuk kecemerlangan untuk menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan.
Sumber: UMW Corporation Sdn. Bhd.
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: S Vikneshwaaran
Pengurus Besar – Bahagian Perhubungan Pelabur & Media
UMW Corporation Sdn. Bhd.
Tel: +603 2025 2104 / +6019 850 5799
Emel: vikneshwaran.s@umw.com.my
--BERNAMA