ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 06, 2022 -Rabu

 
  G20 KOMITED UNTUK MEMBIAYAI TINDAK BALAS YANG LEBIH BAIK TERHADAP PANDEMIK

Wednesday 22/06/2022

AsiaNet 96640

JAKARTA, Indonesia, 22 Jun, 2022 /Agensi Berita Antara-AsiaNet/ --

Ahli-ahli G20 dan beberapa organisasi antarabangsa yang berkaitan telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan Tabung Perantara Kewangan (FIF) untuk membantu negara-negara yang memerlukan bagi menghadapi sebarang pandemik pada masa hadapan.
 
Semasa Mesyuarat Bersama Menteri Kewangan dan Kesihatan G20 yang pertama yang diadakan di Yogyakarta pada Selasa, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani menekankan betapa pentingnya kerjasama itu di antara sektor kesihatan dan kewangan untuk lebih bersedia menghadapi pandemik di masa hadapan, memandangkan COVID-19 tidak mungkin menjadi yang terakhir.

“Dunia sudah pasti memerhati kita—bagaimana G20 akan bertindak balas dengan menyampaikan tindakan konkrit dalam kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Dunia sedang menunggu kita,” kata Mulyani.

Selain itu, beliau juga menegaskan pentingnya keterangkuman di dalam kerja FIF, yang diketuai bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia, yang memerlukan penglibatan negara-negara maju dan membangun.

“Hanya dengan itu, kita boleh berkesan di dalam persediaan untuk menangani bersama pandemik global seterusnya,” kata Mulyani.

“Saya ingin mengiktiraf peranan utama WHO dalam memerangi pandemik dan pentingnya untuk memasukkan suara negara-negara membangun di dalam susunan institusi kita untuk mewujudkan sistem yang paling berkesan bagi kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik,” kata beliau.

WHO dan Bank Dunia menganggarkan bahawa AS$31 bilion diperlukan setiap tahun untuk mengukuhkan keselamatan kesihatan global, menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Kira-kira dua pertiga daripada dana itu boleh datang daripada sumber sedia ada tetapi ia meninggalkan jurang sebanyak AS$10 bilion setahun. Justeru, beliau menjangkakan bahawa FIF akan membantu untuk merapatkan jurang itu.

WHO dan Bank Dunia telah bekerjasama untuk menubuhkan FIF, yang akan diselia oleh sebuah lembaga yang mengambil keputusan mengenai peruntukan pembiayaan yang disokong oleh sebuah panel penasihat teknikal.

Kedua-dua lembaga dan panel penasihat teknikal itu akan disokong oleh sekretariat bersama WHO-WB yang berpangkalan di ibu pejabat Bank itu di Washington, dengan kakitangan sokongan dari WHO.

Menurut rancangan itu, Bank berkenaan akan menyediakan kepimpinan kewangan dan pentadbiran di sekretariat itu, beroperasi sebagai sebuah wakil untuk FIF, memegang dan memindahkan dana bantuan, serta menyediakan perkhidmatan pentadbiran.

Sementara itu, WHO akan menyediakan kepimpinan teknikal; menyelaraskan input bagi panel penasihat teknikal; dan menyediakan dokumentasi teknikal yang berkaitan, cadangan dan laporan untuk majlis itu.

Kedua-dua Bank Dunia dan WHO akan bertindak sebagai entiti pelaksana, bersama dengan rakan-rakan kesihatan global yang lain yang mempunyai kepakaran berkaitan, termasuk Dana Global, Perikatan Global untuk Vaksin dan Imunisasi (GAVI), dan Gabungan bagi Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI).

“Kami mengharapkan penyertaan aktif anda di dalam membina dan membiayai sebuah FIF yang inklusif, saksama dan berkesan dalam menjadikan dunia kita lebih selamat daripada pandemik,” kata Tedros.

Sehingga kini, G20 telah mendesak bagi satu komitmen pengumpulan dana kecemasan sekitar AS$1.1 bilion daripada lima negara anggota dan sebuah organisasi sosial antarabangsa untuk menggerakkan peranan FIF.

Ikrar itu datang dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jerman, Indonesia, Singapura, dan Wellcome Trust.

Selain itu, Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin menyatakan bahawa pertemuan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada FIF sebagai sumber dana untuk menghadapi pandemik di masa hadapan, tetapi dunia juga harus memikirkan tentang penggunaan dana itu.

“Ini adalah kerana wang adalah (hanya) separuh daripada penyelesaian untuk krisis kesihatan. Kita perlu menterjemahkan wang ini kepada akses kepada vaksin, ubat-ubatan dan peralatan diagnostik,” kata beliau pada satu sidang media selepas mesyuarat bersama peringkat menteri itu.

Bagi mewujudkan akses sedemikian, beliau menjelaskan, penglibatan dengan sektor swasta sebagai pengeluar vaksin, terapeutik dan diagnostik adalah penting.

“Kita perlu berunding dengan mereka, untuk melibatkan mereka. Bagaimana mereka boleh mengekalkan satu komitmen volum yang tertentu? Bagaimana kemudian kita dapat mengagihkan secara sama rata dan cepat jika pandemik seterusnya berlaku?” ujar beliau.

Penubuhan FIF itu masih di peringkat perbincangan yang akan diteruskan pada mesyuarat G20 akan datang, yang dianjurkan tahun ini oleh Indonesia.

Bagaimanapun, sebagai Presiden G20, Indonesia akan terus mengumpulkan sebanyak mungkin sokongan daripada lebih banyak negara serta sebuah organisasi antarabangsa, malahan dermawan, agar mereka dapat menyumbang kepada bahagian pembiayaan bagi kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik.
 
Sumber: Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2022 MREM . All rights reserved.