ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KEUNTUNGAN YANG DIBERIKAN KEPADA PEMEGANG SAHAM ("PATAMI") BAGI UMW HOLDINGS MENINGKAT SEBANYAK 27% KEPADA RM101 JUTA PADA SUKU PERTAMA TAHUN 2022

Wednesday 25/05/2022



-    Hasil perniagaan kumpulan meningkat sebanyak 24%
 
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (“PATAMI”) UMW Holdings Berhad (“Kumpulan”) meningkat sebanyak 26.8% kepada RM101.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (“S1 2022”), berbanding RM79.8 juta yang dicatatkan pada suku yang sama berakhir 31 Mac 2021 (“suku yang sepadan”), didorong oleh peningkatan hasil perniagaan sebanyak 23.6% kepada RM3,650.8 juta.  Prestasi yang menggalakkan itu disokong oleh sumbangan yang baik daripada segmen Automotif dan Jentera dengan permintaan bertambah baik berikutan pemulihan ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Nasional (“NRP”).
 
Segmen automotif
 
Hasil perniagaan bagi suku pertama (S1 2022) segmen Automotif meningkat sebanyak 28.1% kepada RM3,070.2 juta berbanding suku yang sama, disokong oleh bilangan jualan kenderaan yang lebih tinggi yang dipacu oleh pengecualian cukai jualan serta pengenalan model baharu.  Selaras dengan hasil perniagaan dan bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat berkaitan, keuntungan sebelum cukai dan zakat (“PBTZ”) bagi segmen tersebut melonjak sebanyak 41.4% kepada RM205.8 juta.  Ketika Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19, permintaan terhadap kenderaan dijangka akan meningkat secara progresif.  Persatuan Automotif Malaysia (“MAA”) mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (“TIV”) meningkat sebanyak 18% kepada 600,000 unit pada 2022 dan didorong oleh  perlanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022 dan keyakinan pengguna yang semakin baik.  Pengenalan model baharu dan kemaskini, diikuti dengan kempen mempromosi jualan, dijangka akan memacu jualan dan menyumbang secara positif kepada Kumpulan pada 2022.
 
Segmen Jentera
 
Hasil perniagaan bagi segmen Jentera meningkat sebanyak 11.8% kepada RM371.8 juta pada S1 2022, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap produk dan perkhidmatan segmen itu di pasaran tempatan dan luar negara memandangkan momentum perniagaan meningkat berikutan jangkaan peralihan ke fasa endemik.  PBTZ segmen itu melonjak sebanyak 44.8% kepada RM31.8 juta bagi S1 2022 disebabkan oleh hasil perniagaan yang lebih tinggi, diikuti dengan inisiatif pengoptimuman kos.  Aktiviti perniagaan dijangka pulih secara beransur-ansur sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022.  Sub-segmen Jentera Berat mendapat manfaat daripada peningkatan dalam aktiviti pembinaan oleh kerana perbelanjaan infrastruktur turut meningkat.  Harga komoditi yang tinggi juga berpotensi meningkatkan permintaan terhadap jentera berat.  Sementara itu, subsegmen Jentera Perindustrian akan terus memberikan tumpuan kepada sektor pertumbuhan, disamping meningkatkan perniagaan baik pulih forkliftnya.
 
Pembuatan & Kejuruteraan (“M&E”) dan segmen Aeroangkasa
 
Walaupun hasil perniagaan merosot sedikit kepada RM227.1 juta pada S1 2022 bagi segmen M&E, PBTZ meningkat sebanyak 26.9% kepada RM10.6 juta, yang disebabkan oleh kos operasi yang lebih rendah.  Pengunjuran kukuh dalam TIV dan permintaan global yang lebih tinggi terhadap kenderaan memberikan petanda baik bagi segmen itu.
 
Subsegmen Komponen Auto dijangka mendapat manfaat daripada pasaran peralatan asal (“OE”) dan peralatan gantian (“RE”) yang kembali pulih seperti sebelum dilanda Covid-19. Subsegmen Minyak Pelincir akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya untuk mengembangkan perniagaannya dalam sektor pelincir perindustrian di peringkat tempatan dan antarbangsa.
 
Subsegmen Aeroangkasa menjangkakan permintaan yang baik bagi selongsong kipas dengan pembukaan semula perjalanan udara antarabangsa.  Ia juga akan terus meneroka peluang untuk meningkatkan penggunaan kilangnya dan mempelbagaikan keupayaan pembuatannya sejajar dengan kepelbagaian produk dan strategi pelanggannya.
 
Prospek keseluruhan
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami berasa yakin dengan keputusan bagi suku pertama 2022 Kumpulan walaupun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.  Peralihan kepada fasa endemik Covid-19 dijangka akan mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi di peringkat tempatan dan global, dengan sekatan yang semakin dilonggarkan, serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.  Selaras dengan unjuran KDNK Bank Negara Malaysia yang lebih tinggi antara 5.3% dan 6.3% untuk Malaysia pada 2022, Kumpulan menjangkakan prestasinya untuk 2022 akan lebih memuaskan. Namun begitu, Kumpulan tetap akan bersiap sedia dengan pelbagai halangan luaran, termasuk ancaman Covid-19 yang berlarutan, gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan berpanjangan, serta kesan dan akibat terhadap peningkatan konflik geopolitik.  Kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif strategiknya untuk memberikan tumpuan dalam memacu kecekapan operasi dan menjalankan aktiviti pengoptimuman kos untuk meningkatkan daya tahannya."
 
Mengenai UMW

Kumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat serantau yang memajukan dan menyokong pertumbuhan industri serta melibatkan diri dalam pelbagai usaha sama. Kumpulan UMW memberi tumpuan kepada empat segmen perniagaan teras - Automotif, Jentera, Pembuatan & Kejuruteraan dan Aeroangkasa.  Ia kini beroperasi di 8 buah negara dengan jumlah kakitangan melebihi 18,000 orang, termasuk Perodua.

UMW bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk masa hadapan industri - dengan menginspirasikan idea, meningkatkan potensi, memupuk usaha sama dan membentuk kecemerlangan untuk menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan.


SUMBER : UMW Corporation Sdn. Bhd.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : S Vikneshwaaran
Pengurus Besar – Bahagian Perhubungan Pelabur & Media
UMW Corporation Sdn. Bhd.
Tel : +603 2025 2104 / +6019 850 5799
E-mel : vikneshwaran.s@umw.com.my

 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.