ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  LAWATAN MEDIA 'INFLUENCER' CUTI-CUTI MALAYSIA PROMOSI KEUNIKAN TERENGGANU

Tuesday 24/05/2022



KUALA TERENGGANU, 24 Mei (Bernama) -- Sejajar dengan Peralihan ke Fasa Endemik, Tourism Malaysia menganjurkan program Lawatan Bersama Media Influencer Sempena Kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi menyemarakkan lagi pelancongan domestik.

Program lawatan ini merupakan antara usaha mempergiatkan promosi sektor pelancongan, seni dan budaya negara seiring dengan Pelan Pemulihan Negara. Lawatan terdiri daripada 7 wakil media melibatkan pengamal media baharu selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei 2022.

Setiu dan Kuala Terengganu menjadi lokasi pilihan penganjuran kali ini bagi mengetengahkan produk-produk pelancongan yang berteraskan pengalaman (experiential tourism) serta produk-produk seni, kraftangan, budaya dan warisan selain hidangan tradisi masyarakat tempatan.

Pengembaraan bermula di Setiu Wetlands dengan menyusuri satu-satunya tanah bencah di Malaysia yang mempunyai 9 ekosistem yang saling berkaitan bagi meneroka pelbagai spesies hidupan termasuk aktiviti mencari kepah dan lokan serta merasai sendiri tiram yang diternak.

Para peserta juga berpeluang berbasikal menelusuri Pantai Mangkuk dan Pantai Penarik serta dibawa menyusuri sungai Kampung Penarik bagi melihat sendiri keunikan santuari kelip-kelip di Setiu Wetlands dan bermalam di Terrapuri Heritage Village iaitu sebuah resort menampilkan 29 rumah klasik Melayu berusia ratusan tahun yang telah diberikan nafas baharu dengan susun aturnya diilhamkan dari Istana Terengganu pada abad ke -17.

Di Kuala Terengganu, para peserta turut berpeluang melawat Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan galeri menara yang berketinggian 106 meter dari aras laut. Program lawatan kali ini juga turut dimeriahkan dengan penyertaan peserta dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 yang berlangsung di pekarangan Dataran Drawbridge Kuala Terengganu.

Selain dibawa melawat Adiguru Kraf Tenunan Songket Wan Manang Wan Awang, mereka berkesempatan menyaksikan hasil kerja Adiguru Kraf Anyaman Mengkuang, Kelsom Abdullah yang terkenal menghasilkan 48 reka corak anyaman kelarai berunsurkan flora dan alam semulajadi.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Datin Rafidah Idris berkata, program ini diharap dapat memberi impak liputan yang meluas dalam mempromosikan produk-produk pelancongan baharu dan unik di dalam negara dengan menyasarkan generasi Millennials atau Youth Travellers.

“Penganjuran program lawatan ini juga adalah selari dengan Pelan Strategik Tourism Malaysia 2022-2026 dalam meningkatkan pelancongan domestik selain mempromosikan pelancongan dalam negara dengan mengoptimumkan penglibatan media menerusi penganjuran 'familiarization trip' melibatkan pengamal media arus perdana serta media baharu termasuk Bloggers dan Key Opinion Leaders (KOL)," katanya.

Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Sumber: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Faharuddin Hatmin 
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: faharuddin@tourism.gov.my

Nama: Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat 
Tel: +603 8891 8755
E-mel: muadz@tourism.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.