ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Tuesday 24/05/2022



KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan mengenai situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia.

Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 20/2022 (pada 21 Mei 2022), sejumlah 47,209 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding pada tahun 2021 sehingga ME yang sama, iaitu hanya mencatatkan 2,237 kes. Manakala kes dilaporkan bagi ME 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 106.6% (Rajah 1). Peningkatan kes pada ME 20 telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya. 

Table
 
Pada tahun 2022, sehingga 21 Mei 2022, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 13,640 kes (28.9%). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 6,206 kes (13.1%), Perak 4,099 kes (8.7%), Kelantan 3,726 kes (7.9%) dan Sabah 3,352 kes (7.1%) sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes. 

Table
 
Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes (93%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (1%). 

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71). Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat dua (2) kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah 6 tahun.

Sehingga kini, sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WPKL & Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4%), diikuti Selangor 143 wabak (12.2%) dan Perak 130 wabak (11.1%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61%) diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35%), dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (3%). Wabak dikira apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD. 

Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan sesi libaturus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan pra-sekolah, selain mengeluarkan surat alert. Sesi tersebut telah diadakan sejak minggu epid 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri. Sesi dibuat dalam bentuk sesi townhall, webinar, taklimat dan tunjuk cara terutama berkaitan proses disinfeksi. 

Semasa sesi libaturus ini juga, penekanan diberikan kepada:

i) Saringan di pintu-pintu masuk taska, tadika dan pra-sekolah (gate-keeping) bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

ii) Amalan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut. Pengusaha taska, tadika dan pra-sekolah dinasihatkan agar menyediakan tempat mencuci tangan yag bersesuaian.

iii) Membersihkan dan melakukan basmikuman alat permainan anak serta lantai rumah terutama tandas menggunakan larutan chlorine based.

iv) Pengurusan lampin pakai-buang yang betul dengan membuangnya ke tong sampah bertutup.

v) Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.

Pihak KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan bersama-sama Kementerian dan agensi lain, termasuk:

i) menyediakan teks hebahan dan diberikan kepada pihak pengurusan masjid dan pasaraya untuk dibuatkan hebahan kepada pengunjungnya;

ii) menjalankan hebahan berkala melalui kenyataan akhbar dan pengumuman kepada orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan khususnya yang mempunyai taburan kes sporadik yang tinggi agar mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang sewajarnya; dan

Bagi tahun 2022, sehingga 21 Mei 2022, tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:

Table
 
Orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat-tempat yang berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam. Orang ramai juga dinasihatkan agar melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


24 Mei 2022 @10:00 pagi

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel : +603-8883 3470

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.