ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  KENYATAAN AKHBAR PENGARAH KESIHATAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA - PEMAKLUMAN BERKENAAN PENINGKATAN KES TANGAN, KAKI & MULUT (HFMD) DI WP KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Monday 23/05/2022



KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan & Putrajaya (JKWPKL&P) ingin memaklumkan berkenaan peningkatan kes jangkitan Tangan, Kaki & Mulut (HFMD) di WP Kuala Lumpur & Putrajaya bagi tahun 2022. Adalah diperhatikan bahawa kes terus menunjukkan peningkatan bermula pertengahan Mac 2022 sehingga ke hari ini. Pada hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 (iaitu pada 21 Mei 2022), sejumlah 6,197 kes HFMD telah dilaporkan kepada JKWPKL&P. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding pada tahun 2021 iaitu pada ME yang sama, hanya mencatat 403 kes. Manakala jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/22 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2% (Rajah 1). 
 
Rajah 1: Jumlah kes HFMD mengikut Minggu Epidemiologi (ME) bagi tahun 2021 & 2022 (sehingga ME20)
 
Table

Sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di WP Kuala Lumpur & Putrajaya, berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak 32 wabak, menunjukkan peningkatan sebanyak 12 kali ganda. Kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua (2) atau lebih kes dalam tempoh inkubasi yang sama, dan di lokaliti yang sama. Rajah 2 menunjukkan taburan kes dan wabak mengikut Pejabat Kesihatan (PK) bagi tahun 2022.
 
Rajah 2: Taburan jumlah kes dan wabak HFMD mengikut Pejabat Kesihatan bagi tahun 2022 (sehingga ME20)
 
Table

Jangkitan HFMD cepat menular terutamanya di kalangan kanak-kanak jika mereka mempunyai kontak dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD. Justeru Jabatan ini ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD (iaitu ulser di mulut, ruam atau lepuh di tangan dan kaki) supaya; 
i) Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam termasuk taska/tadika/sekolah kerana ini akan merebakkan jangkitan
ii) Membawa anak yang bergejala segera berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat
iii) Menggunakan peralatan makanan dan minuman yang berasingan dan tidak berkongsi barang-barang dengan anak yang lain
 
Selain itu, pihak pengusaha taska/ tadika juga rumah pengasuh disarankan supaya melakukan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada gejala HFMD memasuki premis dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
 
Manakala semua golongan masyarakat digalakkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh/ merawat ruam/lepuh jangkitan HFMD dan semasa mencuci najis kanak-kanak. Juga, memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul. Lantai rumah terutamanya tandas hendaklah dibersihkan menggunakan disinfektan mengandungi chlorine-based.
 
Jabatan ini sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di WP Kuala Lumpur dan Putrajaya khasnya, dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan transmisi jangkitan di dalam komuniti. Jabatan ini juga mengharapkan sokongan masyarakat untuk sentiasa cakna berkenaan gejala HFMD dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran terutamanya mengamalkan kaedah mencuci tangan dengan betul. Orang ramai juga digalakkan untuk sentiasa melayari laman sesawang KKM di https://www.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini kes HFMD.  
 
 
DR NOR’ AISHAH BINTI ABU BAKAR
Pengarah Kesihatan Negeri
Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur& Putrajaya
23 Mei 2022

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: MOHD AZMI ABD MAJID
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: 03-8883 4536 /017-6826205

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.