April 26, 2025 -Sabtu

 
  130 PEK JUADAH SAHUR DAN RM 5000 DISUMBANGKAN DALAM PROGRAM CSR DAN IMARAH RAMADAN HASIL CAWANGAN BANGI

Monday 25/04/2022



BANDAR BARU BANGI, 25 April (Bernama) -- Sebanyak 130 pek juadah sahur telah disumbangkan kepada para petugas barisan hadapan dan RM 5000 lagi kepada Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/ Miskin Rukaiyah Sungai Merab Luar dalam Program CSR dan Imarah Ramadan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Cawangan Bangi.
 
Program yang digerakkan oleh Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya (PPNWPP), Kelab Sukan & Kebajikan Cawangan Bangi (KSKCB), Pasukan Bomba Sukarela HASiL (PBS), Kelab Motorsikal Cawangan Bangi (AKATSUKI) dan Koperasi Hasil Dalam Negeri Malaysia (KOHASiL) itu turut mendapat kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia.
 
Program yang bermula seawal jam 4.00 pagi tersebut melibatkan seramai 33 orang Hasilian dengan 10 buah kenderaan dan 10 buah motorsikal dari kelab AKATSUKI yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad Fauzi Saat, Pengarah PPNWPP dan Encik Ahmad Shukri Zaharuddin, Pengarah HASiL Cawangan Bangi. Program ini merupakan antara salah satu inisiatif tahunan HASiL dalam menyantuni serta membantu golongan yang kurang bernasib baik bagi persediaan menyambut Syawal yang bakal menjelang tiba.
 
Menurut Tuan Haji Mohamad Fauzi Saat, objektif utama program yang dianjurkan adalah untuk menyantuni petugas barisan hadapan bagi menzahirkan ucapan terima kasih dan menghargai jasa atas khidmat bakti yang dicurahkan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam terutamanya pada waktu malam. Di samping itu ia juga bagi meraikan Ramadan dengan bersahur bersama-sama anak-anak yatim yang sedikit sebanyak akan menambah keceriaan mereka. Antara agensi barisan hadapan dan rumah anak-anak yatim yang disantuni adalah seperti yang berikut:

1. Balai Polis Bandar Baru Bangi;
2. Balai Bomba & Penyelamat Bandar Baru Bangi; dan
3. Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/ Miskin Rukaiyah Sungai Merab Luar.
 
Turut bersama-sama menjayakan program ini ialah Encik Mohamad Fauzi Abd Aziz, Timbalan Pengarah Cawangan Bangi, Encik Syaiful Izam Othman, Pengerusi Kelab Sukan & Kebajikan Cawangan Bangi, En Wan Izdihar Wan Daud, Naib Pengerusi KOHASiL serta Exco PBS HASiL. Program ini diakhiri dengan sesi bersahur dan solat Subuh secara berjemaah bertempat di Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah di Sungai Merab Luar, Kajang.
 
Semoga dengan pelaksanaan program seperti ini dapat memberi peluang kepada Hasilian untuk menyelami perasaan petugas barisan hadapan yang bersengkang mata dalam menggalas amanah menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam di samping memupuk kesedaran menyemai kasih sayang kepada anak-anak yatim ini. Semoga sumbangan dan usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 25 April 2022

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi
| Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Customer Care Officer: 019-651 1100
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.