ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  AEON KOMITED UNTUK BEBAS DARIPADA RASUAH

Thursday 21/10/2021



KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- – Pihak pengurusan dan warga kerja AEON CO. (M) BHD. dan AEON BiG (M) SDN. BHD. atau AEON komited untuk bebas daripada rasuah. Komitmen itu dizahirkan di majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di ibu pejabatnya, AEON Home Ground di AEON Taman Maluri Shopping Centre, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2021. 

Di majlis tersebut yang diadakan secara hibrid, sesi Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah telah diketuai oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON. Beliau disertai oleh hampir 200 orang secara fizikal dan maya, yang turut berikrar merangkumi Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan sebahagian daripada warga kerja AEON. Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON juga turut hadir secara maya. Ianya disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM.  

Menurut Shafie, “Kami sangat bersyukur kerana dapat menyempurnakan Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) secara rasminya dengan sokongan dan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ini kerana ianya merupakan sesuatu yang amat penting untuk dilaksanakan bagi terus memberikan kesedaran dan menerapkan perasaan bencikan rasuah di setiap peringkat di AEON.” 

Tambah Shafie lagi, “Apabila setiap tindakan atau keputusan yang diambil berasaskan kepada integriti, tanpa diselubungi gejala rasuah, syarikat ditadbir urus dengan baik dan pastinya berada di landasan yang betul untuk terus berkembang maju. Kelestarian syarikat menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada warga kerja dan pemegang taruh. Syarikat yang berdaya maju, dipacu oleh produktiviti yang tinggi akan turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. AEON bertekad untuk terus mendukung IBR dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan akan sentiasa menyokong pihak SPRM dalam usaha membanteras rasuah.”

IBR oleh SPRM merupakan satu inisiatif yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan syarikat dan warga kerjanya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap dari mereka yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah. 

Pada majlis itu juga, pihak SPRM menyampaikan taklimat tentang Memerangi Rasuah Dalam Organisasi.

“Di AEON, kami sentiasa berusaha untuk memahatkan nilai-nilai murni di kalangan kami. Salah satunya menerusi Kod Tatakelakuan AEON atau AEON Code of Conduct, iaitu sentiasa menghargai kepercayaan yang diberikan dan sentiasa bertindak dengan penuh integriti dan keikhlasan dalam apa jua keadaan. Komitmen ini kami lafazkan setiap kali semasa perhimpunan bulanan dengan semua warga kerja AEON,” akhiri Shafie.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen jitu AEON untuk menggalakkan tadbir urus yang bersih dan telus ke arah merealisasikan misi dan visi syarikat serta menjadikan AEON sebagai sebuah syarikat bebas rasuah. AEON mengamalkan toleransi sifar terhadap sebarang gejala rasuah dan salah laku dan menyeru kesemua pemegang taruh di dalam ekosistem AEON khasnya warga kerja AEON menolak rasuah dan terus komited menjalankan tanggungjawab masing-masing berpaksikan integriti. 

AEON akan meneruskan IBR dalam memastikan warga kerja AEON dan juga ekosistem yang merangkumi lebih daripada 12,000 orang pekerja turut memberikan komitmen bebas-rasuah.  

AEON sedar amalan rasuah boleh turut memberikan kesan negatif kepada pembangunan ekonomi dan menggoyahkan struktur pentadbiran negara. Justeru itu, AEON akan terus bersama menyokong pihak Kerajaan dan agensi-agensinya dalam memastikan gejala rasuah dapat dibanteras untuk negara terus makmur.

Pendirian ini selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu di mana salah satu daripada terasnya ialah Keamanan, Keadilan, dan Institusi Yang Kukuh (Matlamat Pembangunan Lestari ke - 16) yang bertujuan untuk membina institusi yang kukuh dan adil dalam menyokong masyarakat yang aman dan inklusif di seluruh dunia menjelang 2030, terutamanya dengan: menggalakkan kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, tadbir urus yang baik, tanpa diskriminasi di semua peringkat.

MENGENAI AEON RUNCIT

AEON CO. (M) BHD.
adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 43 DAISO di seluruh negara. Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan negara. 

AEON BiG (M) SDN. BHD. mengendalikan 22 pasar raya besar dengan nama dagang "AEON BiG" di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Pengambilalihan AEON BiG adalah sebahagian daripada rancangan AEON Group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi di Asean. 

AEON terus berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON. 

Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam Bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Laman Web: www.aeonretail.com.my
Facebook: www.facebook/aeonretail.com / www.facebook.com/MYAEONBiG/
Instagram: www.instagram.com/aeonretail.my/www.instagram.com/myaeonbig/?hl=en
Twitter: @AEON_Malaysia

Sumber: AEON CO. (M) BHD.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama: Nik Surina Suria
Corporate Communications
AEON CO. (M) BHD.
Tel: 013 367 6488
Emel: niksurina@aeonretail.com.my 

Nama: Fairas Imran Jaapar
Corporate Communications
AEON CO. (M) BHD.
Tel: 012 371 6387
Emel: fairas.imran@aeonretail.com.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.