Julai 02, 2025 -Rabu

 
  JUALAN AUTOMOTIF KUMPULAN UMW LEBIH DUA KALI GANDA PADA SEPTEMBER 2021 BERIKUTAN PENINGKATAN TERHADAP PENGELUARAN; MENCATATKAN JUALAN SEBANYAK 22,193 UNIT PADA SEPTEMBER 2021

Wednesday 13/10/2021



- UMW Toyota Motor mencatatkan jualan sebanyak 8,033 unit pada September 2021
- Perodua mencatatkan jualan sebanyak 14,160 unit pada September 2021

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Penjualan automotif Kumpulan UMW meningkat kepada 22,193 unit pada bulan September 2021 berbanding dengan 9,512 unit yang dicatatkan pada bulan Ogos 2021 berikutan pembukaan semula operasi secara beransur-ansur serta pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (“PKPP”) mulai 16 Ogos 2021.  UMW Toyota Motor (“UMWT”) dan syarikat bersekutu, Perodua terus meningkatkan jumlah pengeluaran untuk mempercepat penghantaran pesanan yang tergendala.

Jualan UMWT meningkat tiga kali ganda kepada 8,033 unit pada bulan September 2021, daripada 2,524 unit yang didaftarkan pada bulan Ogos 2021.  Ini menjadikan jumlah penjualan daripada Januari sehingga bulan September 2021 kepada 46,118 unit, 23.5% lebih tinggi berbanding 37,339 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2020.  Toyota Vios terus menjadi model terlaris di pasaran bagi September 2021, diikuti oleh Hilux dan Yaris. Sebagai langkah untuk memajukan inisiatif neutral karbon, UMWT baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk memulakan pengeluaran Kenderaan Elektrik Hibrid ("HEV") di Malaysia.  UMWT akan secara berperingkat mempelbagaikan penawarannya terhadap kenderaan elektrik seiring dengan usaha negara untuk mempertingkatkan polisi dan menaiktarafkan infrastruktur bagi mempromosikan peralihan kepada kenderaan elektrik.  Rancangan ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon 2050 serta pendorongannya terhadap pengeluaran kenderaan cekap tenaga ("EEV") untuk menyokong inisiatif mobiliti mesra pengguna.

Perodua mencatatkan jualan sebanyak 14,160 unit pada bulan September 2021, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 6,988 unit yang dicatatkan pada bulan Ogos 2021.  Dengan pembukaan semula operasi automotif secara beransur-ansur, Perodua akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggannya.  Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 119,093 unit, 17.9% lebih rendah daripada 145,012 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2020, disebabkan oleh sekatan PKPP dan kekurangan cip semikonduktor.  Perodua telah berjaya mendapatkan cip semikonduktor yang mencukupi untuk memastikan tiada gangguan sepanjang proses pengeluaran kenderaan untuk tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan bagi UMWT dan Perodua terus kukuh, terbukti melalui tahap jumlah pesanan yang memuaskan.  Kumpulan menjangkakan momentum penjualan automotif akan memuncak pada suku terakhir tahun ini, disokong oleh promosi akhir tahun dan pengecualian cukai penjualan.  Kami juga berharap pengecualian cukai penjualan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 bagi mempercepatkan usaha memulihkan industri automotif.  Kami berterima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan kami, walaupun menghadapi pelbagai cabaran. "

Mengenai UMW

Kumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat bertaraf antarabangsa yang memajukan dan menyokong pertumbuhan industri serta melibatkan diri dalam pelbagai usaha sama. Kumpulan UMW memberi tumpuan kepada empat segmen perniagaan teras - Automotif, Jentera, Pembuatan & Kejuruteraan dan Aeroangkasa.  Ia kini beroperasi di 8 buah negara dengan jumlah kakitangan melebihi 7,000 orang.

UMW bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk masa hadapan industri - dengan menginspirasikan idea, meningkatkan potensi, memupuk usaha sama dan membentuk kecemerlangan untuk menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan.

SUMBER : UMW Corporation Sdn. Bhd.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: S Vikneshwaaran
Pengurus Besar – Bahagian Perhubungan Pelabur & Media
UMW Corporation Sdn. Bhd.
Tel: +603 2025 2104 / +6019 850 5799
E-mel: vikneshwaran.s@umw.com.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.