Mei 03, 2025 -Sabtu

 
  PROGRAM MYRESKILL IOT MPC TITIK TOLAK BARU KEPADA AGENDA PRODUKTIVITI NEGARA

Wednesday 01/09/2021



PETALING JAYA, Selangor, 1 Sept (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Elektrik dan Elektronik (EEPN) menyasarkan 5,000 syarikat daripada beberapa sektor ekonomi terpilih akan mendapat manfaat daripada Program MyReskill IoT yang akan dilancarkan pada 2 September 2021.
 
Program yang dijadual dirasmikan oleh YBhg. Dato' Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertemakan ‘Peningkatan Produktiviti melalui Digitalisasi’ bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan syarikat dari pelbagai saiz dan sektor ekonomi yang berkaitan.
 
Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Hj. Abu Seman berkata, penggunaan teknologi yang lebih tinggi di kalangan syarikat pelbagai saiz membuka peluang yang lebih luas untuk memacu pertumbuhan produktiviti negara.
 
“Melalui program ini, lebih banyak syarikat berpeluang melaksanakan pendigitalan bagi menghasilkan impak digital teknologi yang lebih signifikan terhadap pertumbuhan produktiviti,” tambah beliau.
 
Menurut Laporan Bank Dunia, peratusan syarikat Malaysia yang menggunakan peralatan dan mesin secara automatik atau dikawal oleh komputer adalah masih rendah. 
 
Sehubungan itu, Dato’ Abdul Latif berkata, penganjuran program MyReskill IoT dilihat tepat pada masanya untuk meningkatkan prestasi produktiviti dengan meningkatkan kadar penggunaan teknologi di kalangan syarikat pelbagai saiz di negara ini.
 
Antara komponen penting yang diterapkan dalam program ini ialah Aku Janji Penggunaan Digital, yang merupakan inisiatif di bawah Nexus Produktiviti Digital (DPN). Inisiatif ini bertujuan menggalakkan ketua organisasi memupuk perubahan minda ke arah prestasi yang lebih cemerlang melalui penggunaan teknologi digital.
 
Sementara itu, Pengerusi DPN, Dato’ Wei Chuan Beng, berkata faedah teknologi kepada produktiviti tidak datang secara automatik. “Ketua setiap organisasi perlu mengubah pemikiran mereka untuk tidak hanya bertahan sewaktu pandemik ini, tetapi untuk menjadi lebih berdaya saing dengan memanfaatkan digitalisasi,” tambah beliau.
 
Setelah sesi perasmian, pembentangan mengenai pengenalan program dan penggunaan IoT untuk meningkatkan produktiviti akan disampaikan oleh pakar produktiviti dan wakil industri. Untuk mendaftar bagi Majlis Pelancaran Program MyReskill IoT ini, sila layari https://www.eventbrite.sg/e/mpc-myreskill-iot-launching-tickets-167254640131.
 
Syarikat yang berminat untuk menyertai program ini boleh berhubung dengan pihak sekretariat melalui eepn@mpc.gov.my atau melayari https://wayup.my/retamyreskilliot/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi 

Tel: 0197181804
Emel: nikhaneez@mpc.gov.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.