ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 23, 2024 -Selasa

 
  KSN MELANCARKAN DASAR NEGARA BAGI AMALAN BAIK PERATURAN KE ARAH MALAYSIA YANG LEBIH PRODUKTIF DAN BERDAYA SAING

Friday 30/07/2021



PETALING JAYA, 30 Julai (Bernama) -- Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini melancarkan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan melalui Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 yang berkuatkuasa pada 22 Jun 2021.
 
Dalam ucapan beliau, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki berkata, “Kerajaan komited melaksanakan Amalan Baik Peraturan dan semua Kementerian dan Agensi Kerajaan Persekutuan perlu mematuhi Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021 berkaitan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP). Pelaksanaan NPGRP akan memperkasa pertumbuhan produktiviti yang pesat dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara”.
 
Sementara itu, Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, Ketua Pengarah MPC berkata, “Amalan Baik Peraturan penting bagi menjamin persekitaran perniagaan yang kondusif untuk negara terus mengalami perkembangan produktiviti dan ekonomi yang menggalakkan”.
 
“Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju untuk memudahcara, memberi nasihat, dan memastikan pelaksanaan NPGRP yang komprehensif dan efektif oleh institusi Kerajaan. Antaranya, MPC bertanggungjawab memberi panduan teknikal bagi analisis impak peraturan dan teknik rundingan untuk menjamin kualiti peraturan yang digubal atau dipinda. Dalam memudahcara proses rundingan, MPC menyediakan platform rundingan atas talian”.
 
“MPC juga mempunyai jalinan kerjasama yang erat dengan Rangkaian Amalan Baik Peraturan ASEAN-OECD (GRPN) dan juga APEC. Perkongsian teknik-teknik baharu melalui jalinan kerjasama ini membantu memastikan keupayaan semua institusi yang terlibat dalam melaksanakan Amalan Baik Peraturan di Malaysia setara dengan negara-negara lain”, tambah Dato’ Abdul Latif.  
  
Pekeliling Amalan Baik Peraturan ini mengandungi prinsip dan proses untuk menjamin tiada beban peraturan yang tidak wajar dan memastikan kos pematuhan peraturan yang adil serta objektif peraturan yang jelas seperti melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat tercapai. Peraturan yang berkualiti membolehkan perniagaan bersaing dengan baik dan mencapai kecekapan operasi yang optimum.
 
Bank Dunia mengukur kualiti peraturan perniagaan serta penguatkuasaannya melalui laporan tahunan Kemudahan Menjalankan Peniagaan. Laporan 2020 meletakkan Malaysia di kedudukan ke 12 dari 190 negara yang mengambil bahagian dalam penilaian tersebut. Kedudukan ini meletakkan Malaysia pada landasan yang baik dalam usaha menambahbaik persekitaran perniagaan melalui peraturan yang berkualiti.

Mengenai Malaysia Productivity Corporation (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.

Dikeluarkan oleh MALAYSIA PRODUCTIVITY CORPORATION

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Nik Haneez Nik Rosdi 
Tel: 019-718 1804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my

--BERNAMA






 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.