ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 23, 2024 -Isnin

 
  RM300 JUTA MELALUI JANANIAGA DIJANGKA BANTU ALIRAN TUNAI DUA JUTA PKS

Thursday 22/07/2021



KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Berhad (“EXIM Bank”) hari ini melancarkan platform digital JanaNiaga bertujuan membantu aliran tunai pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang membekal kepada Kerajaan dan Syarikat-syarikat yang Berkaitan Kerajaan (GLC).
 
JanaNiaga berperanan sebagai platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional. PKS yang membekalkan kepada GLC boleh mendapatkan bantuan pembiayaan invois dengan kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus. Kadar ini jauh lebih rendah daripada pembiayaan yang boleh diperolehi pada kadar biasa, bagi memudahkan aliran tunai syarikat masing-masing.
 
Inisiatif ini pertama sekali diumumkan melalui Belanjawan 2021. JanaNiaga akan dikendalikan oleh EXIM Bank dengan peruntukan sebanyak RM300 juta dan dijangka akan memanfaatkan lebih dua juta PKS khususnya yang terlibat dalam ekosistem pembekalan kepada GLC. Jumlah ini dijangka akan mencecah 1.2 bilion ringgit dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.   
 
Sebagai titik permulaan, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) akan turut menjayakan platform ini. Di masa terdekat, JanaNiaga dijangka akan diperluaskan untuk merangkumi pembekalan kepada Kementerian, agensi Kerajaan dan GLC-GLC lain.
 
Platform JanaNiaga menyediakan akses kepada pembiayaan secara digital, dengan proses kelulusan lebih cepat dan keperluan dokumentasi yang lebih mudah. Sistem yang berlandaskan pendigitalan ini juga membolehkan permohonan pembiayaan dibuat secara dalam talian, di mana setiap permohonan boleh diluluskan dan pembiayaan disalurkan dalam lebih kurang 24 jam.
 
Yang Berhormat Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata: “Kecairan tunai PKS adalah teramat penting dalam saat-saat mencabar pandemik ini untuk memastikan kelangsungan perniagaan. JanaNiaga menyatukan pelbagai pihak terlibat dalam ekosistem rantaian pembekalan nasional. Ianya berupaya meningkatkan kecekapan aliran kewangan dan akses pembiayaan bagi modal kerja PKS di negara kita melalui ketersediaan dana sebanyak RM300 juta.“
 
“Adalah harapan Kerajaan supaya JanaNiaga dapat membantu PKS yang banyak terkesan sepanjang pandemik Covid-19, sekaligus menyokong pemulihan perniagaan dan ekonomi. Ini juga selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” tambah beliau lagi.
 
Ketua Pegawai Bertugas EXIM Bank Malaysia, Chin Chon Young turut berkata: “Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, EXIM Bank giat mengusahakan JanaNiaga sebagai sebuah infrastruktur berpusat bagi pembiayaan holistik, yang dapat menghubungkan pangkalan data rantaian bekalan utama di Malaysia. Kami sedang menyediakan asas untuk suntikan sumber dana baru bagi menjana kembali ekonomi untuk tahun-tahun mendatang. Inisiatif ini adalah dalam bentuk pembiayaan mampan yang akan membantu PKS pulih dari pandemik Covid-19 dan seterusnya, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang rancak selepas pandemik."

EXIM Bank juga telah bekerjasama dengan beberapa bank yang berminat untuk menyertai program inovatif sebegini kerana pembiayaan rantaian bekalan kian mendapat perhatian dalam persada kewangan global sebagai alat pemulihan ekonomi. Selain itu, pendekatan pelbagai-bank (multi-bank) adalah pendekatan pilihan kebanyakan GLC dan syarikat korporat besar bagi membantu menstabilkan akses dana bagi pembiayaan.

Antara institusi kewangan yang turut serta dalam JanaNiaga untuk membantu pembiayaan PKS adalah Maybank, CIMB, Bank Muamalat, HSBC dan Standard Chartered Bank.
 
Dalam jangka masa panjang, JanaNiaga dijangka memperluaskan lagi jaringan kedua-dua pembiaya dan pembayar (paymaster), serta menjadi pendorong utama dalam memperkenalkan lebih banyak penyelesaian lain berasaskan teknologi. Selain menyokong agenda nasional, platform ini pasti akan membantu segmen PKS yang sering terpinggir dan juga menghadkan risiko kredit terhadap para pembiaya atau institusi-institusi kewangan di negara ini.
 
Turut hadir di Majlis perasmian JanaNiaga dari Kementerian Kewangan adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Puan Zakiah Binti Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datin Rashidah Binti Mohd Sies, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Puan Anis Rizana Binti Mohd Zainudin dan Pengarah Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), Dato’ Shahrul  Nazri Bin Abdul Rahim.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.jananiaga.gov.my/

Mengenai EXIM Bank of Malaysia Berhad

Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) diperbadankan pada 29 Ogos 1995 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. EXIM Bank telah membantu pelbagai jenis perniagaan Malaysia dari pelbagai sektor, dalam usaha perdagangan global mereka. EXIM Bank dengan bangga dapat memenuhi peranan mandatnya bagi mendorong dan meningkatkan lagi daya-saing industri Malaysia untuk mengeksport dan melabur di seluruh dunia, melalui penyediaan produk dan khidmat-nasihat perbankan dan insurans yang kompetitif di peringkat antarabangsa dan domestik. EXIM Bank juga turut menawarkan instrumen pembiayaan dan Takaful patuh Syariah. Untuk maklumat lebih lanjut, layari www.exim.com.my.

SUMBER:EXIM Bank of Malaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Azmin Hamzah
Ketua, Bahagian Komunikasi Korporat
Export-Import Bank of Malaysia Berhad
Tel: +603 2601 2371
Faks: +603 2601 2469
E-mel: azmin@exim.com.my
Website: www.exim.com.my

Nama: Mohd Ronnee Osman
Pegawai Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat
Export-Import Bank of Malaysia Berhad
Tel: +603 2601 2397
Faks: +603 2601 2469
E-mel: mronneeosman@exim.com.my
Website : www.exim.com.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.