ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  PERBADANAN NASIONAL BERHAD PERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI PENERAJU INDUSTRI FRANCAIS DENGAN JENAMA BAHARU

Monday 21/06/2021



KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad, yang melibatkan pertukaran akronim dan logo dari PNS kepada Pernas, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.
 
Ia merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi – organisasi kerajaan yang lain.  
 
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, “Industri francais  merupakan salah satu  sektor utama selain dari koperasi dan usahawan  PKS yang memberi impak penting dan  menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)”.  Menurutnya lagi, “Selain perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais”.
 
“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.  Saya amat yakin , ia dapat  mencapai  sasaran  MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS”.
 
Industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3% iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2019.  
 
Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara. 
 
Manakala, YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris, Pengerusi Pernas menyatakan sejak tahun 2004 sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih dari 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan. 

“Selaras dengan penjenamaan semula ini, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuklah melancarkan dua (2) projek terbaharunya iaitu Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima (5) usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” tambahnya lagi. 

Pernas dan agensi-agensi di bawah MEDAC akan bergerak seiring mendokong hasrat MEDAC menjadikan keusahawanan dan koperasi sebagai agenda utama ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan inklusif.

Penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad memperkenalkan logo dan warna baharu yang lebih moden dan  segar  yang melambangkan sokongan yang diberikan Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan.

Untuk urusan media, sila hubungi: Hamidah Ibrahim, Ketua Jabatan Komunikasi Strategik melalui emel, hamidah.ibrahim@pernas.my atau hubungi talian 03-2082 7788 samb. 7941.

PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia. 

Mulai 2004, Pernas mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:

1. Skim Pembiayaan Francais untuk perniagaan dan usahawan francais yang merangkumi semua keperluan perniagaan francais termasuk perbelanjaan modal and keperluan modal kerja;

2. Pembiayaan Ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor francais strategik; dan

3. Khidmat nasihat merangkumi sokongan kepada pembangunan usahawan bumiputera dan perniagaan francais untuk meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan.
 
Pernas menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia. Selain itu, Pernas juga menawarkan perkhidmatan lain seperti latihan, penyewaan ruang runcit, pelaburan & pembiayaan hartanah (berkaitan dengan francais) dan pelaburan ekuiti.

Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, Pernas juga mempunyai lima pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi.

Sumber: PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PERNAS)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Hamidah Ibrahim
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: 03-2082 7788 samb. 7941
Emel:hamidah.ibrahim@pernas.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.