ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA BAGI PEROLEHAN PERKHIDMATAN UKIRAN KAYU DAN JADUAL KADAR HARGA BANTU MEMARTABAT DAN MEMELIHARA SENI WARISAN KRAF UKIRAN KAYU

Thursday 10/06/2021



KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memartabatkan seni warisan kraf ukiran kayu di negara ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Pekeliling Bagi Perolehan Perkhidmatan Ukiran Kayu dan Jadual Kadar Harga berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021.

Pekeliling ini merupakan satu inisiatif untuk memelihara kelestarian seni kraf ukiran kayu di Malaysia. Ia juga bagi mengiktiraf dan melindungi kebajikan usahawan kraf, pengukir-pengukir serta syarikat dalam bidang ukiran kayu yang dilantik oleh Kontraktor Utama bagi melaksanakan sesuatu projek Kerajaan agar menerima kadar bayaran setimpal dengan kerja-kerja ukiran kayu yang dibuat. Kadar bayaran bagi kerja-kerja ukiran kayu ini dinilai berdasarkan kepada rekaan motif, kehalusan kerja dan nilai estetika ukiran kayu yang dihasilkan.

Terdapat tiga (3) kaedah pelaksanaan bagi perolehan perkhidmatan ukiran kayu dalam perolehan Kerajaan iaitu:
 
i. Perolehan perkhidmatan ukiran kayu bagi bangunan sedia ada;
ii. Perolehan perkhidmatan ukiran kayu bagi kerja pembinaan bangunan baharu/ naik taraf/ ubah suai di bawah Kontraktor Utama untuk projek Konvensional; dan
iii. Perolehan perkhidmatan ukiran kayu bagi kerja pembinaan bangunan baharu/ naik taraf/ ubah suai di bawah Kontraktor Utama untuk projek Reka dan Bina.

Kraftangan Malaysia turut menyediakan dokumen Jadual Kadar Harga (JKH) Ukiran Kayu sebagai rujukan dan panduan bagi pengiraan kos perolehan kerajaan berkaitan kerja-kerja ukiran kayu. Kandungan jadual ini merangkumi Panduan Kegunaan yang  meliputi Lain-lain Kos, Asas Pengiraan dan Contoh Perkiraan.

Turut dijelaskan berkenaan kerja ukiran kayu iaitu Motif Ukiran Kayu, Klasifikasi Kekuatan Kayu, Jenis-jenis Teknik Ukiran, Klasifikasi Gred Ukiran, Saiz Ukiran, Jenis Produk dan Gred Pengukir. Dokumen ini juga menerangkan secara lengkap jadual kadar harga untuk Klasifikasi Kayu Keras Berat (Heavy Hardwood), Kayu Keras Sederhana (Medium Hardwood) dan Kayu Keras Ringan (Light Hardwood).

Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada MOTAC khususnya dan Kementerian Kewangan yang bersama-sama melindungi dan memartabatkan industri kraf ukiran kayu menerusi pekeliling ini. Beliau turut menyeru agar semua usahawan, syarikat-syarikat ukiran kayu mahupun orang ramai yang ingin menceburi bidang ukiran kayu bersama-sama mendaftar dengan Kraftangan Malaysia dan mengguna pakai Jadual Kadar Harga Ukiran Kayu yang telah dikuatkuasakan dalam usaha memastikan industri kraf ukiran kayu terus berkembang dan lestari.

Industri kraf ukiran kayu dapat dilindungi melalui pekeliling ini selain menggalakkan semua penggiat industri mengguna pakai Jadual Kadar Harga Ukiran Kayu yang telah dikuat kuasakan. Ia juga secara tidak langsung memberi manfaat kepada industri kraf negara terutamanya dalam meningkatkan taraf ekonomi usahawan kraf dan tukang-tukang ukiran kayu yang menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama. Selain daripada itu, usaha ini juga mampu mencipta peluang pekerjaan dengan syarikat-syarikat ukiran kayu kepada belia berkemahiran dalam seni kraf ukiran kayu khususnya kepada graduan Jurusan Seni Kraf Kayu dari Institut Kraf Negara (IKN).

Layari laman sesawang Kraftangan Malaysia untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan Pekeliling Bagi Perolehan Perkhidmatan Ukiran Kayu dan Jadual Kadar Harga atau hubungi talian 03-2162 7459.

Sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Nur Nadia bt Mohd Salleh Anuar
Tel: 017-5046 540

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.