ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 10, 2024 -Jumaat

 
  MARDI LANCAR TEKNOLOGI DAN BUKU BERSEMPENA WEBINAR SEKURITI MAKANAN NEGARA

Monday 31/05/2021



SERDANG, 31 Mei (Bernama) -- MARDI telah melancarkan beberapa teknologi secara dalam talian bersempena dengan penganjuran Webinar Sekuriti Makanan Negara 2021. Teknologi yang dilancarkan adalah Formulasi Makanan Ayam MARDI, Telur Pereka Diperkaya Xantofil, penjenamaan Ayam Kampung MARDI sebagai Ayam Saga serta dua buah buku iaitu Padi Disemai, Hasil Dituai dan Liberalisasi Import Pertanian – Impak, Implikasi dan Potensi.
 
Ini merupakan satu lagi kaedah MARDI dalam merancakkan industri pertanian dan penternakan dengan memperkenalkan teknologi baru dan berkongsi pengetahuan terkini serta mempelbagaikan produk inovasi demi sekuriti makanan negara.
 
Berikut adalah butiran setiap teknologi dan buku yang dilancarkan.

1) Penjenamaan Semula Ayam Kampung MARDI Sebagai Ayam Saga
 
Baka Ayam Saga ini telah dihasilkan melalui kajian penyelidikan di MARDI bermula pada tahun 2008. Hasil daripada kajian awal di MARDI, empat strain ayam kampung telah berjaya dihasilkan iaitu Alfa, Beta, Gamma dan Tetta. Baka ayam kampung ini telah diperkenalkan pada MAHA International 2012.
 
Ciri-ciri fenotipik Ayam Saga baka ini adalah mirip kepada ayam kampung asli di Malaysia namun pertumbuhannya lebih seragam. Baka ini sesuai untuk diternak secara separa intensif atau lepas bebas di bawah ladang kelapa sawit, getah atau buah-buahan. Pemiliharaan dan pemakanan bagi baka ini juga lebih mudah dan ringkas berbanding dengan ayam pedaging.
 
2) Formulasi Makanan Ayam MARDI

Formulasi makanan ayam MARDI dirumus berpandukan pada spesifikasi keperluan nutrien dan nilai kehadaman setiap bahan mentah yang telah ditentukan dalam kajian pemakanan ke atas Ayam MARDI bagi setiap fasa tumbersaran dan pembiakan. Ini bagi memastikan nutrisi yang dibekalkan dapat diserap dan digunakan secara optimum dalam Ayam MARDI.
 
Empat (4) formulasi telah dibangunkan:

i) Formulasi makanan ayam MARDI untuk pengeluaran daging
ii) Formulasi makanan ayam MARDI untuk pengeluaran telur.
iii) Formulasi makanan pembaka ayam MARDI
iv) Formulasi makanan ayam kampung berasaskan hampas isirong sawit (PKE) yang ditambah enzim (PKFeed Plus)

3) Telur Pereka Diperkaya Xantofil

Dibangunkan dengan penggunaan formulasi makanan vegetarian dan karotenoid semula jadi tanpa antibiotik. Telur tersebut mempunyai lutein dan zeaxantin sekurang-kurangnya empat kali ganda lebih banyak daripada telur biasa.
 
Antara kelebihan telur ini adalah; melindungi daripada penyakit mata seperti age-related macular degeneration (AMD), katarak dan lain-lain. Meningkatkan fungsi kognitif dan menguatkan ingatan. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, aterosklerosis dan strok. Mengurangkan risiko kanser kolon, payudara, kepala dan leher.
 
4) (Terbitan Buku) Padi Disemai, Hasil Dituai

Buku ini menyorot industri padi dan beras di Malaysia, bermula daripada zaman sebelum penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu, sehinggalah ke era moden kini.  Tujuan utamanya adalah untuk memaparkan episod-episod penyelidikan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh MARDI dalam  membantu negara mencapai keseimbangan bekalan padi dan permintaan beras oleh rakyat. 
 
Buku ini boleh dijadikan sebagai rujukan lengkap bagi pembaca yang inginkan maklumat gambaran keseluruhan industri padi dan beras Malaysia, kerana ia mencakupi seluruh rantaian nilai tanaman padi. 
 
Buku ini dihasilkan oleh kumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI yang diketuai oleh Dr. Asfaliza binti Ramli.

5) (Terbitan Buku) Liberalisasi Import Pertanian – Impak, Implikasi dan Potensi

Penerbitan buku ini adalah satu usaha dan inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Malaysia (MAFI) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menilai impak liberalisasi kuota import ke atas keluaran pertanian serta potensi dan implikasi liberalisasi ke atas cadangan keluaran pertanian.
 
Dapatan penilaian ini dijangka memberi garis panduan dan hala tuju terhadap keperluan dasar liberalisasi pertanian negara pada masa hadapan. Ia akan memberi manfaat dan sumber rujukan kepada pemain industri, khususnya pengeluar, pengusaha, penggubal dasar, penyelidik, ahli akademik dan pengguna. 
 
Buku ni diterbitkan oleh kumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi, Risikan Pasaran dan Agribisnes MARDI yang diketuai oleh Dr. Roslina binti Ali.

Pelancaran teknologi ini disaksikan secara dalam talian oleh YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan; yang diwakili oleh YB Datuk Seri Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri MAFI I. Turut hadir di dalam talian adalah Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI serta Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff bin Mohd Noor. Webinar Sekuriti Makanan Negara 2021 dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada 27 Mei yang lepas bagi membincangkan isu, cabaran dan hala tuju sekuriti makanan negara meliputi aspek pemodenan, nutrisi dan rantaian bekalan makanan yang menyentuh isu rakyat secara umumnya yang disertai lebih 1,500 orang peserta secara dalam talian.

SUMBER: Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

Nama: JAFNI JOHARI JIKEN
Tel: 016-9805587
E-mel: jafni@mardi.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.