ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  SAMBUTAN HARI HASIL KE-25

Monday 01/03/2021



CYBERJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Sambutan Hari Hasil ke-25 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana norma baharu pada hari ini di mana buat julung-julung kalinya sambutan ini dilakukan secara dalam talian.  
 
Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta turut disaksikan oleh Hasilian dan orang ramai di seluruh negara.
 
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada seluruh Hasilian kerana memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kutipan cukai tahun lalu sebanyak RM123.092 bilion dapat direalisasikan. LHDNM juga telah membuktikan kemampuannya sebagai organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya. Tambah beliau, banyak ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi (potential taxpayer) dan mengenal pasti industri-industri serta sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar LHDNM.
 
Program sambutan yang disiarkan secara langsung dan boleh ditonton melalui pautan https://youtu.be/XCBRe9A6pkM ini turut diserikan dengan pelancaran tiga produk baharu dalam usaha LHDNM untuk menambahbaik sistem penyampaian pelanggan dan meningkatkan kecekapan pengurusannya. Tiga produk baharu tersebut ialah:

1) Hasil Identity sebagai inisiatif bagi meningkatkan keupayaan pengurusan keselamatan ICT LHDNM iaitu dari segi pengurusan identiti dan kawalan akses dengan bersandarkan infrastruktur Active Directory (AD) yang sedia ada serta memantapkan lagi fungsi pengurusan identiti pengguna. Pengguna Hasil Identity hanya perlu menggunakan satu ID sahaja untuk akses kepada semua sistem dan aplikasi LHDNM.
 
2) Hasil Cloud System (HCS) yang merupakan awan dalaman untuk kegunaan perumah (hosting) sistem-sistem dan aplikasi LHDNM sekaligus meningkatkan kebolehupayaan LHDNM dalam merealisasikan infrastruktur pengkomputeran awan yang mapan seiring dengan perkembangan teknologi yang pantas.
 
3) Malaysia Income Tax Reporting System (MITRS) yang merupakan platform digital untuk menggalakkan pembayar cukai membuat penghantaran maklumat helaian kerja percukaian secara digital. Ianya juga dapat mengurangkan kos pematuhan kepada pembayar cukai dan menjimatkan masa penghantaran melalui platform digital yang disediakan.

Selaras dengan hasrat LHDNM untuk menghargai komitmen berterusan pembayar cukai dalam mempamerkan prestasi pematuhan yang tinggi, lapan pembayar cukai dari kategori syarikat korporat telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai terbaik berdasarkan rekod percukaian mereka sepanjang tahun 2020. 
 
LHDNM juga turut menganjurkan beberapa aktiviti menarik bersempena dengan Sambutan Hari Hasil Ke-25 yang juga merupakan Sambutan Jubli Peraknya. Antaranya adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LHDNM berbentuk sumbangan peranti tablet kepada 93 pelajar B40 hasil kutipan daripada Hasilian, Hasil Virtual Run 2021, Anugerah Most Outstanding Hasilian Tahun 2020, Pertandingan Reka Cipta (corak tali leher, pin kolar dan klip tali leher), Pertandingan Reka Cipta “Tax Infographic”, Pertandingan Kuiz HASiL, Online Management Talk: “Aspirasi Pengurusan Atasan LHDNM”, Ceramah Perdana Maya, Pertandingan Mencipta Video “LHDNM Setelah 25 Tahun” dan Hasil Virtual Treasure Hunt 2021 yang melibatkan penyertaan daripada institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi kerajaan. Berikut merupakan keputusan Hasil Virtual Treasure Hunt 2021 dan Anugerah Most Outstanding Hasilian Tahun 2020:-

Hasil Virtual Treasure Hunt 2021:
 
Juara - Bank Negara Malaysia
Naib Juara - BERNAMA
Ketiga - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 

Most Outstanding Hasilian Tahun 2020:

1) Encik Harris Ahmad Rosli, Jabatan Percukaian Antarabangsa;
2) Puan Arbasiah Ankong, Jabatan Teknologi Maklumat;
3) Dr Rasyidah Che Rosli, Jabatan Operasi Cukai;
4) Encik Iqbal Abdollah, Cawangan Siasatan Miri; dan
5) Puan Norhayati Mat Nor, Cawangan Pembayar Cukai Besar.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 01 Mac 2021

SUMBER: LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (LHDNM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel : 03-8313 8888 samb. 21658/21666/21965/21674/21663
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)   
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

--BERNAMA



 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.