ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  KERAJAAN MALAYSIA KESAL TINDAKAN AS SEKAT KEMASUKAN MINYAK SAWIT SIME DARBY

Thursday 31/12/2020



KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum tentang langkah drastik diambil oleh pentadbiran Donald Trump semalam yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit negara ke pasaran Amerika Syarikat (AS) tanpa merujuk kepada Kerajaan Malaysia kesahihan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.

Insiden ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan Kerajaan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd (FGV) atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan. Ia tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, Kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV.

Dalam isu terbaru yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin mereka juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.

KPPK berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

Walau bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali.

KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu, kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.

Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu. Berdasarkan kajian tersebut juga, Kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.

Bagaimanapun Kerajaan Malaysia melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini.

YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Putrajaya
31 Disember 2020

SUMBER: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Siti Hajar Zulkefle
Pegawai Komunikasi Strategik
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Tel: 03 - 8880 3381
E-mel: hajarzulkefle@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.