KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.
KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi. Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.
Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform. Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan. Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan. Ia dizahirkan melalui pengenalan Logo Rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik. Warna merah melambangkan pelbagai khasiat minyak sawit kepada kesihatan, melalui sumber kandungan beta-karotena dan Vitamin E tokotrienol yang tinggi. Warna tersebut juga menandakan kelebihan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai produk makanan dan bukan makanan. Daun sawit yang menghijau melambangkan kelestarian alam sekitar dan lingkaran kuning keemasan di sekeliling logo menggambarkan pengeluaran minyak sawit mampan. Buah sawit pula melambangkan keuntungan berterusan dan berkekalan yang amat bernilai bukan sahaja kepada negara, bahkan kepada seluruh dunia.
Moto
‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari aspek halalan-thoyyiban. Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini.
Sempena pra-pelancaran kempen hari ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
19 November 2020
Klik di sini untuk
lampiran
SUMBER: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Hilmi Bin Mohd Ali
Pegawai Komunikasi Strategik
Unit Komunikasi Korporat (UKK)
Tel: 03-88803325
Emel: hilmihajiali@mpic.gov.my
--BERNAMA