ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  UMK RINTIS PRODUK INOVASI SISTEM RAWATAN DAN PENAPISAN AIR TANPA BAHAN KIMIA

Thursday 22/10/2020



KOTA BARU, 22 Okt (Bernama) -- UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mengambil tindakan efektif membangunkan projek pembinaan telaga tiub dan sistem penapisan air terawat atau dikenali sebagai Water Media Filter (WMF) bagi menampung keperluan air kepada warga kampusnya termasuk 600 pelajar di kolej kediaman pelajar IBS.
 
Projek pemasangan telaga dan penapis WMF ini telah diketuai oleh Penyelidik Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak bermula pada bulan Mac 2020 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Ogos 2020.
 
Menurut Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal, projek air bawah tanah merupakan satu inisiatif dan inovasi kepakaran dalaman yang dimiliki oleh FBKT dengan kerjasama dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Katanya, projek pembinaan sistem air ini merupakan pelan pembangunan jangka panjang untuk membekalkan air bersih kepada kolej kediaman UMK (Asrama IBS) berikutan keupayaan telaga tiub sedia ada yang terbatas dan kerap kali mengalami masalah.
 
“Justeru, melalui inisiatif UMK dan bantuan JMG telah mengambil keputusan untuk menggali telaga tiub dengan kapasiti yang lebih besar dan hasilnya kita berjaya membina satu telaga tiub dengan kedalaman 60 meter dan kapasiti air sembilan meter padu sejam atau 0.21million liter per day (MLD).
 
“Pembinaan telaga ini telah dimulakan pada Mac 2020 dengan proses carigali yang dilakukan oleh JMG dan Fakulti Sains Bumi (FSB) manakala sistem penapisan air dibina dengan kepakaran dalaman FBKT dan projek ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada Jun 2020 yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 warga kampus di UMK Bachok.
“Keupayaan sistem telaga tiub bawah tanah dan sistem penapisan ini berupaya mengeluarkan air sebanyak 210,000 liter air sehari manakala sistem penapisan MFW merupakan medium yang tidak menggunakan bahan kimia bagi membekalkan air bersih terawat untuk kegunaan warga kampusnya,” katanya.
 
Katanya, sebagai usaha jangka panjang bagi menyelesaikan masalah kualiti air yang diperolehi pihak UMK juga telah menjalankan kerjasama strategik dengan sebuah syarikat berasaskan air yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu  Ain Ayer Asli (AAA) Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat kepada AIN MEDICARE BHD.
 
“Menerusi kerjasama itu, pihak AAA akan menyediakan sistem skid atau module rawatan air dengan kaedah sistem AAA yang bernilai RM250,000.00 dengan keupayaan membekalkan air bersih 15 hingga 20 meter padu untuk tempoh satu jam.
 
“Sistem AAA ini telah digunapakai di Ain Medicare Sdn. Bhd. untuk rawatan air bagi kegunaan produk dan keperluan harian mereka,” katanya. 
Mengulas kerjasama itu, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal berkata, pihak Ain Ayer Asli akan membekalkan seramai lapan orang tenaga kerja jurutera air dan dibantu oleh pasukan penyelidik UMK yang akan memantau proses rawatan air yang dilakukan secara berterusan.
 
Beliau berkata, kerjasama menang-menang ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak berdasarkan kepada persetujuan menerusi perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat ini.  
 
“Kita juga bercadang untuk mengkomersialkan air minuman daripada lebihan air bersih yang digunakan oleh kampus UMK Bachok untuk dibotolkan bagi tujuan jualan di pasaran.
“Sekurang-kurangnya, 30 peratus daripada lebih air yang tidak digunakan ini dapat menjana keuntungan kepada universiti yang bertepatan dengan tujahan utama UMK iaitu sebagai sebuah universiti keusahawanan. 
“Selain menjadi medan penyelidikan dan inovasi, ia juga menyediakan ruang untuk bidang keusahawanan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
 
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal berkata, pemilihan projek pembinaan air bawah tanah adalah langkah paling efektif pada hari ini kerana industri perkhidmatan air di Malaysia berdepan dengan cabaran kekurangan simpanan air dan peningkatan permintaan disebabkan pertambahan penduduk dan pertumbuhan ekonomi sebagai sebuah negara membangun. 
 
“Keadaan ini bertambah buruk dengan isu pencemaran sungai, peningkatan kos bahan kimia serta isu berkaitan perubahan iklim dengan kemarau yang panjang dan sumber air bawah tanah menjadi semakin popular sebagai alternatif sumber air untuk bekalan air bersih pada masa akan datang,” katanya.  
 
SUMBER: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI
Nama: Puan Jamilah Taib
Tel: 019-281 8220
E-mel: jamilahtaib@umk.edu.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.