ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA 13 JULAI 2020

Monday 13/07/2020



KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- 

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,520 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA 

Sehingga 13 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat tujuh (7) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,725 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 83 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada tujuh (7) kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) orang warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja). Satu (1) kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster PUI Novgorod. Kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

KLUSTER PUI NOVGOROD

KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baharu telah dikesan di Melaka. Kluster ini telah dikenalpasti apabila terdapat kes ketiga yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster ini. 

Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8673) yang telah pulang ke Malaysia dari negara Rusia pada 5 Julai 2020. Keputusan saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8718 merupakan rakan kepada kes ke-8673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.  

Keputusan saringan COVID-19 bagi kes ke-8718 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai 2020. Saringan ulangan didapati positif COVID-19.

Sehingga 13 Julai 2020, terdapat tiga (3) kes positif dan 14 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster ini. Semua 14 orang kontak rapat telah disaring dan dikesan negatif COVID-19. Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah diteruskan. 

Seperti yang maklumkan di atas, terdapat penularan jangkitan COVID-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara (iaitu kes ke-8718).

Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai 2020 telah disambut oleh ahli keluarga beliau. Seramai empat (4) orang ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa. Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke-8724) turut dikesan positif COVID-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod. 

AMBIL LANGKAH KURANGKAN RISIKO PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DI KALANGAN AHLI KELUARGA KES IMPORT POSITIF COVID-19 

Pihak KKM ingin mengingatkan semua individu yang diletak di bawah pengawasan dan pemantauan di rumah (home surveillance) supaya sentiasa mengamalkan langkah–langkah berikut seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 10a dan 10b: Home Assessment Tool). Antara syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut: 

- Sentiasa berada di rumah sepanjang dalam tempoh pengawasan ini; 
- Hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah anda;
- Rekodkan pelawat yang menziarahi anda dan kemukakan kepada pihak kesihatan sekiranya diminta;
- Pastikan jarak anda dengan mereka yang sihat (iaitu termasuk ahli keluarga) sekurang-kurangnya 1 meter.
- Sekiranya anda bergejala, sentiasa pakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask
- Jika tidak memakai facemask, tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk atau bersin. 
- Sentiasa amalkan adab batuk yang baik.
- Sekiranya perlu keluar rumah (misalnya untuk ke klinik), pakai facemask dan elakkan dari ke tempat-tempat yang sesak.
- Elakkan penggunaan kenderaan awam, sekiranya perlu gunakan memakai facemask.
- Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri seperti berus gigi dengan individu serumah yang lain;
- Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun sebelum digunakan semula.
- Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap

Ahli keluarga kepada pengembara yang pulang ke Malaysia juga dingatkan supaya meminimakan bilangan individu yang menjemput mereka di Pintu Masuk Antarabangsa. Elakkan bersentuhan dan pakai facemask setiap masa sepanjang perjalanan. Sekiranya terdapat individu yang bergejala di kalangan ahli keluarga / rakan serumah kepada pengembara, mereka dikehendaki mendapatkan rawatan segera. Mereka yang bergejala juga sewajarnya mengambil inisiatif supaya duduk di rumah dan amalkan kuarantin di rumah masing-masing sambil mengamalkan penjarakan yang selamat dengan ahli keluarga atau rakan serumah.  

KKM mengharapkan kerjasama orang ramai agar untuk mengelakkan daripada berlaku penularan jangkitan COVID-19 di kalangan anggota serumah terutamanya di antara orang yang dikasihi. 

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Dalam pada keadaan penularan COVID-19 dalam negara yang didapati terus terkawal, pihak KKM tetap mengingatkan agar orang ramai terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu: 

- Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut - facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
o Elakkan bersalaman / bersentuhan;
o Amalkan etika batuk dan bersin;
o Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
o Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
o Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu: 
S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);

O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;

P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan. 

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


13 Julai 2020 @ 5.30 petang. 

Lampiran 1
 
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati Binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88833470 dan 012-2112658

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.