ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA 2 JULAI 2020

Thursday 02/07/2020



KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- 

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

 
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 62 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,437 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
 
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
 
Sehingga 2 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat tiga (3) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,643 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
 
Ingin dimaklumkan daripada tiga (3) kes baharu yang dilaporkan, satu (1) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Beliau adalah merupakan warganegara Malaysia. Kedua-dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini.

Perincian kes jangkitan dalam negara (2 kes) di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes daripada Kluster Bukit Bintang. Status terkini kluster ini akan diperincikan di bawah;
  • Sabah: satu (1) kes saringan kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu.
Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.
 
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
 
STATUS TERKINI KLUSTER BUKIT BINTANG
 
Sehingga 2 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat satu (1) kes positif baharu yang dilaporkan dalam kluster ini, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 11 kes. Kes-kes positif ini melibatkan 10 warganegara Bangladesh dan satu (1) warganegara Malaysia. Setakat ini, seramai 304 orang telah disaring, di mana 204 orang adalah bukan warganegara dan 100 adalah warganegara Malaysia. Daripada jumlah ini, 293 orang adalah negatif COVID-19.
 
Ingin dimaklumkan bahawa kes positif baharu ini telah dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin. Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, manakala kes positif COVID-19 dimasukkan ke hospital; justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan.
 
STATUS TERKINI INDIVIDU DI BAWAH PENGAWASAN DAN PEMERHATIAN DI RUMAH (HOME SURVEILLANCE ORDER) BAGI COVID-19
 
KKM ingin memaklumkan data terkini yang telah dikemaskini dan disahkan bagi bilangan Person Under Surveillance (PUS) yang didiscaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun 2020 dan kemudiannya diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO). Sehingga 2 Julai 2020 jam 12 tengah hari, daripada jumlah 5,804 individu di bawah arahan HSO ini, 620 orang masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13. Jumlah ini adalah 852 orang kurang daripada jumlah yang telah dilaporkan pada 29 Jun 2020. Selebihnya, iaitu 5,184 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan hari -13 didapati negatif. 

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13. KKM ingin mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini. Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya. Oleh itu, pengembara yang pulang ke Malaysia diseru agar terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di bawah HSO.

Ahli keluarga kepada pengembara di bawah perintah ini juga diminta menasihati dan memastikan mereka akur kepada syarat perintah HSO. Kerjasama semua pihak amat diharapkan untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.
 
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
 
KKM menyeru orang ramai untuk terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:
  • Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
     
  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut - facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
 
Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:
  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
 

2 Julai 2020 @ 5.00 petang

Sila klik di sini untuk: LAMPIRAN 1

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-263 5008


--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.