ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 23, 2024 -Selasa

 
  PASCA PKP - USAHAWAN PKS AGROBANK DI SARAWAK BANGKIT TEROKAI POTENSI PERNIAGAAN AGRO

Thursday 02/07/2020



KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus cekal melangkah ke hadapan dengan mengadaptasi norma baharu dalam memajukan perniagaan mereka.
 
Justeru itu, satu sesi dialog khas yang dinamakan Dialog SME Sarawak bagi mengupas solusi serta pandangan akan landskap ekonomi PKS di Sarawak telah dilaksanakan Agrobank bersempena dengan Bulan PKS Agrobank yang bersiaran di laman media sosial rasmi Agrobank, Facebook LIVE pada Selasa, 30 Jun 2020.
 
Dua (2) sesi perbincangan telah diadakan pada Dialog SME Sarawak kali ini. Sesi pertama menerusi topik (i) ‘SME Selepas PKP’ mengetengahkan tiga orang usahawan PKS Agrobank iaitu Farah Ummi Qhairunnissa, Pengurus Truffles Bread & Cake; Kartini Bujang, Pengurus Besar, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara dan Patrick Gordon Song, Pengarah Eksekutif Borneo Eco Fish, Sdn Bhd.
 
Sesi kedua dengan topik (ii) ‘Covid-19  - Pemulihan & Pemerkasaan Bisnes SME’ telah dibincangkan oleh lima (5) orang panel iaitu YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak; YB Datuk Haji Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan; Dr. Madeline Berma, Felo Akademi Sains Malaysia; Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Munir Ashim Abdullah, Pengasas GrasiCili. Sesi dialog tersebut telah dikendalikan oleh Nazri Kahar, Editor Kanan Astro AWANI.
 
Sesi Dialog 1: SME Selepas PKP
 
Pada sesi dialog yang pertama, usahawan PKS bersependapat akan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh PKP ekoran penularan pandemik COVID-19 dan tidak menolak kenyataan bahawa ada beberapa usahawan PKS yang terpaksa gulung tikar akibat daripada kekangan dan cabaran yang dihadapi akibat pandemik ini. Oleh itu, penggunaan teknik pemasaran dan perniagaan baharu serta pelan perancangan strategik yang lebih efektif perlu dilaksanakan dalam memastikan kelestarian perniagaan mereka sekaligus meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi sektor industri kecil dan sederhana di Sarawak.
 
Farah Ummi berkata, pada awalnya, beliau tidak mempunyai pilihan selain mengalami kerugian kerana ketika pengumuman pelaksanaan PKP yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana  beliau telah membeli barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak bagi persediaan beliau menjual pelbagai jenis biskut menjelang Aidilfitri. Disebabkan pengumuman pelaksanaan PKP tersebut, kedai beliau terpaksa ditutup sepenuhnya sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan kerajaan bermula 4 Mei. Namun, ini tidak langsung mematahkan semangat beliau untuk mencari alternatif lain dalam memajukan perniagaannya terutamanya menerusi pemasaran dan jualan atas talian.

“Cara kita berniaga kini sudah berubah. Terkini, saya turut merancang untuk menjalankan kelas pembuatan kek dan biskut (baking) secara dalam talian bagi terus menjana keuntungan syarikat. Terbaharu, saya juga sedang berusaha untuk lebih menerajui bidang perniagaan secara dalam talian dan berhasrat mendalami pemasaran digital dan aplikasi,” tambah Farah.
 
Sesi Dialog 2 : COVID-19 - Pemulihan & Pemerkasaan Bisnes SME
 
Sementara itu, pada sesi dialog yang kedua, kupasan tentang bantuan pakej rangsangan ekonomi dan usaha untuk membangunkan PKS merupakan fokus utama perbincangan pada sesi ini. Tambahan pula, PKS dan industri mikro menyumbang kepada lebih setengah daripada sektor pekerjaan keseluruhan di Sarawak. 
 
YB Datuk Amar Awang berkata, kebanyakan operasi PKS terhenti dan sekaligus menjejaskan produktiviti perniagaan usahawan PKS. Di Sarawak, kerajaan telah melaksanakan tiga (3) pakej bantuan khas ‘Sarawakku Sayang’ bagi 28 jenis bantuan termasuklah kepada PKS dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.55 bilion. 
 
“Antara bantuan khas yang diberikan kepada PKS adalah pengecualian bayaran yuran permit dan lesen perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi perkhidmatan lain, penangguhan bayaran pembiayaan selama enam (6) bulan serta pengecualian pembayaran kadar keuntungan bagi industri kecil dan sederhana dan mikro kredit Sarawak,” tambah beliau.
 
Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan PKS dapat meneruskan perniagaan mereka dalam tempoh pemulihan ini. Kerajaan negeri juga turut menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang bertujuan untuk merancak dan memperkasakan pembangunan ekonomi di Sarawak dalam tempoh jangka masa panjang.
 
Selain itu, Khadijah Iskandar juga turut berkata bahawa Agrobank sentiasa berusaha membantu para usahawan PKS untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan yang lebih baik ketika pasaran global dan tempatan terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 ini.
 
“70% daripada cawangan kami berada di kawasan luar bandar dan kami juga menyediakan lebih daripada 1,000 terminal ejen perbankan untuk para pelanggan melakukan transaksi perbankan mereka. Menerusi rangkaian perbankan ini, para PKS lebih mudah untuk berhubung dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai-pegawai Agrobank khususnya dalam memantapkan lagi perniagaan mereka. Ini merupakan inisiatif kami untuk memastikan lebih ramai pelanggan kami terus berjaya di dalam perniagaan agro mereka” katanya.
 
Tambah Khadijah lagi, “Pelbagai dana dan pembiayaan turut disediakan oleh pelbagai agensi- kerajaan. Terbaharu, Agrobank menyambut baik pengumuman YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkenaan Dana Skim Kredit Mikro berjumlah RM350 juta sebagai bantuan kepada agropreneur yang terjejas oleh COVID-19.”
  
“Suntikan dana ini diharap dapat membantu usahawan PKS sekaligus memberi ruang kepada mereka untuk lebih merancang pelan strategik perniagaan sepanjang tempoh moratorium ini dan diharapkan agar PKS mampu mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja pada tahap mampu sara diri, tetapi ke arah perniagaan korporat. Ini pastinya sentiasa menjadi aspirasi kami di Agrobank dalam memastikan kejayaan usahawan kami.”
 
Khadijah juga turut menasihatkan agar para usahawan mengambil peluang dalam tempoh berehat ini (breathing period) untuk mengkaji semula perniagaan jangka panjang mereka. Para usahawan dinasihatkan untuk berbincang dengan pegawai Agrobank bagi menyelesaikan permasalahan aliran tunai syarikat mereka, yang bukan sahaja menerusi penawaran moratorium tetapi melalui pelbagai kaedah lain seperti penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan.
 
Ketika disoal akan persiapan yang perlu dilakukan oleh usahawan PKS terutamanya dalam mendepani pasca COVID-19, Madeline berkata, "Disaat genting seperti ini, kita semua mungkin sedang menghadapi badai yang sama namun pastinya kita semua berada di dalam perahu yang berbeza. Oleh itu usahawan PKS sama ada di pedalaman Sarawak, Sabah mahupun di semenanjung Malaysia terutamanya yang berada di sektor tidak formal, maksudnya peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai lesen perniagaan dan tidak berdaftar dengan penguatkuasa tempatan agar segera mendaftar. Ini adalah penting untuk melayakkan mereka menerima sebarang bantuan kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan melalui pakej rangsangan dan ini dapat membantu mereka meneruskan operasi perniagaan mereka."
 
Beliau juga turut mengingatkan para usahawan PKS untuk peka dan bersedia akan 'Dua S' iaitu 'Security' dan 'Safety' disaat dunia menghadapi kitaran ekonomi sepertimana yang telah kita lalui pada tahun 1997, 2008/2009 dan kini pada tahun 2020, oleh itu semua pihak termasuk kerajaan (sektor awam), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat perlu sama-sama mengambil inisiatif dan menjadi pelaku yang aktif dalam sama-sama membangunkan sektor ekonomi.
 
Sesi temubual penuh Dialog SME Sarawak ini boleh ditonton di saluran rasmi Agrobank di YouTube - Agrobank TV dan Facebook rasmi Agrobank.
 
Mengenai Agrobank

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.  Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my
 
Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank

SUMBER: Agrobank 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Shahreen Rahim
Ketua Bahagian Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Strategik
Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
 
Nama: Syarifah Syameen
Eksekutif Kanan, Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Strategik
Agrobank
Tel: 03-2731 1652 / +6012-310 1766
E-mel: syameen@agrobank.com.my

--BERNAMA
 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.